HTML/JavaScript

Wednesday, 5 September 2012

Sebab seronok sanggup tayang punggung, kata pensyarah

Wartawan Sinar Harian
6 September 2012
SHAH ALAM – Keseronokan adalah punca utama kenapa remaja sering melakukan tindakan di luar dugaan, seperti yang berlaku pada malam himpunan Janji Demokrasi baru-baru ini di mana seorang remaja berumur 19 tahun menayangkan punggung di khalayak awam.

Pensyarah di Jabatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Ruhani Mat Min berkata, remaja tersebut bertindak demikian kerana mahu menonjolkan diri di kalangan rakan-rakannya.

Menurutnya, pada peringkat umur ini, kebanyakan remaja masih tidak mampu berfikir dengan baik sama ada tindakan mereka itu menyalahi undang-undang ataupun tidak, malah kadang-kadang kumpulan ini berfikir dengan cara ‘terbalik’.

"Mungkin pada malam itu, rakan-rakan saling mencabar antara satu sama lain, sebab sudah terlalu seronok, maka remaja ini tidak mahu kalah dengan menayangkan punggungnya.

"Apabila remaja berkumpul dalam jumlah yang ramai, maka mereka saling menonjolkan diri mereka untuk diterima oleh kumpulan, maka remaja ini berseronok dengan semua tindakan mereka," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, bagi menangani kumpulan remaja seperti ini, kerajaan perlu memperbanyakkan aktiviti untuk golongan remaja supaya kumpulan ini berseronok dengan cara yang sepatutnya.

"Tidak dinafikan kumpulan ini perlukan keseronokan, jadi pihak berwajib perlu memberi banyak peluang dan membangunkan prasarana dan kemudahan bagi mereka beriadah dengan positif serta terancang.

"Remaja ada banyak tenaga dan jangan sia-siakannya, jika kumpulan ini dibiarkan, maka kesudahannya mereka akan bertindak pelik-pelik seperti ini," katanya

No comments:

Post a Comment