HTML/JavaScript

Monday 8 July 2013

Kuala Besut: Fokus dan boleh cipta sejarah

Harakahdaily, 08 Jul 2013
KUALA BESUT: PAS yakin dengan memberikan fokus khusus untuk setiap kelompok pengundi, parti komponen Pakatan Rakyat itu boleh menang di pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut.

Yang Dipertua PAS kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad (gambar) berkata, pihaknya telah menyusun strategi tertentu bagi memastikan sejarah dicipta di negeri ini.

Terengganu bakal mencipta sejarah jika PAS berjaya memenangi PRK ini kerana akan mempunyai bilangan Adun yang sama ramai dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu iaitu 16:16.

Dalam pilihan raya umum ke 13 baru-baru ini, BN mendapat 17 kerusi manakala PAS mendapat 14 dan PKR satu.

Dengan kematian Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar 26 Jun lalu, Adun BN tinggal 16. Jika PAS menang dalam pilihan raya ini, jumlah Adun Pakatan akan menjadi 16.

"Suasana inilah yang hendak dicipta oleh para penyokong PAS sekarang. Inilah yang menjadi tema kempen kita, mari kita cipta sejarah," kata Wan Azhar ketika ditemui Harakahdaily baru-baru ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai hari membuang undi PRK Kuala Besut sementara penamaan calon pada 12 Julai.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu kerana kanser paru-paru.

Pada PRU13 lalu, Allahyarham memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. Majoriti calon BN adalah 2,434 undi.

Dari 14 pilihan raya sebelum ini, PAS menang empat kali iaitu 1959, 1969, 1974 dan 1999. Yang lainnya dimenangi BN.

Ketika ditanya pendapat Ketua Umno bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang berkata, PAS tidak boleh berbuat apa-apa walaupun menang kerana mereka mempunyai Speaker di pihak BN, Wan Azhar berkata;

"Bagaimana kalau Adun PAS memberikan usul undi tidak percaya kepada speaker. 16 menyokong dan 16 lagi menentang usul itu. Apa akan berlaku?" jawab beliau dengan memberikan soalan.

Bagi Wan Azhar, jawapannya tentu sukar dan inilah sejarah baru yang bakal dicipta jika menang.

Pakar undang-undang perlembagaan, Dr Aziz Bari berpendapat, jika PAS menang, Sultan boleh membuat keputusan siapa yang berhak menjadi pemimpin ataupun pilihan raya semula boleh diadakan.

Tembak penyokong Morsi rumitkan krisis Mesir


  • Malaysiakini  Jul 8 2013
 
Sekurang-kurangnya 15 terbunuh di Kaherah, menurut sumber perubatan, dan Ikhwanul Muslimin mendakwa tembakan dilepas kepada penyokong presiden yang digulingkan Mohamed Morsi dekat bangunan tentera tempat beliau ditahan.

Pertumpahan darah itu sekali gus merumitkan lagi krisis politik Mesir, meningkatkan bantahan terhadap penggulingan Morsi oleh tentera Rabu lalu selepas demonstrasi besar menuntut pengundurannya, yang dianggap kudeta oleh Ikhwan.

Menurut tentera, "kumpulan pengganas" cuba menyerang kawasan tentera Pengawal Republik menyebabkan seorang pegawainya dibunuh dan 40 lagi cedera.

Tentera membalas tembakan selepas diserang penyerang bersenjata, menurut sumber tentera.

Jurucakap rasmi Ikhwan Gehad El-Haddad, yang bersama-sama peserta duduk bantah di masjid berdekatan berkata, 37 penyokong Morsi terbunuh.

Katanya, tembakan dilepaskan sejak awal pagi ketika umat Islam bersolat dan duduk secara aman di luar berek Pengawal Republik.

"Kami mengajak semua rakyat Mesir yang patriotik dan berani untuk menyertai kami... duduk bagi mempertahankan negara ini daripada kudeta tentera oleh pengkhianat yang berkomplot," katanya melalui pesanan Twitter.

