HTML/JavaScript

Thursday, 4 October 2018

Setiap hari adalah ‘bonus’, kata Siti Hasmah

Siti Hasmah bersyukur diberi peluang hidup sehingga 92 tahun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini menasihati rakyat di negara ini agar menganggap setiap hari sebagai suatu “bonus” dan menghabiskan hari-hari tersebut dengan melakukan kebaikan untuk diri sendiri dan juga orang lain.

Siti Hasmah, 92, berkata setiap orang perlu sentiasa berterima kasih dan bersyukur kepada Yang Maha Berkuasa bagi kehidupan yang dikurniakan kepada mereka.

“Hari ini kita boleh buka mata setiap pagi… setiap pagi adalah bonus bagi kita… selagi Allah rahmati kita dengan bonus yang kita peroleh pada setiap pagi, ia bermakna kita ada lebih (masa) untuk melakukan perkara-perkara baik,” katanya semasa merasmikan Hari Warga Emas Sedunia 2018 di Pusat Perubatan Universiti Malaya, hari ini.

Beliau juga menarik perhatian hadirin terhadap pengorbanan 6 penyelam Unit Penyelamat di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang maut semasa operasi mengesan seorang remaja yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik bekas lombong di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi.
“Satu lagi kumpulan individu yang jauh lebih muda daripada kita mengorbankan nyawa mereka untuk menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya sambil menyampaikan salam takziah kepada keluarga penyelam terbabit.
Terdahulu, Siti Hasmah yang berbaju kurung merah jambu meluangkan masa lebih 2 jam dan turut melakukan senaman ringan bersama-sama peserta program yang keseluruhannya terdiri daripada mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

Beliau juga menyifatkan kehadirannya pada majlis berkenaan membuatkan beliau “berasa muda” kerana dapat berkumpul dengan rakan seusia meskipun memiliki jadual harian yang padat.
“Saya berasa sangat muda hari ini… dapat berkumpul seperti ini… mereka memainkan lagu-lagu lama yang kita semua dengar sewaktu muda-muda dahulu,” katanya.

Dr Siti Hasmah yang gembira menerima hadiah sebuah harmonika secara berseloroh berkata beliau mungkin mainkan instrumen muzik itu untuk suaminya (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan disambut gelak ketawa peserta yang hadir.
FMT

Monday, 3 September 2018

Hanipa tak setuju SPRM diberi kuasa mendakwa

 
   
Ketika sesetengah pemimpin politik beranggapan kuasa mendakwa wajar diberikan kepada agensi penguat kuasa di negara ini Hanipa Maidin pula berpendapat sebaliknya.
Menurut pandangan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak ada keperluan bagi kerajaan meminda undang-undang supaya agensi penguat kuasa mendapat hak mendakwa seseorang suspek.

"Bagi saya, cadangan itu - walaupun mungkin baik dari suatu sudut - ia berpotensi besar mewujudkan konflik kepentingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Hanipa memberikan reaksi kepada kenyataan Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar yang mengulas isu penarikan balik tuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Kata Nurul Izzah, Pejabat Peguam Negara perlu memberi penjelasan terhadap keputusan mereka menggugurkan pendakwaan ke atas Lim serta seorang ahli perniagaan Phang Li Koon.

Anak timbalan perdana menteri itu juga berpendapat agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar diberi kuasa mendakwa.
Hanipa memberitahu beliau menghormati hak Nurul Izzah menyuarakan pandangan mengenai isu berkenaan dan boleh dianggap adil.

Bukan amalan universal
Namun anggota parlimen Sepang itu berpendapat mengikut Fasal 145 (3) Perlembagaan Persekutuan tidak ada keperluan bagi peguam negara membuat penjelasan mengenainya.
"Bagaimanapun dengan penuh hormat dan maaf, saya tidak boleh setuju dengan kenyataan Nurul Izzah untuk memberi kuasa mendakwa kepada SPRM," katanya.
Semalam Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebas dan melepaskan Lim serta Phang daripada tuduhan rasuah. Ia diputuskan hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas Pejabat Peguam Negara membuat keputusan menarik balik pendakwaan berkenaan.

SPRM pula mendakwa mereka "amat terkejut" dengan keputusan itu dan menegaskan tidak terbabit dalam penarikan balik tuduhan ke atas Lim serta Phang.

