HTML/JavaScript

Thursday, 4 October 2018

Setiap hari adalah ‘bonus’, kata Siti Hasmah

Siti Hasmah bersyukur diberi peluang hidup sehingga 92 tahun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini menasihati rakyat di negara ini agar menganggap setiap hari sebagai suatu “bonus” dan menghabiskan hari-hari tersebut dengan melakukan kebaikan untuk diri sendiri dan juga orang lain.

Siti Hasmah, 92, berkata setiap orang perlu sentiasa berterima kasih dan bersyukur kepada Yang Maha Berkuasa bagi kehidupan yang dikurniakan kepada mereka.

“Hari ini kita boleh buka mata setiap pagi… setiap pagi adalah bonus bagi kita… selagi Allah rahmati kita dengan bonus yang kita peroleh pada setiap pagi, ia bermakna kita ada lebih (masa) untuk melakukan perkara-perkara baik,” katanya semasa merasmikan Hari Warga Emas Sedunia 2018 di Pusat Perubatan Universiti Malaya, hari ini.

Beliau juga menarik perhatian hadirin terhadap pengorbanan 6 penyelam Unit Penyelamat di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang maut semasa operasi mengesan seorang remaja yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik bekas lombong di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi.
“Satu lagi kumpulan individu yang jauh lebih muda daripada kita mengorbankan nyawa mereka untuk menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya sambil menyampaikan salam takziah kepada keluarga penyelam terbabit.
Terdahulu, Siti Hasmah yang berbaju kurung merah jambu meluangkan masa lebih 2 jam dan turut melakukan senaman ringan bersama-sama peserta program yang keseluruhannya terdiri daripada mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

Beliau juga menyifatkan kehadirannya pada majlis berkenaan membuatkan beliau “berasa muda” kerana dapat berkumpul dengan rakan seusia meskipun memiliki jadual harian yang padat.
“Saya berasa sangat muda hari ini… dapat berkumpul seperti ini… mereka memainkan lagu-lagu lama yang kita semua dengar sewaktu muda-muda dahulu,” katanya.

Dr Siti Hasmah yang gembira menerima hadiah sebuah harmonika secara berseloroh berkata beliau mungkin mainkan instrumen muzik itu untuk suaminya (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan disambut gelak ketawa peserta yang hadir.
FMT

Monday, 3 September 2018

Hanipa tak setuju SPRM diberi kuasa mendakwa

 
   
Ketika sesetengah pemimpin politik beranggapan kuasa mendakwa wajar diberikan kepada agensi penguat kuasa di negara ini Hanipa Maidin pula berpendapat sebaliknya.
Menurut pandangan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak ada keperluan bagi kerajaan meminda undang-undang supaya agensi penguat kuasa mendapat hak mendakwa seseorang suspek.

"Bagi saya, cadangan itu - walaupun mungkin baik dari suatu sudut - ia berpotensi besar mewujudkan konflik kepentingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Hanipa memberikan reaksi kepada kenyataan Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar yang mengulas isu penarikan balik tuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Kata Nurul Izzah, Pejabat Peguam Negara perlu memberi penjelasan terhadap keputusan mereka menggugurkan pendakwaan ke atas Lim serta seorang ahli perniagaan Phang Li Koon.

Anak timbalan perdana menteri itu juga berpendapat agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar diberi kuasa mendakwa.
Hanipa memberitahu beliau menghormati hak Nurul Izzah menyuarakan pandangan mengenai isu berkenaan dan boleh dianggap adil.

Bukan amalan universal
Namun anggota parlimen Sepang itu berpendapat mengikut Fasal 145 (3) Perlembagaan Persekutuan tidak ada keperluan bagi peguam negara membuat penjelasan mengenainya.
"Bagaimanapun dengan penuh hormat dan maaf, saya tidak boleh setuju dengan kenyataan Nurul Izzah untuk memberi kuasa mendakwa kepada SPRM," katanya.
Semalam Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebas dan melepaskan Lim serta Phang daripada tuduhan rasuah. Ia diputuskan hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas Pejabat Peguam Negara membuat keputusan menarik balik pendakwaan berkenaan.

SPRM pula mendakwa mereka "amat terkejut" dengan keputusan itu dan menegaskan tidak terbabit dalam penarikan balik tuduhan ke atas Lim serta Phang.

Kata Hanipa seperti polis, SPRM juga sebuah agensi penyiasatan dan tugas utama mereka ialah menyiasat, bukannya mendakwa.
Apabila agensi penyiasatan diberi juga kuasa untuk mendakwa, katanya, ia bukan suatu amalan yang baik atau universal.

