HTML/JavaScript

Saturday 31 December 2011

Gerakan S'gor yakin rampas 4 DUN, satu parlimen

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan)  Selangor yakin dapat merampas kembali empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen di Selangor yang mereka tewas kepada pembangkang pada  Pilihan Raya Umum 2008.
  
Kawasan berkenaan ialah DUN Teratai, Bukit Lanjan, Bukit Gasing dan Kota Alam Shah serta Parlimen Puchong.
  
Pengerusi Gerakan A.Kohilan Pillay berkata perkara ini didorong trend semasa pengundi di kawasan terbabit yang kembali memberi kepercayaan kepada BN untuk menerajui Selangor selepas hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri itu, yang berdepan pelbagai masalah sejak memerintah pada 2008.  
  
"Segala persiapan parti kini berada pada tahap yang amat memuaskan, dan kami sudah bersedia untuk mengatur strategi baru bagi memenangi kembali hati rakyat di negeri ini.

"Saya akan memastikan jentera pilihan raya Gerakan Selangor sudah bersedia dan akan membuat segala perancangan terbaik dengan mengkaji pelbagai perkara supaya tiada lagi ruang untuk pembangkang secara berterusan melemparkan tuduhan terhadap Gerakan dan BN," katanya kepada Bernama.     
  
Terdahulu, Kohilan Pillay, yang juga Timbalan Menteri Luar, menyampaikan sumbangan beg sekolah dan baucer tunai bernilai RM150 kepada 100 kanak-kanak terpilih di sekitar Puchong.MK

Friday 30 December 2011

Akhbar khas hasut peneroka sokong penyenaraian?


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 30 Dis: Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mempersoal penerbitan akhbar '1SUARA' yang diedar percuma kepada warga peneroka sejak November lalu.

Beliau mempersoal, dari mana sumber kewangan diperolehi bagi menerbitkan akhbar yang mempunyai 32 muka surat dengan warnah penuh tersebut yang dipercayai menelan kos yang sangat tinggi.

"Kita nak tahu siapa yang taja, ambil duit dari mana, berapa ribu kos habis," katanya kepada Harakahdaily.

Akhbar khas '1SUARA' diterbitkan pihak tertentu dipercayai sebagai usaha 'menghasut' warga peneroka menyokong penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL).

Dengan penerbitan dua kali sebulan, akhbar 1SUARA tersebut kini dipercayai sudah menerbitkan bilangan ketiga mereka.

Pada edisi pertamanya untuk tarikh 15 Nov hingga 30 Nov, akhbar itu menggunakan tajuk "Peneroka tertipu?" sebagai tajuk utama di muka depan akhbar itu bersama petikan 'penjelasan' oleh Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.

Selain itu, muka depan akhbar itu juga meletakkan gambar artis wanita Neelofa dengan tajuknya "Neelofa bercakap tentang lelaki!" dipercayai untuk menarik pembaca mendapatkan naskhah akbar tersebut.

Edisi pertama itu juga turut memuatkan temubual tiga muka surat bersama Isa.

Selain menceritakan 'kebaikan' penyenaraian dan 'faedah' yang bakal dinikmati peneroka, akhbar sama juga tidak ketinggalan memburukkan pihak yang menghalang agenda penyenaraian itu.

Ianya termasuklah Presiden Anak sendiri, Mazlan Aliman yang dilihat menjadi 'musuh nombor satu' akhbar itu dipercayai kerana gerakan beliau meyakinkan penoroka bagi membantah penyenaraian tersebut.

"Saya tidak kisah mereka nak hentam saya guna akhbar ini. Saya dapat maklumat terbitan terbaru akan datang sarat dengan kecaman terhadap Anak dan saya.

"Bagi saya, lagi mereka hentam lagi banyak yang saya akan dedahkan," kata Mazlan mengulas perkara itu.
 

Tuesday 27 December 2011

Aspan Alias Tidak Yakin Najib & Pemimpin Negara Akan Ketepikan Shahrizat



Berdayakah Najib dan pimpinan mengenepikan Sharizat? Saya rasa susah.