Kata Hanipa seperti polis, SPRM juga sebuah agensi penyiasatan dan tugas utama mereka ialah menyiasat, bukannya mendakwa.
Apabila agensi penyiasatan diberi juga kuasa untuk mendakwa, katanya, ia bukan suatu amalan yang baik atau universal.

"Tidak perlu saya katakan jika ada konflik kepentingan, ia bukan memudahkan kerja pendakwaan, sebaliknya ia makin menyusahkan.
"Kesannya, secara relatif mungkin orang kena tuduh lebih mudah untuk bebas daripada disabitkan," katanya.
Malaysiakini

Friday, 31 August 2018

Anwar masuk parlimen seawal Oktober ini

Diterbitkan
   
Kurang dari 60 hari - itu tempoh yang ada sebelum orang ramai dapat melihat susuk Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen sebagai "yang berhormat".
Itu anggaran masa yang dibayangkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) dan PKR itu dalam temu bual yang disiarkan hari ini.

Anwar memang diketahui bakal menjadi anggota parlimen dan bersiap sedia untuk dilantik menjadi perdana menteri kelapan, namun belum ada tempoh waktu atau jadual yang jelas untuk beliau meneruskan langkah politiknya.
Namun melalui temu bual disiarkan BH Online hari ini Anwar memberikan satu lagi bayangan yang lebih jelas - mungkin Oktober ini.

Ditanya mengenai kemunculan semula di parlimen, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, ia akan dibuat melalui pilihan raya kecil.
Maknanya, akan dibuat pengosongan kerusi tertentu dan beliau akan bertanding di kawasan berkenaan. Cuma di mana - itu yang belum diputuskan.

“Saya sudah jelaskan perkara ini secara peribadi dan umum yang saya akan kembali ke parlimen, insya-Allah jika menang (PRK) sebelum hujung tahun... mungkin Oktober," katanya dipetik portal itu.

Mahu sama-sama selesa
Setakat ini sudah ada beberapa anggota parlimen menyatakan kesediaan mereka berundur bagi memberi laluan buat Anwar.
Antaranya ialah Datuk Johari Abdul (Sungai Petani) dan William Leong (Selayang).
Turut disebut-sebut ialah anggota parlimen bebas dari Perak.

Bagaimanapun anggota parlimen terbabit - Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) menafikannya.
Ketika ini isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mewakili kerusi parlimen Pandan dan anak mereka Nurul Izzah Anwar, bertanding - dan menang - di Permatang Pauh.
Menurut Anwar beliau sedang "mempertimbangkan" satu kerusi yang ditawarkan kepadanya tetapi belum membuat keputusan muktamad kerana faktor tokoh yang sedang mewakili kawasan berkenaan.

“Saya ada pertimbangkan satu kerusi ini, beliau menawarkan kepada saya tetapi apabila dilihat prestasi, beliau seorang anggota parlimen yang sangat baik... saya rasa rugi pula. Jadi semuanya sedang dipertimbangkan,” katanya.

Pada masa sama Anwar menjelaskan kerusi yang ingin ditandinginya perlulah tempat yang selesa, sama ada untuk beliau atau pengundi di situ.
“Ini soal untuk kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
"Kita perlukan keselesaan itu, seperti di Permatang Pauh kita rasa macam adik beradik, boleh melawak begitu dan begini dan saya sangat yakin dengan mereka begitu juga mereka (pengundi).

“Hendak mencapai tahap sebegitu tidak mudah kerana ia mengambil masa,” katanya.
Sementara itu Anwar berkata beliau tidak akan mengganggu Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir bagi membawa negara ke landasan yang betul.
“Sekarang Dr Mahathir ada tugas besar disebabkan semua masalah yang melanda negara. Saya mendoakan beliau berjaya,” katanya.

Sunday, 14 December 2014

Bekas bos SPR minta PM henti 'tipu' rakyat

14 Dec 2014
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyeru agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar berhenti “menipu” rakyat dan menjelaskan perkara yang sebenar berkaitan isu-isu berbangkit dalam negara ini.

"Berhenti menipu rakyat dan buat kerja kamu. Beritahu kepada pemimpin Melayu berlaku jujur dan buat apa yang boleh.