"Tidak perlu saya katakan jika ada konflik kepentingan, ia bukan memudahkan kerja pendakwaan, sebaliknya ia makin menyusahkan.
"Kesannya, secara relatif mungkin orang kena tuduh lebih mudah untuk bebas daripada disabitkan," katanya.
Malaysiakini

Friday, 31 August 2018

Anwar masuk parlimen seawal Oktober ini

Diterbitkan
   
Kurang dari 60 hari - itu tempoh yang ada sebelum orang ramai dapat melihat susuk Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen sebagai "yang berhormat".
Itu anggaran masa yang dibayangkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) dan PKR itu dalam temu bual yang disiarkan hari ini.

Anwar memang diketahui bakal menjadi anggota parlimen dan bersiap sedia untuk dilantik menjadi perdana menteri kelapan, namun belum ada tempoh waktu atau jadual yang jelas untuk beliau meneruskan langkah politiknya.
Namun melalui temu bual disiarkan BH Online hari ini Anwar memberikan satu lagi bayangan yang lebih jelas - mungkin Oktober ini.

Ditanya mengenai kemunculan semula di parlimen, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, ia akan dibuat melalui pilihan raya kecil.
Maknanya, akan dibuat pengosongan kerusi tertentu dan beliau akan bertanding di kawasan berkenaan. Cuma di mana - itu yang belum diputuskan.

“Saya sudah jelaskan perkara ini secara peribadi dan umum yang saya akan kembali ke parlimen, insya-Allah jika menang (PRK) sebelum hujung tahun... mungkin Oktober," katanya dipetik portal itu.

Mahu sama-sama selesa
Setakat ini sudah ada beberapa anggota parlimen menyatakan kesediaan mereka berundur bagi memberi laluan buat Anwar.
Antaranya ialah Datuk Johari Abdul (Sungai Petani) dan William Leong (Selayang).
Turut disebut-sebut ialah anggota parlimen bebas dari Perak.

Bagaimanapun anggota parlimen terbabit - Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) menafikannya.
Ketika ini isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mewakili kerusi parlimen Pandan dan anak mereka Nurul Izzah Anwar, bertanding - dan menang - di Permatang Pauh.
Menurut Anwar beliau sedang "mempertimbangkan" satu kerusi yang ditawarkan kepadanya tetapi belum membuat keputusan muktamad kerana faktor tokoh yang sedang mewakili kawasan berkenaan.

“Saya ada pertimbangkan satu kerusi ini, beliau menawarkan kepada saya tetapi apabila dilihat prestasi, beliau seorang anggota parlimen yang sangat baik... saya rasa rugi pula. Jadi semuanya sedang dipertimbangkan,” katanya.

Pada masa sama Anwar menjelaskan kerusi yang ingin ditandinginya perlulah tempat yang selesa, sama ada untuk beliau atau pengundi di situ.
“Ini soal untuk kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
"Kita perlukan keselesaan itu, seperti di Permatang Pauh kita rasa macam adik beradik, boleh melawak begitu dan begini dan saya sangat yakin dengan mereka begitu juga mereka (pengundi).

“Hendak mencapai tahap sebegitu tidak mudah kerana ia mengambil masa,” katanya.
Sementara itu Anwar berkata beliau tidak akan mengganggu Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir bagi membawa negara ke landasan yang betul.
“Sekarang Dr Mahathir ada tugas besar disebabkan semua masalah yang melanda negara. Saya mendoakan beliau berjaya,” katanya.

Sunday, 14 December 2014

Bekas bos SPR minta PM henti 'tipu' rakyat

14 Dec 2014
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyeru agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar berhenti “menipu” rakyat dan menjelaskan perkara yang sebenar berkaitan isu-isu berbangkit dalam negara ini.

"Berhenti menipu rakyat dan buat kerja kamu. Beritahu kepada pemimpin Melayu berlaku jujur dan buat apa yang boleh.

“Kita ada kuasa, polis pun kuasa kita, semua kita punya, kuasa itu banyak. Power (kuasa), power.

“Tak usah kerajaan nak bohongi rakyat, dedahkan (perkara sebenar berkaitan isu negara),” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam persidangan agung PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut secara jelas mana-mana isu yang dirujuknya itu.

Rashid juga berkata, sejak tidak mempunyai sebarang jawatan lagi, beliau kini berani mengkritik kerajaan tanpa rasa takut.

“Saya berani maki kerana saya tidak ada kuasa, jadi saya berani.

“Saya maki semua orang. Kita bagi kuasa untuk lakukan sesuatu, dia tak buat apa-apa, tapi dia kata dia buat,” katanya.

Beliau turut menambah, kritikan yang diberikan bersifat berani kerana tidak ada apa yang perlu disembunyikan dan beliau juga “tidak mencuri wang rakyat”. 
Malaysiakini

Rambut Indra Buruk Tapi Kelihatan Seperti Eric Cantona! - Petikan Daripada Akhbar Vietnam

14/12/14
Rambut Indra Buruk Tapi Kelihatan Seperti Eric Cantona! - 
Petikan Daripada Akhbar Vietnam


Kemenangan Harimau Malaya ketika menentang Vietnam
sekaligus dapat menempah tiket ke Final Piala Suzuki AFF tahun ini 
sememangnya amat manis, terutama kerana ia diraih 
di laman orang.