Thursday 4 July 2013

PAS kutuk rampasan kuasa terhadap presiden Morsi

Harakahdaily  

Salmiyah Harun, 04 Jul 2013

KUALA LUMPUR: PAS mengutuk sekeras-kerasnya rampasan kuasa oleh tentera Mesir terhadap kepimpinan Presiden Dr Mohamed Morsi kerana telah mengenepikan suara rakyat negara itu melalui undi pilihan raya yang adil dan bersih.

Timbalan Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Dr Syed Azman Nawawi berkata, apa yang terjadi di Mesir sekaligus memberi gambaran negatif bahawa wujud usaha untuk membunuh pendemokrasian yang berlaku di seluruh dunia.

PAS turut menggesa tentera negara itu kembali kepada kedudukan asal mereka dan menyerah kembali kuasa kepada kerajaan Mohamed Morsi yang dipilih oleh rakyat.

Syed Azman juga percaya apa yang berlaku di Mesir adalah merupakan satu rampasan kuasa yang mendapat sokongan kuasa besar dunia.

Katanya, apabila melihat polisi kerajaan dan Presiden Mesir yang tidak menguntungkan pihak kuasa besar maka mereka kembalikan negara itu kepada tentera dengan mengenepikan kuasa rakyat.

"Ini merupakan penghinaan kepada keputusan rakyat yang memilih kerajaan yang sah melalui pilihan raya bersih.

"Tiba-tiba boleh bagi sokongan rampasan kuasa oleh tentera kerajaan yang sah melalui demokrasi," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut mendapat gambaran keadaan di Mesir selepas menghubungi salah seorang pimpinan Ikhwan Muslimin iaitu Dr Essam Arian kelmarin sebelum di tangkap.

"Saya difahamkan beliau sudah ditangkap hari ini. Saya dapat hubungi beliau kelmarin untuk mengetahui bagaimana keadaan disana," jelasnya.

Pilihan raya Presiden Mesir tahun lepas telah mendapat pengiktirafan seluruh dunia yang memperlihatkan sebuah pilihan raya yang paling telus dan adil.

Ketua angkatan tentera mengeluarkan satu deklarasi petang semalam, menggantung perlembangaan dan melantik Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly Mansour, sebagai ketua interim negara.

Dalam siaran televisyen tempatan, pemimpin tentera dan tokoh politik, Andel Fattah al-Sisi telah mengisytiharkan penyingkiran Morsi.

Penyokong Morsi yang berkumpul di pinggir bandar Kaherah sangat tidak puas hati dan penyingkiran pemimpin negara Mesir ini membangkitkan kemarahan mereka dengan pengumuman yang dibuat oleh tentera itu.

Menurut anggota kanan Ikhwan Muslimin, Morsi kini berada di bawah tahanan tentera.

Dua tahun lalu, di Tahrir terdapat perayaan hampir sama selepas Hosni Mubarak ditumbangkan dan Morsi diangkat sebagai presiden pertama dipilih rakyat.

'Rozali layak terima ganjaran RM33.4j'

Malaysiakini

  • 5:37PM Jul 4 2013
 
Sekumpulan pemegang saham minoriti Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB) hari ini mempertahankan keputusan untuk memberi pakej ganjaran sehingga RM33.4 juta kepada pengerusi eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail.

Pengerusi Kumpulan Pengawas Saham Minoriti Puncak Niaga Muhammad Imran Abdullah mereka meluluskan cadangan tersebut, yang dibentangkan di mesyuarat agung tahunan PNHB.

"Anda mesti faham, ini adalah orang yang mengasaskan syarikat ini 20 tahun lalu. Atas sekali sumbangannya, para pemegang saham bersetuju dengan bayaran ini,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Katanya, beliau secara peribadi berpendapat Rozali berhak menerima imbuhan tersebut dan mendakwa golongan yang membangkitkan isu berkenaan bukan terdiri dari golongan pemegang saham kepada syarikat pemegang konsesi air itu.

Ditanya lanjut mengenai perkara itu, Muhammad Imran berkata beliau dan pemegang saham terababit lebih prihatin mengenai dividen dan pulangan mereka, dan menambah usul mengenai ganjaran tersebut telahpun diputuskan.

Isu ganjaran berkenaan dipersoalkan oleh MP Klang Charles Santiago yang menyifatkannya sebagai keputusan “tidak beretika dan tidak bertanggungjawab” memandangkan air adalah untuk kegunaan awam.