“Kita ada kuasa, polis pun kuasa kita, semua kita punya, kuasa itu banyak. Power (kuasa), power.

“Tak usah kerajaan nak bohongi rakyat, dedahkan (perkara sebenar berkaitan isu negara),” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam persidangan agung PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut secara jelas mana-mana isu yang dirujuknya itu.

Rashid juga berkata, sejak tidak mempunyai sebarang jawatan lagi, beliau kini berani mengkritik kerajaan tanpa rasa takut.

“Saya berani maki kerana saya tidak ada kuasa, jadi saya berani.

“Saya maki semua orang. Kita bagi kuasa untuk lakukan sesuatu, dia tak buat apa-apa, tapi dia kata dia buat,” katanya.

Beliau turut menambah, kritikan yang diberikan bersifat berani kerana tidak ada apa yang perlu disembunyikan dan beliau juga “tidak mencuri wang rakyat”. 
Malaysiakini

Rambut Indra Buruk Tapi Kelihatan Seperti Eric Cantona! - Petikan Daripada Akhbar Vietnam

14/12/14
Rambut Indra Buruk Tapi Kelihatan Seperti Eric Cantona! - 
Petikan Daripada Akhbar Vietnam


Kemenangan Harimau Malaya ketika menentang Vietnam
sekaligus dapat menempah tiket ke Final Piala Suzuki AFF tahun ini 
sememangnya amat manis, terutama kerana ia diraih 
di laman orang.


Namun sungguh pun penyokong bola Vietnam harus dipuji kerana 
miliki semangat kesukanan tinggi, sesetengah wartawan sukan 
negara tersebut rasanya masih perlu diasah pengetahuan sukan
 mereka.





Menerusi satu artikel mengulas kekalahan Vietnam di tangan 
Malaysia yang diberi tajuk ‘Tiger eat us at home’, berlaku 
kesilapan yang agak lawak apabila Safee Sali dinobatkan penulis 
artikel tersebut sebagai ‘man of the match’ padahal Safee hanya 
duduk di bangku simpanan sepanjang perlawanan.


Selepas dibaca kembali artikel yang diterbitkan Jumaat lalu itu,
 penulis dipercayai mahu memberikan gelaran tersebut kepada
 Indra Putra Mahayuddin.



Apa yang lucu, Indra turut digambarkan penulis sebagai pemain
 Kelantan hebat namun miliki potongan rambut buruk.

Eric Cantona – ada iras Indra Putra ke


Indra juga disifatkan penulis agak tua tapi masih berbisa
 dan kelihatan seperti pelakon yang juga bekas pemain 
bola sepak Perancis, Eric Cantona.


Oh, selain itu penulis sukan tersebut turut menyelitkan 
gosip kononnya pemain senior Vietnam mendakwa pemain
 negara mereka menjual perlawanan pada malam tersebut
 dan itulah punca utama Vietnam kalah!
sumber:

Sunday, 11 May 2014

PAS setia bersama PR walau musuh cetus keretakan

MOHD SABRI SAID | .
GEORGE TOWN: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru PAS seluruh negara menghantar jentera membantu calon DAP mulai hari penamaan calon sehingga hari pengundian.

Presiden PAS itu berkata, jentera parti perlu bergerak aktif seolah-olah PAS bertanding dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor.

"Kita tetap setia bersama Pakatan Rakyat walaupun isu keretakan sengaja dibangkitkan oleh musuh kita. Hari ini semua isu itu dah hilang.

"Kita kena ubah pemikiran politik demi masa depan negara," ujarnya ketika berucap merasmikan Markas Induk Pilihan raya Kecil Bukit Gelugor di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Sungai Gelugor malam tadi.

Katanya, kerjasama antara PAS dan DAP bukan baru tetapi telah lama sejak berjuang menentang Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA).

Jelasnya lagi, apabila Umno gagal rampas Kelantan pada 1978, mereka membentang Rang Undang-Undang Darurat dengan niat mencetuskan  perbalahan tetapi Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh ketika itu bangun menentang dan membangkang undang-undang  tersebut.

Itulah katanya, titik persamaan antara PAS dan DAP sejak dahulu sebelum adanya Pakatan Rakyat.