Isu Sharizat dan NFCnya masih tidak terlerai dan tidak ada apa-apa keputusan. Ia tidak akan terlerai dalam masa yang singkat ini kerana yang terlibat ialah seorang Menteri kabinet kerajaan persekutuan. Di Malaysia seorang menteri itu bukan senang hendak diketepikan kerana menteri itu merupakan orang yang sangat besar dalam masyarakat kita terutamanya orang kita Melayu ini.

Etika kepimpinan kita sangat rendah dan moral kepimpinan memang tiada. Lima tahun dahulu seorang ahli kabinet Britain, Blankett ,telah hilang jawatannya semata-mata kerana beliau telah mempercepatkan proses permohonan teman wanitanya untuk mendapatkan permit kerja untuk ‘maid’nya. Beliau telah dikatakan telah menggunakan kuasanya sebagai menteri bertanggungjawab kepada permit pekerjaan mempercepatkan pemohonan teman wanitanya yang memerlukan permit kerja untuk ‘maid’nya itu.

Apabila diketahui umum, maka beliau telah meletakkan jawatan kerana beliau telah bertindak secara tidak beretika dalam meluluskan permohonan permit itu. Itu sahaja sebabnya. Begitulah tingginya etika kepimpinan di negara itu.

Sebaliknya di negara kita perkara-perkara yang tidak beretika itu berlaku tanpa hadnya dan jika semuanya mengambil tindakan ke atas mereka yang melakukan kerja-kerja yang tidak beretika itu hari ini, tidak ada seorang pun yang kekal dalam Kerajaan Persekutuan pada hari ini.

Kes NFC dengan Sharizat tidak langsung menjadi apa-apa kepada Sharizat. Tetapi sebaliknya beliau masih berada di dalam kabinet sehingga hari ini, malah beliau telah menyatakan bukan beliau sahaja yang bermasalah dalam UMNO, semua menteri-menteri lain pun juga bermasalah. Maksud Sharizat itu jelas. Maksud beliau kenapa beliau sahaja yang hendak dimangsakan, bagaimana dengan yang lain? Saya tidak nampak Sharizat akan dikeluarkan oleh Najib dari kabinet kerana masing-masing ada rekod yang sama.

Jamil Khir, seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap agama telah terlibat dengan menggunakan wang zakat untuk membiayai kos guaman dalam saman Anwar Ibrahim dalam kes Qazaf, ketua umum PKR itu yang juga ketua pembangkang. Saya tidak nampak yang kes ini termasuk dalam aznaf yang lapan itu kerana beliau adalah seorang Menteri. Wang zakat hanya boleh digunakan jika ianya termasuk dalam aznaf yang lapan itu.

Kita tidak layak untuk menasihati Jamil Khir kerana beliau adalah seorang yang mengetuai agama dan dibanggakan oleh Najib kerana telah memberikan khutbah dalam bahasa arab mewakili seluruh umat Islam di musim haji baru-baru ini. Tetapi apa yang dilakukannya amat mengelirukan orang ramai. Apakah beliau mempunyai ‘immunity’ dari dosa dan noda kepada agama dan Tuhannya. Kalau pemimpin yang mengetuai agama melakukan kerja hina ini, pada siapa lagi dalam UMNO yang kita boleh yakini lagi?

Ini kah kumpulan pemimpin yang berucap dengan berlakon dengan hebat dengan mengatakan agama kita akan tercemar jika PR memerintah negara kita? Saya ingin memberi nasihat kepada Jamil Khir, dari saat ini janganlah kamu bercakap tentang agama lagi dan mengaku sebagai pejuang agama di dalam kabinet kerajaan pada hari ini. Mungkin ini semualah yang dikatakan oleh Sharizat yang tidak ada pemimpin yang tidak bermasalah itu.

Pada pertengahan tahun sembilan puluhan dahulu, Pemimpin Utama negara telah menggunakan wang rakyat untuk membiayai untuk melaksanakan ‘bail-out’ terhadap anaknya yang telah kerugian besar dalam perniagaannya. Jumlah wang rakyat yang digunakannya melebihi satu setengah billion ringgit. Sekarang ahli perniagaan itu telah membeli kilang arak yang terbesar di rantau ini di Filipina.

