HTML/JavaScript

Sunday 11 May 2014

PAS setia bersama PR walau musuh cetus keretakan

MOHD SABRI SAID | .
GEORGE TOWN: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru PAS seluruh negara menghantar jentera membantu calon DAP mulai hari penamaan calon sehingga hari pengundian.

Presiden PAS itu berkata, jentera parti perlu bergerak aktif seolah-olah PAS bertanding dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor.

"Kita tetap setia bersama Pakatan Rakyat walaupun isu keretakan sengaja dibangkitkan oleh musuh kita. Hari ini semua isu itu dah hilang.

"Kita kena ubah pemikiran politik demi masa depan negara," ujarnya ketika berucap merasmikan Markas Induk Pilihan raya Kecil Bukit Gelugor di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Sungai Gelugor malam tadi.

Katanya, kerjasama antara PAS dan DAP bukan baru tetapi telah lama sejak berjuang menentang Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA).

Jelasnya lagi, apabila Umno gagal rampas Kelantan pada 1978, mereka membentang Rang Undang-Undang Darurat dengan niat mencetuskan  perbalahan tetapi Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh ketika itu bangun menentang dan membangkang undang-undang  tersebut.

Itulah katanya, titik persamaan antara PAS dan DAP sejak dahulu sebelum adanya Pakatan Rakyat.

"Hasilnya kemesraan terjalin walaupun berlainan pandangan," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Katanya lagi, kerjasama yang PAS laksanakan bukan baru sebaliknya telah diajar oleh Rasullulah s.a.w.

Tegasnya, konsep adil untuk semua menjadi amalan sebuah Kerajaan Islam yang tidak menganiaya semua masyarakat. - HARAKAHDAILY 12/5/2014

Tragedi potong sawi menyebabkan kematian

12 Mei 2014


Dalam kejadian itu, mangsa, Josyua Jesbon, 30, meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) akibat luka di dada kiri akibat ditikam menggunakan pisau sepanjang 20 sentimeter.
Wanita itu yang juga kekasih mangsa berusia 28 tahun kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas dinasihatkan berbuat demikian oleh salah seorang rakannya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati cara wanita itu memotong sawi tidak disukai teman lelakinya.
“Selepas itu, berlaku pertengkaran dan wanita itu tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh mangsa lalu terus melakukan kerjanya.
“Sebaik saja selesai memotong sawi, dia kemudian duduk menghadap mangsa.
 
 Ketika itu, mangsa masih tidak berpuas hati lalu memukul dan menumbuk kekasihnya bertubi-tubi. “Wanita itu pada awalnya hanya menahan kesakitan, tetapi apabila berterusan dibelasah, dia yang sudah tidak tahan terus mengambil sebilah pisau dan menikam dada kiri mangsa.
“Berikutan tikaman itu, mangsa rebah dan wanita itu bergegas keluar dari bilik lalu mengetuk bilik sewa lain untuk meminta pertolongan,” katanya.

Seorang penghuni bilik itu kemudian keluar lalu memberikan telefon bimbit kepada wanita itu untuk menghubungi ambulans.
Mangsa dibawa ke Wad Kecemasan HQE, tetapi disahkan sudah meninggal dunia.
Polis juga sudah merampas sebilah pisau berukuran 20 sentimeter dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik di HQE untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Foto

myMetro

DAP berdepan 3 bebas di Bukit Gelugor

12 May 2014 Malaysiakini
Hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil Bukit Gelugor akhirnya tiba.

Calon-calon berkumpul di Dewan Sri Pinang, sekitar Light Street, Pulau Pinang.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Karpal Singh pada 17 April akibat kemalangan jalan raya.

Dalam pilihan raya umum lalu, tokoh DAP itu menang dengan majoriti besar 41,778 mengalahkan lawannya daripada BN Teh Beng Yeam.

Setakat ini, lima individu menunjukkan minat bertanding, termasuk anak Karpal, Ramkarpal daripada DAP dan Naib Presiden Parti Cinta Malasia (PCM) Huan Cheng Guan.

Manakala di pihak bebas pula Mohamed Nabi Bux, Yacoob Mohd Noor dan Abdul Bakar Sidek.

MCA tidak akan bertanding. Bagaimanapun, Pengerusi BN membayangkan akan terdapat calon mesra BN.

Siapakah calon misteri itu?

LAPORAN LANGSUNG

10.22am: Lim Chee Koon hilang kelayakan bertanding sebagai calon bebas selepas gagal membawa wang deposit ketika menyerahkan borang.

Pegawai SPR mengumumkan empat calon akan bersaing dalam pilihan raya kecil itu, iaitu, Ramkarpal Singh, Huan Cheng Guan Mohamed Nabi Bux dan Abu Backer Sidek Mohammad Zan.

10:05am: Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi melawat khemah calon-calon dan mengucapkan terima kasih ekoran proses penamaan calon hari ini berlangsung tanpa sebarang insiden.