"Hasilnya kemesraan terjalin walaupun berlainan pandangan," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Katanya lagi, kerjasama yang PAS laksanakan bukan baru sebaliknya telah diajar oleh Rasullulah s.a.w.

Tegasnya, konsep adil untuk semua menjadi amalan sebuah Kerajaan Islam yang tidak menganiaya semua masyarakat. - HARAKAHDAILY 12/5/2014

Tragedi potong sawi menyebabkan kematian

12 Mei 2014


Dalam kejadian itu, mangsa, Josyua Jesbon, 30, meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) akibat luka di dada kiri akibat ditikam menggunakan pisau sepanjang 20 sentimeter.
Wanita itu yang juga kekasih mangsa berusia 28 tahun kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas dinasihatkan berbuat demikian oleh salah seorang rakannya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati cara wanita itu memotong sawi tidak disukai teman lelakinya.
“Selepas itu, berlaku pertengkaran dan wanita itu tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh mangsa lalu terus melakukan kerjanya.
“Sebaik saja selesai memotong sawi, dia kemudian duduk menghadap mangsa.
 
 Ketika itu, mangsa masih tidak berpuas hati lalu memukul dan menumbuk kekasihnya bertubi-tubi. “Wanita itu pada awalnya hanya menahan kesakitan, tetapi apabila berterusan dibelasah, dia yang sudah tidak tahan terus mengambil sebilah pisau dan menikam dada kiri mangsa.
“Berikutan tikaman itu, mangsa rebah dan wanita itu bergegas keluar dari bilik lalu mengetuk bilik sewa lain untuk meminta pertolongan,” katanya.

Seorang penghuni bilik itu kemudian keluar lalu memberikan telefon bimbit kepada wanita itu untuk menghubungi ambulans.
Mangsa dibawa ke Wad Kecemasan HQE, tetapi disahkan sudah meninggal dunia.
Polis juga sudah merampas sebilah pisau berukuran 20 sentimeter dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik di HQE untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Foto

myMetro

DAP berdepan 3 bebas di Bukit Gelugor

12 May 2014 Malaysiakini
Hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil Bukit Gelugor akhirnya tiba.

Calon-calon berkumpul di Dewan Sri Pinang, sekitar Light Street, Pulau Pinang.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Karpal Singh pada 17 April akibat kemalangan jalan raya.

Dalam pilihan raya umum lalu, tokoh DAP itu menang dengan majoriti besar 41,778 mengalahkan lawannya daripada BN Teh Beng Yeam.

Setakat ini, lima individu menunjukkan minat bertanding, termasuk anak Karpal, Ramkarpal daripada DAP dan Naib Presiden Parti Cinta Malasia (PCM) Huan Cheng Guan.

Manakala di pihak bebas pula Mohamed Nabi Bux, Yacoob Mohd Noor dan Abdul Bakar Sidek.

MCA tidak akan bertanding. Bagaimanapun, Pengerusi BN membayangkan akan terdapat calon mesra BN.

Siapakah calon misteri itu?

LAPORAN LANGSUNG

10.22am: Lim Chee Koon hilang kelayakan bertanding sebagai calon bebas selepas gagal membawa wang deposit ketika menyerahkan borang.

Pegawai SPR mengumumkan empat calon akan bersaing dalam pilihan raya kecil itu, iaitu, Ramkarpal Singh, Huan Cheng Guan Mohamed Nabi Bux dan Abu Backer Sidek Mohammad Zan.

10:05am: Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi melawat khemah calon-calon dan mengucapkan terima kasih ekoran proses penamaan calon hari ini berlangsung tanpa sebarang insiden.

Beliau juga kelihatan mengambil masa berbual-bual dengan calon bertanding.

“Semuanya bagus,” katanya sambil tersenyum kepada Malaysiakini ketika ditanya berhubung perjalanan proses penamaan calon hari ini.

10am: Proses penamaan calon ditutup dengan lima calon menghantar borang pencalonan masing-masing.

Mereka ialah, Ramkarpal (DAP), Huan Cheng Guan (PCM) serta tiga calon bebas – Mohamed Nabi Bux, Abu Bakar Sidek Mohammad Zan dan Lim Chee Khoon.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada mana-mana pihak mengaku sebagai calon bebas mesra BN.

9.50am: Seorang lagi calon bebas Abu Backer Sidek,46, muncul menyerahkan borang pencalonnya.

