HTML/JavaScript

Thursday 4 October 2018

Setiap hari adalah ‘bonus’, kata Siti Hasmah

Siti Hasmah bersyukur diberi peluang hidup sehingga 92 tahun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini menasihati rakyat di negara ini agar menganggap setiap hari sebagai suatu “bonus” dan menghabiskan hari-hari tersebut dengan melakukan kebaikan untuk diri sendiri dan juga orang lain.

Siti Hasmah, 92, berkata setiap orang perlu sentiasa berterima kasih dan bersyukur kepada Yang Maha Berkuasa bagi kehidupan yang dikurniakan kepada mereka.

“Hari ini kita boleh buka mata setiap pagi… setiap pagi adalah bonus bagi kita… selagi Allah rahmati kita dengan bonus yang kita peroleh pada setiap pagi, ia bermakna kita ada lebih (masa) untuk melakukan perkara-perkara baik,” katanya semasa merasmikan Hari Warga Emas Sedunia 2018 di Pusat Perubatan Universiti Malaya, hari ini.

Beliau juga menarik perhatian hadirin terhadap pengorbanan 6 penyelam Unit Penyelamat di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang maut semasa operasi mengesan seorang remaja yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik bekas lombong di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi.
“Satu lagi kumpulan individu yang jauh lebih muda daripada kita mengorbankan nyawa mereka untuk menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya sambil menyampaikan salam takziah kepada keluarga penyelam terbabit.
Terdahulu, Siti Hasmah yang berbaju kurung merah jambu meluangkan masa lebih 2 jam dan turut melakukan senaman ringan bersama-sama peserta program yang keseluruhannya terdiri daripada mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

Beliau juga menyifatkan kehadirannya pada majlis berkenaan membuatkan beliau “berasa muda” kerana dapat berkumpul dengan rakan seusia meskipun memiliki jadual harian yang padat.
“Saya berasa sangat muda hari ini… dapat berkumpul seperti ini… mereka memainkan lagu-lagu lama yang kita semua dengar sewaktu muda-muda dahulu,” katanya.

Dr Siti Hasmah yang gembira menerima hadiah sebuah harmonika secara berseloroh berkata beliau mungkin mainkan instrumen muzik itu untuk suaminya (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan disambut gelak ketawa peserta yang hadir.
FMT