Sebelum itu Pemimpin Utama ini juga telah membuatkan Bank Negara kerugian sebanyak RM36 billion dalam pasaran wang antarabangsa. Saudara Nor Mohamad Yakcop yang ketika itu menjadi Ketua Jabatan Treasury Bank Negara telah melaksanakan urusan jual beli wang antarabangsa yang akhirnya telah merugikan negara sebayak RM36 billion. Akhirnya BNM terpaksa menjual harta bagi mengurangkan angka kerugian bank pusat itu dan BNM akhirnya telah mengumumkan kerugian itu hanyalah RM9 billion.

Nor Mohamad Yakcop akhirnya di lantik sebagai Penasihat Ekonomi kerajaan setelah melakukan tindakan yang merugikan negara itu dan sekarang ini menjadi Menteri Kanan dalam Kerajaan Persekutuan kita. Awal tahun lepas setiausaha politiknya pula tertangkap dengan tunai sebanyak RM2 million di rumahnya di P Pinang. Tetapi Nor Mohamad Yakcop masih di dalam kabinet persekutuan kita. Di mana kah etika kepimpinan kita? Apa semuanya ini?

Pemimpin ini selalu mengkritik orang Melayu kerana Melayu hanya mampu jika diberikan tongkat untuk berjaya. Katanya selalu, orang Melayu tidak pandai memajukan diri kalau tidak ada tongkat. Tetapi orang yang berfikir suka hendak bertanya, bagaimana dengan anak-anak beliau yang terpaksa menggunakan wang rakyat untuk merawat kegagalan dalam perniagaannya. Seperti yang saya sebutkan di atas tadi pengaruh politiknya dalam negara inilah yang membolehkan menggunakan berbillion ringgit wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anaknya.

Oleh yang demikian apa yang di sebut oleh Sharizat itu ada benarnya: tidak ada pemimpin UMNO yang tidfak bermasalah. Kenapa hanya tumpukan kepada isu beliau? Bezanya Sharizat dengan pemimpin lain yang sama rekodnya ialah, Sharizat tidak pandai menyorokan kesalahannya dan kesalahan keluarganya. Yang lain pandai menyorokan kesalahan mereka. Pak Lah pandai menutup apa yang beliau lakukan, Muhyiddin pandai menutupi apa yang beliau lakukan semasa menjadi MB Johor misalnya. Namakan yang lain dan pasti senarainya amat panjang. Tetapi mereka pandai menutupnya sedangkan Sharizat tidak pandai menutup perlakuan sumbangnya.

Itulah sebabnya susah bagi Najib atau sesiapa pun untuk mengambil keputusan tegas terhadap Sharizat. Masing-masing ada lubang besar untuk ditutup. Oleh kerana semuanya bermasalah maka tidak ada siapa di kalangan pimpinan boleh bertindak terhadap Sharizat dengan mudah.

Yang boleh bertindak dengan mudah ialah rakyat. Jika rakyat yang bertindak, bukan sahaja Sharizat akan mampu di ketepikan malah seluruh jemaah yang menyeleweng semasa mentadbir kita akan dapat di ketepikan.

Rakyat kini mahu hidup denagn selesa tanpa dikelirukan oleh pihak yang memerintah. Cukuplah dengan apa yang dilakukan oleh BN khususnya UMNO selama ini.

Isu Sharizat ini merupakan cebisan dari cerita besar penglibatan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kita selama ini. Rakyat sudah terhidu segala-galanya. Sampai masanya terbongkarlah segala-galanya. -aspanalias

UMNO Daftarkan 500 Pelajar UiTM Sebagai Pengundi Parlimen Bukit Katil

28 Disember, 2011

Seramai 500 orang pelajar UiTM kampus Bandaraya Melaka telah ditukarkan alamat untuk daftar pemilih di Parlimen Bukit Katil dan setiap orang pelajar akan diberikan wang saku sebanyak RM300. Segala pertukaran alamat adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Mereka diberi pilihan sama ada mahu mendaftar ahli UMNO atau membuat pertukaran alamat mengundi.

Pertukaran alamat ini didalangi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ketua Menteri Melaka dan beberapa agensi lain yang terlibat. Buat masa ini 500 orang pelajar telah didaftarkan dan berkemungkinan lebih daripada itu. Ketua Menteri bimbang akan kedudukan Parlimen Bukit Katil yang bakal jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan menjadikan mahasiswa UiTM sebagai "pengundi tambahan" mereka.

