Sinarharian
24 Januari 2013
Zailani memeluk anaknya, Muhammad Darwish Aniq yang diselamatkan polis daripada penjenayah, semalam.
KEMAMAN – “Saya hanya terbayang mungkin anak tidak akan ditemui lagi,
namun saya syukur, dengan kepantasan polis akhirnya anak dapat
diselamatkan,” kata Sarina Husin, 37.
Anak bongsunya, Muhammad Darwish Aniq, 3, berjaya ditemui semula
selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm milik
suaminya dilarikan penjenayah dalam kejadian samun dan culik ketika
mereka tiga beranak berhenti di stesen minyak Petronas, Bukit Kuang,
kira-kira jam 10.30 pagi semalam.
Semasa kejadian, Sarina bersama suaminya, Zailani Mohd Shah, 43, dan
anak dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Baru Kerteh ke Bandar
Chukai untuk membeli barangan dapur dan singgah di stesen minyak
berkenaan untuk ke tandas.
“Ketika itu, anak sedang tidur di tempat duduk belakang dan saya
tandas. Tak sangka belum sempat keluar, suami turut masuk ke tandas.
Sebaik keluar tandas dan menghampiri kenderaan, tiba-tiba ia bergerak.
“Saya kejar kenderaan sambil ketuk tingkap kerana sangka suami berada
didalam, tetapi ia semakin laju dan meluru memasuki jalan menghala ke
Kerteh,” katanya sambil mengakui cermin kenderaan yang gelap
membuatkannya tidak nampak wajah pemandu.
Mengesyaki sesuatu yang buruk, ibu empat anak ini segera meluru ke
tandas dan memanggil nama suaminya dan mendapati suaminya berada dalam
tandas.
Kata Sarina, dalam kekalutan itu, seorang pemuda, Saufi Sukardi, 21,
yang secara kebetulan berhenti di situ untuk mengisi minyak terdengar
jeritannya yang meminta tolong lalu mengajaknya dan suami mengejar
kenderaan mereka yang dilarikan itu.
Sementara itu, kata Zailani, ketika mengejar mangsa, dia sempat
menghubungi talian 999 untuk meminta pertolongan dan mereka mengejar
sehingga ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik.
“Dalam kepala, waktu itu saya hanya fikirkan keselamatan anak, saya
tidak fikirkan soal kenderaan yang dicuri. Kami kejar hingga ke IKBN
Kemasik dan beberapa minit selepas itu, sepasukan enam anggota polis
yang menaiki sebuah kenderaan memintas kenderaan dinaiki kami untuk
mengejar penjenayah itu,” katanya.
Sejurus kemudian, dia menerima panggilan daripada polis memaklumkan
kereta mereka dijumpai dan suspek yang melarikan kenderaan juga berjaya
ditahan di Jalan Santong, Paka, Dungun kira-kira jam 11.30 pagi.
Dia dan isteri sangat bersyukur apabila mendapati anak mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada polis yang cepat dan cekap
bertindak sehingga anak kami berjaya diselamatkan. Terima kasih juga
kepada Encik Saufi yang sudi membantu pada saat kami melalui detik sukar
ini,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan mengesahkan kejadian.
“Hasil siasatan awal kami percaya suspek tidak melakukan jenayah ini
bersendirian, sebaliknya ada dua lagi rakannya yang mengekori dari
belakang menggunakan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau
gelap.
“Nombor pendaftaran kereta berkenaan hanya dapat dikenal pasti bermula
dengan WCT. Siasatan selanjutnya sedang dijalankan,” katanya.