“Saya rakyat biasa dan budak Penang yang berkhidmat di KL, sama seperti Ram (Ramkarpal),” katanya yang juga seorang peguam.

Beliau berkata sudah menjadi pengamal undang-undang sejak 23 tahun lalu dan pernah berlawan beberapa kes dengan mendiang Karpal Singh di mahkamah.

“Saya akan lawan untuk agama, semua bangsa dan negara,” katanya lagi.

9.15am: Lim Guan Eng berkata, DAP tidak akan mengambil mudah pilihan raya kecil itu bagi mengelakkan kejutan wakil bebas.

Beliau juga menyifatkan BN tidak berani apabila gagal meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu, tetapi memberi isyarat menghantar calon bebas.

“Apa yang BN fikirkan? Mereka tiada prinsip dan malah keberanian. Menang atau kalah itu biasa tetapi sekurang-kurangnya harus ada keberanian.

“Dengan melakukan perkara itu, nampaknya mereka melayan pilihan raya kecil ini dan proses demokrasi sebagai sebuah permainan.

“Tetapi saya hendak maklumkan pada mereka, don't play-play, (jangan main-main)” katanya.

9:25am Dewan Sri Pinang Calon Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin (kiri) menyeru penyokong dan ahli parti Pakatan Rakyat di luar dewan untuk memastikan majoriti lebih besar kepada DAP bagi pilihan raya kecil ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Bukit Katil berkata legasi Karpal Singh harus diteruskan dan kemenangan besar patut diperoleh menentang calon bebas nanti.

Penyokong lain turut melaungkan slogan 'Hidup Pakatan' dan 'Tumbang Bebas' kerana BN tidak menghantar calon mereka kali ini.

9.10am: Dewan Sri Pinang – Calon bebas Mohamed Nabi Bux dan Huan Cheng Guan daripada PCM memasuki pusat penamaan calon bagi menghantar borang masing-masing.

Mohamed Nabi Bux ditemani bekas pemimpin parti KITA yang juga pernah aktif bersama PKR sebelum ini, Zamil Ibrahim.

“Saya datang untuk sokong mana-mana calon yang bukan daripada DAP,” kata Zamil.

Mohamed Nabi Bux sebelum itu diiringi kira-kira 100 penyokong yang hadir bersama kain rentang prohudud (atas) yang mahu hukuman itu dijalankan di Pulau Pinang pada tahun 2020.

8:50am: Esplanade – Pemimpin-pemimpin kanan Pakatan, termasuk Lim Guan Eng (DAP), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail (PKR) bergerak ke Dewan Seri Pinang.

Mereka diiringi paluan kompang dan gendang Cina.

8.40am: Huan dari PCM tiba bersama kira-kira 30 orang penyokongnya (bawah).

Lima minit sebelum itu, Ramkarpal tiba dengan kereta pacuan empat roda, diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan saudaranya Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh.

Mereka akan berkumpul ke pusat penamaan dengan kira-kira 500 penyokong.

8:15am: Speaker's Corner – Penyokong Pakatan mula berkumpul. Antara kelihatan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail (bawah, berkipas), timbalannya Azmin Ali dan pemimpin PAS Mujahid Yusof Rawa.

Kuil Goddess of Mercy, Pitt Street – Huan berdoa untuk sebuah pilihan raya yang aman.

“Saya juga berdoa supaya tidak hilang deposit,” katanya berseloroh.

Ditanya sama ada beliau akan menjadi calon mesra BN, beliau membalas dengan berkata setiausaha agung DAP lebih mesra dengan parti itu berbanding dirinya.

“Lim Guan Eng lebih mesra BN daripada saya, ambil gambar selfie dan berpeluk dengan pemimpin BN,” katanya.

8.10am: Dewan Sri Pinang – Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kelihatan memeriksa persediaan untuk proses penamaan calon.

Beliau sempat tunjukkan sekeping kertas dengan pilihan logo-logo berbeza kepada media.

“Saya tunjukkan ini kerana mungkin akan ada banyak calon bebas,” katanya.

7.30am: Cuaca cerah pagi ini dijangka lebih melicinkan proses penamaan calon.

