HTML/JavaScript

Monday 3 September 2018

Hanipa tak setuju SPRM diberi kuasa mendakwa

 
   
Ketika sesetengah pemimpin politik beranggapan kuasa mendakwa wajar diberikan kepada agensi penguat kuasa di negara ini Hanipa Maidin pula berpendapat sebaliknya.
Menurut pandangan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak ada keperluan bagi kerajaan meminda undang-undang supaya agensi penguat kuasa mendapat hak mendakwa seseorang suspek.

"Bagi saya, cadangan itu - walaupun mungkin baik dari suatu sudut - ia berpotensi besar mewujudkan konflik kepentingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Hanipa memberikan reaksi kepada kenyataan Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar yang mengulas isu penarikan balik tuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Kata Nurul Izzah, Pejabat Peguam Negara perlu memberi penjelasan terhadap keputusan mereka menggugurkan pendakwaan ke atas Lim serta seorang ahli perniagaan Phang Li Koon.

Anak timbalan perdana menteri itu juga berpendapat agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar diberi kuasa mendakwa.
Hanipa memberitahu beliau menghormati hak Nurul Izzah menyuarakan pandangan mengenai isu berkenaan dan boleh dianggap adil.

Bukan amalan universal
Namun anggota parlimen Sepang itu berpendapat mengikut Fasal 145 (3) Perlembagaan Persekutuan tidak ada keperluan bagi peguam negara membuat penjelasan mengenainya.
"Bagaimanapun dengan penuh hormat dan maaf, saya tidak boleh setuju dengan kenyataan Nurul Izzah untuk memberi kuasa mendakwa kepada SPRM," katanya.
Semalam Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebas dan melepaskan Lim serta Phang daripada tuduhan rasuah. Ia diputuskan hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas Pejabat Peguam Negara membuat keputusan menarik balik pendakwaan berkenaan.

SPRM pula mendakwa mereka "amat terkejut" dengan keputusan itu dan menegaskan tidak terbabit dalam penarikan balik tuduhan ke atas Lim serta Phang.

Kata Hanipa seperti polis, SPRM juga sebuah agensi penyiasatan dan tugas utama mereka ialah menyiasat, bukannya mendakwa.
Apabila agensi penyiasatan diberi juga kuasa untuk mendakwa, katanya, ia bukan suatu amalan yang baik atau universal.

"Tidak perlu saya katakan jika ada konflik kepentingan, ia bukan memudahkan kerja pendakwaan, sebaliknya ia makin menyusahkan.
"Kesannya, secara relatif mungkin orang kena tuduh lebih mudah untuk bebas daripada disabitkan," katanya.
Malaysiakini