Sumber yang diterima adalah daripada beberapa orang yang berkhidmat dalam Jabatan Ketua Menteri dan juga ahli UMNO. Selain itu, pihak pengurusan UiTM juga terlibat sama dalam operasi secara senyap ini. Maklumat ini diterima daripada staf UiTM pro UMNO yang agak curiga dengan tindakan SPR yang mensasarkan golongan mahasiswa untuk ditukarkan alamat ke Parlimen Bukit Katil.

Pendaftaran pertukaran alamat ini dilakukan dalam satu program diluar kampus. Program itu telah dirancang awal dan ketika hari program, mahasiswa telah diberi pilihan untuk mendaftar sebagai ahli UMNO atau membuat petukaran alamat. Mahasiswa dibekalkan RM300 bagi setiap orang. Tindakan ini menunjukkan UMNO Bukit Katil sudah terdesak dengan bermain taktik kotor.

Seorang kakitangan SPR memberitahu bahawa kampus yang terdekat dengan Parlimen Bukit Katil akan didaftarkan untuk mahasiswa mengundi di Parlimen Bukit Katil. Mereka juga bergiat aktif mendaftar untuk menjadikan mahasiswa kampus sebagai pengundi tambahan mereka. Jumlah pertambahan mengundi dijangka meningkat selepas ini.

Pihak SPR bertindak demikian kerana mengetahui tempoh matang pertukaran alamat adalah selama 3 bulan untuk cukup tempoh matang namun mereka mempunyai "cara" tersendiri untuk mempercepatkan tempoh matang ini kerana pilihan raya akan diadakan pada Mac 2012.

Bagi Parlimen Alor Gajah pula iaitu di DUN Durian Tunggal, mereka akan menjadikan kampus di sekitar Alor Gajah untuk meningkatkan jumlah undi di Parlimen itu. Tindakan secara senyap ini cuba dimanipulasi bagi memenangkan UMNO/BN yang kian robek akibat ketirisan mereka dalam menguruskan sumber negeri.

Pihak kami akan mendedahkan satu persatu tindakan UMNO/BN, SPR dan pihak UiTM ini. Ikuti siri-siri panas di Melaka ini dengan artikel yang bakal menyusul. ~kijang 59

Thursday 22 December 2011

Ibu bapa subahat biarkan anak OKU berkalwat


asmaini@nstp.com.my
LEDANG: Seorang ibu tergamak membiarkan anak perempuannya yang dikategorikan orang kelainan upaya (OKU) berusia 17 tahun berkhalwat dengan teman lelaki di rumah mereka di Taman Tangkak Jaya di sini, jam 1.10 pagi semalam.

Lebih menjijikkan, suami baru kepada wanita terbabit yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah di daerah ini juga hanya mendiamkan diri walaupun tahu perbuatan anak tirinya itu haram di sisi agama.

Kegiatan pasangan kekasih terbabit bagaimanapun terbongkar selepas Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) menyerbu kediaman itu selepas mendapat aduan daripada orang ramai.

Serbuan dijalankan lima pegawai PPADL yang diketuai Pegawai Penguat Kuasa, Mohd Zainal Kadiran bersama dua anggota polis.


Menurut Zainal, selepas pasukannya memberi salam dan mengetuk pintu, mereka terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum ibu remaja perempuan terbabit membuka pintu.