Monday, 24 February 2014

S'gor catu air mulai esok

24 Feb 2014

Catuan air di Selangor akan bermula esok dan penumpuan akan diberikan kepada kawasan-kawasan bermasalah, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Kerajaan negeri juga telah berbincang berhubung peranan yang perlu dilakukan PBT dalam menangani masalah air di Selangor, katanya melalui pesanan Twitter sebentar tadi.

Akhbar web Selangor melaporkan, program penjadualan air di seluruh Selangor itu menggunakan sistem penggiliran antara dua zon setiap dua hari.

Ia menumpukan kepada kawasan yang terkesan akibat penutupan empangan yang tercemar baru-baru ini.

“Penjadualan air ini akan berterusan supaya air di empangan negeri ini tidak banyak digunakan dan bekalan air boleh disimpan untuk dua bulan akan datang,” Khalid dipetik sebagai berkata oleh Selangorkini.

Khalid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kerajaan negeri, di Shah Alam.

Beliau juga menjelaskan, penjadualan itu dijangka berakhir Mac depan selepas taburan hujan konsisten dan kapasiti air di empangan negeri itu bertambah.

Gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di beberapa kawasan di Hulu Langat dan Kuala Langat melibatkan kira-kira 27,000 rumah akibat Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi ditutup sejak Januari lalu.

Selain itu, 75000 rumah juga terputus bekalan ekoran pertambahan permintaan air mendadak ekoran cuaca panas kering dan kekurangan hujan.Malaysiakini

PBS: Idris Jusoh kata lain. TPM kata lain

February 24, 2014
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh (gambar), berkata Kementerian Pendidikan akan tetap meneruskan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana pelaksanaan itu yang dimahukan oleh semua rakyat di negara ini.

Beliau berkata, sebelum ini rakyat Malaysia meminta kementerian menukar sistem pendidikan Malaysia untuk tidak berorientasikan peperiksaan.
"Kita tetap akan meneruskan sistem PBS kerana ini yang dimahukan semua rakyat, kita tidak akan sesekali memansuhkan, hanya menangguhkan untuk penambahbaikan," katanya pada sidang media Pameran Kejayaan Universiti Penyelidikan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan mengumumkan penambahbaikan sistem PBS pada 1 April depan.

Sebelum ini The Malaysian Insider melaporkan guru dan pengurusan sekolah mendapati sukar untuk menukar kembali PBS kepada sistem peperiksaan.
Ini menjadikan kebanyakan sekolah mengamalkan dua sistem iaitu pada pemulaannya menggunakan PBS untuk menyenangkan Putrajaya dan satu lagi ialah kaedah peperiksaan bagi mengukur prestasi murid.

Mengulas mengenai kesukaran yang dihadapi oleh guru, Idris berkata, pihaknya memahami situasi tersebut.
Katanya, selama tempoh pemansuhan kerajaan akan mengkaji bentuk baru sistem PBS yang tidak membebankan guru.
"Kita faham dan mendengar rintihan guru dan ibu bapa. Kita membuat kajian selama dua tahun mengenai sistem ini. Isteri saya pun guru dan kita selalu berhubung sehingga ke akar umbi bagi menambahbaik sistem.
"Buat masa ini guru jangan runsing dan tidak perlu penerangan tentang sistem ini kerana mereka hanya perlu fokus pada pembelajaran sahaja," katanya.

Beliau berkata, sistem PBS merupakan kaedah yang terbaik untuk dilaksanakan di negara ini.
"Kerajaan sudah memutuskan dan PBS adalah sistem yang terbaik untuk dilaksanakan namun isunya di sini adalah pelaksanaan saja.
"Daripada segi objektif dan dasar PBS tidak ada masalah, hanya kita perlu perkemaskan lagi pelaksanaanya dan ini akan diumumkan pada 1 April ini," katanya. – 24 Februari, 2014.

Friday, 22 November 2013

Mat Sabu Berjaya Membuang Undi Di Muktamar

22 Nov 2013


Daripada foto yang tersiar di dalam portal malaysiakini, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu kelihatan sedang membuang undi bersama-sama dengan Presiden PAS< TG Hj Abdul Hadi Awang.

Ini bererti Mohamad Sabu berjaya memohon penangguhan selepas memberi keterangan di Mahkamah Tinggi untuk bergegas ke Stadium Melawati, tempat dimana Muktamar PAS Ke 59 sedang berlansung.

