VIDEO l 4:28 minit
Kerajaan pusat tidak mempunyai kuasa untuk memungut zakat pendapatan penjawat awam kerana urusan kutipan zakat terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Zakat pendapatan (gaji) adalah perkara yang wajib, tetapi pelaksanaan kutipan pula kuasa sepenuhnya kepada negeri, dan adalah sesuatu yang amat sensitif sekiranya zakat ini dikutip melangkaui sempadan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Nik Mazian ingin tahu pendirian kerajaan pusat berkenaan zakat pendapatan (gaji) dan adakah kerajaan memberi penerangan kepada penjawat awam mengenai wajibnya zakat pendapatan sebagaimana zakat harta.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengemukakan cadangan supaya pekeliling am dikeluarkan untuk pembayaran zakat melalui potongan gaji dilaksanakan ke atas penjawat awam yang beragama Islam di Wilayah Persekutuan.

Katanya, kertas cadangan itu dibentangkan dalam mesyuarat ketua setiausaha kementerian dan ketua perkhidmatan kerajaan persekutuan minggu lepas.

"Pekeliling am yang dicadangkan itu merupakan arahan pentadbiran yang berbentuk sukarela di mana hanya penjawat awam yang bersetuju sahaja akan dibuat potongan gaji," katanya.

Setakat ini, negeri-negeri yang telah melaksanakan potongan gaji untuk bayaran zakat ialah Selangor, Johor, Kedah, Melaka dan Pulau Pinang, katanya.

Beliau berkata agensi lain seperti Lembaga Tabung Haji, MAIWP, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Waqaf Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) juga telah melaksanakan pembayaran zakat melalui potongan gaji terus ke pusat pungutan zakat bermula Jun tahun ini.

Hasil kutipan zakat seluruh negara pada tahun lepas berjumlah RM1.87 bilion, katanya.

- Bernama