Sunday 11 December 2011

Guan Eng: Exco Pulau Pinang isytihar aset dalam sebulan


December 11, 2011
KUALA LUMPUR, 11 Dis ― Exco kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengisytiharkan harta milik masing-masing dalam tempoh sebulan ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini.
Ia akan dipaparkan kepada umum menerusi Internet.
Lim berkata, langkah itu diambil sejajar dengan janji dibuat sebelum mereka mengangkat sumpah pada 8 Mac 2008 dan ia juga sebahagian daripada usaha Pulau Pinang memimpin dengan mengamalkan enam langkah integriti.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah pun bersetuju untuk membuat deklarasi aset kepada umum sebelum mengangkat sumpah pada 8 Mac 2008 dan sekarang kita akan memaparkan maklumat ini dalam Internet dalam jangka masa kurang daripada sebulan,” kata beliau.
Lim (gambar) yang juga Setiausaha Agung DAP mengatakan demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang di Prai pagi ini.
Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini hari ini.
Lim berkata melalui pentadbiran yang bersih, kerajaan negeri telah membawa semangat keyakinan dan optimis yang baru bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga di kalangan para pelabur.
Ekoran usaha-usaha itu tambah beliau, Pulau Pinang telah berjaya meraih pelaburan yang tertinggi di Malaysia untuk kali pertama dalam sejarah pada tahun 2010 dengan jumlah pelaburan RM12.24 bilion.
“Pada tahun ini, kita hampir mencapai sasaran RM6.1 bilion dengan mencatat RM5.7 bilion setakat akhir bulan Oktober 2011,” katanya lagi.
Lim berkata perubahan-perubahan yang dapat “dilihat, dirasa dan disentuh” sekarang adalah hasil pengamalan enam langkah integriti, antara lain parti-parti politik diharamkan daripada melibatkan diri dalam perniagaan, yang lazimnya membawa kepada konflik kepentingan, pengharaman percampuran politik dengan perniagaan harus diikuti dengan kewujudan sistem tender terbuka untuk menghentikan kapitalisme kroni dan hak untuk maklumat tidak sulit dilindungi di bawah Akta Maklumat Bebas untuk memastikan ketelusan.
Lain-lain ialah kesemua penjawat awam yang memegang amanah awam membuat pengisytiharan aset mereka.
Malah kata beliau, langkah-langkah itu juga boleh memulakan proses pembersihan Malaysia daripada rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.
“Langkah-langkah asas seperti menghukum mereka yang mengamalkan rasuah, mengurangkan peluang rasuah, melaksanakan sistem integriti kebangsaan melalui undang-undang dan institusi-institusi yang sesuai adalah antara langkah-langkah yang dapat mengembalikan kuasa kepada rakyat,” katanya lagi.TMI

Saturday 10 December 2011

Zahid diminta dedah hubungan dengan blogger

Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi didesak menjelaskan kepada rakyat, apakah keistimewaan penulis blog Papagomo sehingga dibenarkan menaiki kapal selam Scorpene KD Tun Razak, Jumaat lalu.

Dalam kenyataan medianya, setiausaha publisiti DAP, Tony Pua berkata, kehadiran penulis blog pro-Umno dalam kapal selam berkenaan telah membuktikan bahawa Zahid yang juga naib presiden Umno telah berbohong.

lim guan eng submarine ride 091211 in submarine 07Beliau sebelum ini dilaporkan berkata tidak ada penulis blog yang dibenarkan menaiki kapal selam itu melainkan wartawan Bernama dan TV3 yang turut disertai oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan dua timbalannya.

"Keistimewaan yang dimiliki Papagomo adalah jelas membuktikan salah guna kuasa, dan menteri pertahanan mesti menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang pembohongannya dan hubungan intimnya dengan blogger Umno itu," katanya.

Sejak dua hari lalu, Papagomo telah menulis di blognya bahawa beliau adalah "blogger pertama belayar di atas kapal selam Scorpene KD Tun Razak".

Papa gomo blogger at scorpene diveDalam pos blognya semalam, beliau juga mengakui berada di kapal selam itu selama kira-kira lima jam, dan telah menemubual anak-anak kapal perkara-perkara berhubung kapal selam berkenaan yang dipercayai adalah rahsia negara.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis makan malam amal PKR di Straits Quay Pulau Pinang, malam tadi juga mempersoal tindakan kementerian pertahanan itu.

Menurut  Anwar tindakan membawa penulis blog itu mungkin menjejaskan keselamatan negara dan beliau mahu pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan.Malaysiakini

Gangguan HEP semarak api bebalisme mahasiswa



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 10 Dis: “Kami di pihak mahasiswa ingin mempersoalkan apakah rasionalisasi bagi gangguan tersebut?” Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khairul Naim.

Beliau mengulas program debat mahasiswa di Universiti Malaya (UM) yang diadakan malam tadi yang berkisar tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan autonomi mahasiswa berjalan lancar pada awalnya sehingga beberapa pengawal keselamatan dan special branch di bawah bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) menyerbu masuk ke dewan tempat berlangsungnya debat.