Namun sungguh pun penyokong bola Vietnam harus dipuji kerana 
miliki semangat kesukanan tinggi, sesetengah wartawan sukan 
negara tersebut rasanya masih perlu diasah pengetahuan sukan
 mereka.





Menerusi satu artikel mengulas kekalahan Vietnam di tangan 
Malaysia yang diberi tajuk ‘Tiger eat us at home’, berlaku 
kesilapan yang agak lawak apabila Safee Sali dinobatkan penulis 
artikel tersebut sebagai ‘man of the match’ padahal Safee hanya 
duduk di bangku simpanan sepanjang perlawanan.


Selepas dibaca kembali artikel yang diterbitkan Jumaat lalu itu,
 penulis dipercayai mahu memberikan gelaran tersebut kepada
 Indra Putra Mahayuddin.



Apa yang lucu, Indra turut digambarkan penulis sebagai pemain
 Kelantan hebat namun miliki potongan rambut buruk.

Eric Cantona – ada iras Indra Putra ke


Indra juga disifatkan penulis agak tua tapi masih berbisa
 dan kelihatan seperti pelakon yang juga bekas pemain 
bola sepak Perancis, Eric Cantona.


Oh, selain itu penulis sukan tersebut turut menyelitkan 
gosip kononnya pemain senior Vietnam mendakwa pemain
 negara mereka menjual perlawanan pada malam tersebut
 dan itulah punca utama Vietnam kalah!
sumber:

Sunday, 11 May 2014

PAS setia bersama PR walau musuh cetus keretakan

MOHD SABRI SAID | .
GEORGE TOWN: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru PAS seluruh negara menghantar jentera membantu calon DAP mulai hari penamaan calon sehingga hari pengundian.

Presiden PAS itu berkata, jentera parti perlu bergerak aktif seolah-olah PAS bertanding dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor.

"Kita tetap setia bersama Pakatan Rakyat walaupun isu keretakan sengaja dibangkitkan oleh musuh kita. Hari ini semua isu itu dah hilang.

"Kita kena ubah pemikiran politik demi masa depan negara," ujarnya ketika berucap merasmikan Markas Induk Pilihan raya Kecil Bukit Gelugor di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Sungai Gelugor malam tadi.

Katanya, kerjasama antara PAS dan DAP bukan baru tetapi telah lama sejak berjuang menentang Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA).

Jelasnya lagi, apabila Umno gagal rampas Kelantan pada 1978, mereka membentang Rang Undang-Undang Darurat dengan niat mencetuskan  perbalahan tetapi Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh ketika itu bangun menentang dan membangkang undang-undang  tersebut.

Itulah katanya, titik persamaan antara PAS dan DAP sejak dahulu sebelum adanya Pakatan Rakyat.

"Hasilnya kemesraan terjalin walaupun berlainan pandangan," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Katanya lagi, kerjasama yang PAS laksanakan bukan baru sebaliknya telah diajar oleh Rasullulah s.a.w.

Tegasnya, konsep adil untuk semua menjadi amalan sebuah Kerajaan Islam yang tidak menganiaya semua masyarakat. - HARAKAHDAILY 12/5/2014

Tragedi potong sawi menyebabkan kematian

12 Mei 2014


Dalam kejadian itu, mangsa, Josyua Jesbon, 30, meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) akibat luka di dada kiri akibat ditikam menggunakan pisau sepanjang 20 sentimeter.
Wanita itu yang juga kekasih mangsa berusia 28 tahun kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas dinasihatkan berbuat demikian oleh salah seorang rakannya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati cara wanita itu memotong sawi tidak disukai teman lelakinya.
“Selepas itu, berlaku pertengkaran dan wanita itu tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh mangsa lalu terus melakukan kerjanya.
“Sebaik saja selesai memotong sawi, dia kemudian duduk menghadap mangsa.
 
 Ketika itu, mangsa masih tidak berpuas hati lalu memukul dan menumbuk kekasihnya bertubi-tubi. “Wanita itu pada awalnya hanya menahan kesakitan, tetapi apabila berterusan dibelasah, dia yang sudah tidak tahan terus mengambil sebilah pisau dan menikam dada kiri mangsa.
“Berikutan tikaman itu, mangsa rebah dan wanita itu bergegas keluar dari bilik lalu mengetuk bilik sewa lain untuk meminta pertolongan,” katanya.

Seorang penghuni bilik itu kemudian keluar lalu memberikan telefon bimbit kepada wanita itu untuk menghubungi ambulans.
Mangsa dibawa ke Wad Kecemasan HQE, tetapi disahkan sudah meninggal dunia.
Polis juga sudah merampas sebilah pisau berukuran 20 sentimeter dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik di HQE untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Foto

myMetro