Beliau juga kelihatan mengambil masa berbual-bual dengan calon bertanding.

“Semuanya bagus,” katanya sambil tersenyum kepada Malaysiakini ketika ditanya berhubung perjalanan proses penamaan calon hari ini.

10am: Proses penamaan calon ditutup dengan lima calon menghantar borang pencalonan masing-masing.

Mereka ialah, Ramkarpal (DAP), Huan Cheng Guan (PCM) serta tiga calon bebas – Mohamed Nabi Bux, Abu Bakar Sidek Mohammad Zan dan Lim Chee Khoon.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada mana-mana pihak mengaku sebagai calon bebas mesra BN.

9.50am: Seorang lagi calon bebas Abu Backer Sidek,46, muncul menyerahkan borang pencalonnya.

“Saya rakyat biasa dan budak Penang yang berkhidmat di KL, sama seperti Ram (Ramkarpal),” katanya yang juga seorang peguam.

Beliau berkata sudah menjadi pengamal undang-undang sejak 23 tahun lalu dan pernah berlawan beberapa kes dengan mendiang Karpal Singh di mahkamah.

“Saya akan lawan untuk agama, semua bangsa dan negara,” katanya lagi.

9.15am: Lim Guan Eng berkata, DAP tidak akan mengambil mudah pilihan raya kecil itu bagi mengelakkan kejutan wakil bebas.

Beliau juga menyifatkan BN tidak berani apabila gagal meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu, tetapi memberi isyarat menghantar calon bebas.

“Apa yang BN fikirkan? Mereka tiada prinsip dan malah keberanian. Menang atau kalah itu biasa tetapi sekurang-kurangnya harus ada keberanian.

“Dengan melakukan perkara itu, nampaknya mereka melayan pilihan raya kecil ini dan proses demokrasi sebagai sebuah permainan.

“Tetapi saya hendak maklumkan pada mereka, don't play-play, (jangan main-main)” katanya.

9:25am Dewan Sri Pinang Calon Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin (kiri) menyeru penyokong dan ahli parti Pakatan Rakyat di luar dewan untuk memastikan majoriti lebih besar kepada DAP bagi pilihan raya kecil ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Bukit Katil berkata legasi Karpal Singh harus diteruskan dan kemenangan besar patut diperoleh menentang calon bebas nanti.

Penyokong lain turut melaungkan slogan 'Hidup Pakatan' dan 'Tumbang Bebas' kerana BN tidak menghantar calon mereka kali ini.

9.10am: Dewan Sri Pinang – Calon bebas Mohamed Nabi Bux dan Huan Cheng Guan daripada PCM memasuki pusat penamaan calon bagi menghantar borang masing-masing.

Mohamed Nabi Bux ditemani bekas pemimpin parti KITA yang juga pernah aktif bersama PKR sebelum ini, Zamil Ibrahim.

“Saya datang untuk sokong mana-mana calon yang bukan daripada DAP,” kata Zamil.

Mohamed Nabi Bux sebelum itu diiringi kira-kira 100 penyokong yang hadir bersama kain rentang prohudud (atas) yang mahu hukuman itu dijalankan di Pulau Pinang pada tahun 2020.

8:50am: Esplanade – Pemimpin-pemimpin kanan Pakatan, termasuk Lim Guan Eng (DAP), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail (PKR) bergerak ke Dewan Seri Pinang.

Mereka diiringi paluan kompang dan gendang Cina.

8.40am: Huan dari PCM tiba bersama kira-kira 30 orang penyokongnya (bawah).

Lima minit sebelum itu, Ramkarpal tiba dengan kereta pacuan empat roda, diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan saudaranya Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh.

Mereka akan berkumpul ke pusat penamaan dengan kira-kira 500 penyokong.

8:15am: Speaker's Corner – Penyokong Pakatan mula berkumpul. Antara kelihatan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail (bawah, berkipas), timbalannya Azmin Ali dan pemimpin PAS Mujahid Yusof Rawa.

Kuil Goddess of Mercy, Pitt Street – Huan berdoa untuk sebuah pilihan raya yang aman.

“Saya juga berdoa supaya tidak hilang deposit,” katanya berseloroh.

Ditanya sama ada beliau akan menjadi calon mesra BN, beliau membalas dengan berkata setiausaha agung DAP lebih mesra dengan parti itu berbanding dirinya.

“Lim Guan Eng lebih mesra BN daripada saya, ambil gambar selfie dan berpeluk dengan pemimpin BN,” katanya.

8.10am: Dewan Sri Pinang – Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kelihatan memeriksa persediaan untuk proses penamaan calon.

Beliau sempat tunjukkan sekeping kertas dengan pilihan logo-logo berbeza kepada media.

“Saya tunjukkan ini kerana mungkin akan ada banyak calon bebas,” katanya.

7.30am: Cuaca cerah pagi ini dijangka lebih melicinkan proses penamaan calon.