Baginya, pihak Hal Ehwal Pelajar UM bertindak seolah-olah mahasiswa sedang melakukan sesuatu yang mengancam keselamatan kampus sedangkan perdebatan sihat itu bersifat ilmiah.
Tambahnya, tindakan itu dikira sesuatu yang tidak relevan malah bakal melahirkan lebih ramai graduan yang lemah serta menyemarakkan api ‘bebalisme’ dalam kalangan mahasiswa.
Katanya, debat anjuran bersama Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) itu mendapat respons yang baik daripada mahasiswa sekitar Lembah Klang dengan kehadiran kira-kira 300 orang.

Namun begitu, mahasiswa begitu terkilan dan kecewa apabila program debat yang sebenarnya bersifat akademik dan mendidik itu diganggu oleh pengawal keselamatan dan special branch ketika  debat di antara Ahmad Shukri Che’ Ab. Razab (mantan aktivis Pro-M) serta Syamsul Salleh (mantan YDP MPPUPM) sedang rancak berjalan pada pusingan kedua.
Beberapa pengawal keselamatan dan special branch telah menjerit meminta penganjur program keluar dewan dan meminta supaya perdebatan dihentikan dengan segera.

Ketika itu juga, lampu telah ditutup beberapa kali namun penganjur masih meneruskan debat sehingga memaksa Yang Dipertua MPMUM, Mohd Syahid untuk keluar berunding.
Setelah rundingan dilakukan beberapa minit, akhirnya pihak keselamatan memberitahu arahan tersebut datang daripada pihak HEP UM.
“Mahasiswa lihat bahawa kebebasan akademik dalam negara ini masih berada di tahap paling corot. Apa yang mereka takutkan sebenarnya?” tanya Khairul.

Menurutnya, mahasiswa sudah mulai bosan dengan karenah birokrasi pihak HEP yang mengekang program ilmiah yang diadakan oleh mahasiswa.
“Mahasiswa bukan pelajar sekolah, lagi disekat lagi memberontak. Jadi, kami kira HEP sudah tidak relevan dan harus dimansuh.
“Apakah maknanya memegang gelaran mahasiswa tetapi masih perlu mengikut telunjuk dan  menjadi yes man sahaja?” tanya beliau.

Friday 9 December 2011

Shahrizat patut undur sebelum kena halau, kata Mahathir

December 09, 2011
KUALA LUMPUR, 9 Dis — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sewajarnya berundur daripada politik berhubung kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarganya, jika ia perlu bagi membantu partinya.

Bekas perdana menteri berkata, Ketua Wanita Umno (gambar) itu perlu meninggalkan sebelum “dihalau” keluar oleh partinya.
“Jika kita merasakan ia adalah penting demi parti, kita berundur. Ketika saya hendak berundur, saya tidak bertanya sesiapa.
“Saya berharap yang lain akan berbuat begitu. Jangan tunggu orang menghalau anda keluar. Ya, ukur baju di badan sendiri,” kata beliau ketika ditanya sama ada menteri bertaraf senator itu wajar berundur ekoran isu berkenaan.

Shahrizat, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai mendapat sokongan daripada kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita Umno ketika perhimpunan agung tahunan minggu lalu selepas menafikan wujud salah guna kuasa dalam projek berkenaan yang menggunakan dana awam RM250 juta.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dua kali menggesa Shahrizat agar meletakkan jawatan.
Ketua Umno Cheras juga menggesa beliau berundur.
themalaysiainsider

Tuesday 6 December 2011

Undi pos meningkat 1,343% di Lembah Pantai



Muhammad Faizal   
KUALA LUMPUR, 6 Dis: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, peningkatan 1,463 peratus pengundi pos berlaku di Parlimen Lembah Pantai (P.121).
"Peratus peningkatan ini amat ketara iaitu peningkatan sebanyak 1,463 peratus dalam masa dua bulan iaitu pada 26 September yang lalu hanya 149 pengundi tetapi pada 2 November ia meningkat kepada 2,180 pengundi.

"Melihat kepada angka ini jelas Barisan Nasional melalui SPR begitu terdesak untuk menawan balik kerusi Lembah Pantai," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai pada satu sidang media di pejabatnya hari ini.
Nurul Izzah juga berkata, atas desakan tersebut SPR sanggup melakukan apa sahaja sehinggakan terdapat dalam senarai nama daftar pemilih yang baru dikeluarkan itu pengundi boleh mengundi dua kali di peti undi yang berlainan.

Selain itu juga, katanya terdapat pengundi yang mempunyai nama di Parlimen Lembah Pantai dan boleh mengundi di Bukit Bintang.
"Melalui penelitian yang telah pihak kami lakukan iaitu semakan senarai nama lebih kurang dua ribu pengundi, kami dapati sebanyak 97 nama mempunyai keraguan iaitu dari segi tiada rekod di dalam sistem talian walaupun dalam senarai daftar pemilih ada.

"Dalam pada itu juga kita telah menjumpai pemilih yang mengundi di dua tempat seperti Saripah Haji Arif (RF90153) yang mengundi di Balai Polis Pantai dan juga di Balai Polis Pekan.

"Sementara itu Mohd Fajree Zulkifli (RF146959) pula boleh mengundi di Balai Polis Pantai dan juga Balai Polis Petaling iaitu di dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai.
"Ini adalah contoh-contoh senarai nama yang telah kami perolehi melalui semakan yang telah dilakukan dan kami pasti jika ditelitikan kesemua nama-nama daripada 97 yang dikenalpasti ia akan meningkat lagi," sambungnya lagi.

Nurul Izzah juga berharap apa yang telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) dapat dilaksanakan sebelum pilihanraya nanti bagi memastikan ia berlaku secara adil serta telus.
"Begitu juga cadangan memansuhkan undi pos serta menggantikan dengan undi awal tetapi itu belum pasti sama ada ia dapat dilaksanakan sebelum pilihanraya atau pun tidak, dengan alasan BN begitu terdesak untuk memenangi pilihanraya nanti," kata Nurul Izzah lagi.

Beliau juga berpendapat Pakatan Rakyat berhadapan masalah yang serius dalam menghadapi pilihanraya terutamanya peningkatan mendadak undi pos.
"Ini baru berlaku di Lembah Pantai dan di tempat-tempat lain juga sedemikian, apa yang pasti kita berhadapan dengan masalah yang serius pada pilihanraya nanti.
"Apa yang ingin saya tekankan SPR perlu tampil dan beri kenyataan pada media berhubung dengan senarai nama mencurigakan ini dan jangan berdiam diri,” katanya.
  Harakahdaily

Thursday 1 December 2011

Berjaga-jaga PAKATAN ! Umno sudah nampak jalan rampas Selangor


Perhimpunan Agung Umno 2011 yang masuk hari kedua hari ini bermula dengan penyambungan perbahasan usul Ucapan Dasar Presiden.

Antara mereka yang membahas hari ini, adalah perwakilan Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz.

Beliau memulakan perbahasan dengan membidas kerajaan negeri Selangor yang didakwa terbabit dengan pelbagai salah-laku dan penyelewengan.

“Penjualan aset-aset PKNS dan Yayasan Selangor dipergadai. Dalam manifesto PRU12, mereka berjanji sediakan premis yang cukup dan latih usahawan.

“Sewa premis di bangunan PKNS dinaikkan 300 peratus. Menipu rakyat turunkan cukai pintu kediaman. Penyangak tidak berhenti di situ saja, sekarang nak ambil alih padang awam di Kelana Jaya,” katanya.

Menurut Johan lagi, kerajaan Pakatan di Selangor tidaklah sehebat mana dan Umno Selangor telah bermuhasabah setelah kekalahan pedih semasa pilihan raya umum 2008 yang lalu. Dakwanya, mereka kini sudah nampak jalan untuk rampas kembali negeri ini.

“Kami di Selangor amat rasa pedih akibat kalah pada PRU12. Kami cemburu dengan negeri-negeri yang menang, rasa tersiksa di bawah pembangkang. Kami sudah bermuhasabah dan sudah nampak jalan untuk rampas kembali negeri ini.

“Pembangkang tak hebat pun. DAP yang rasis, PKR dengan masalah peribadi pemimpin dan PAS yang tidak tetap pendirian. Pembangkang boleh perlekeh Sultan.

“Saya cabar profesor Melayu (Profesor Dr Abdul Aziz Bari) ini letak jawatan segera dan masuk politik sebenar. Jangan guna institusi akademik untuk perlekeh kesultanan Melayu. Umno akan pertahankan raja-raja Melayu

“Daulat Tuanku... Daulat Tuanku...!” laungnya.
Malaysiakini