Sebelum ini kami telah melaporkan bahawa Mohamad Sabu bersama peguamnya, Hanipa Maidin berkemungkinan terpaksa melakukan undian dari mahkamah apabila mahkamah enggan untuk menangguhkan prosiding saman Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar terhadap Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, pencetak Harakah Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman dan penulis Aziz Muda.

Proses pengundian bagi memilih kepimpinan PAS bagi 2013-2015 telah bermula petang ini dan mendapat tumpuan penuh media dan masyarakat negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Asmuni Awi menyatakan proses pengundian untuk Timbalan Presiden, tiga naib presiden dan 18 ahli jawatankuasa PAS Pusat bermula jam 4 petang dan dijangka selesai pada 7 petang ini.

Bagaimanapun, kira-kira sejam kemudian beliau menyatakan pengundian bagi AJK Pusat PAS ditunda keesokan harinya berikutan masalah teknikal.

Seramai 1,129 perwakilan layak mengundi dan keputusan rasmi hanya akan diumumkan oleh Asmuni pagi esok.

Bercakap kepada media, Asmuni Awi menjelaskan, masalah teknikal hari ini melibatkan kesilapan mencetak nama bagi jawatan ahli jawatankuasa Pusat PAS.

"(Ada) satu nama ulang dua kali (pada kertas undi). Jadi esok kita sistem lama iaitu satu kertas ada 61 orang calon," jelasnya.

"Biar kita susah (untuk mengira). Kita tak nak berlaku lagi. Kita mengaku kesilapan dan kita nak pastikan semua pihak berpuas hati.

Katanya, proses pemilihan jawatankuasa PAS pusat akan berlangsung pada jam 8.15 pagi dan dijangka tamat pada jam 10 pagi.

Keputusan rasmi untuk kesemua jawatan yang dipertandingkan akan diumumkan sekali, dijangka petang esok.

Sejak 2008, PM & Rosmah tak naik MAS

Malaysiakini Nov 22 2013

Lawatan ke Qatar-UAE bukan tindakan pertama yang menyaksikan isteri perdana menteri Rosmah Mansor menggunakan jet kerajaan tanpa penyertaan Datuk Seri Najib Razak, dakwa PKR.

NONE"Ini bukan kali pertama beliau lakukannya," kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sambil berkata sedang mendapatkan lebih maklumat berhubung perkara itu.

Azmin (kanan) berkata, sumbernya dalam Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan, Rosmah dan Najib tidak pernah terbang menggunakan penerbangan negara sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008.

Azmin yang juga anggota Parlimen Gombak berkata, lawatan itu menimbulkan dua persoalan, iaitu kelayakan isteri perdana menteri menggunakan jet kerajaan dan sama ada beliau boleh menggantikan kerajaan dalam urusan rasmi.

Semasa lawatan antara 10 hingga 14 November, Rosmah antaranya bertemu dengan perdana menteri Qatar bagi menyampaikan undangan Najib supaya beliau melawat negara ini semasa program Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Ini bukan peranan isteri perdana menteri. Sebarang undangan daripada perdana menteri sepatutnya disampaikan oleh menteri luar negara atau perdana menteri sendiri. Jadi di mana menteri luar negara sekarang?"

Rosmah sebelum apabila ditanya berhubung penerbangannya ke Qatar menggunakan jet yang dibiayai kerana dilaporkan berkata, beliau hanya melakukan kerjanya.

Beliau juga dilapor enggan mengulas lanjut.

Manakala pegawai khasnya Siti Azizah Sheikh Abod berkata,l awatan ke Qatar itu dibuat demi kepentingan negara dan bukan atas sebab-sebab peribadi.

Wednesday, 20 November 2013

Ke Qatar: Rosmah mudah pengaruhi Kabinet Najib?

Harakahdaily 

Anis Nazri, 20 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan kabinet meluluskan urusan lawatan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke Qatar, baru-baru ini boleh mengundang bahaya kepada negara apabila urusan negara diserahkan kepada pihak yang bukan berkenaan.

Malah, tindakan itu juga menunjukkan kabinet Datuk Seri Najib Razak begitu mudah dipengaruhi Rosmah dalam urusan rasmi negara sehingga Najib terpaksa mengemukakan permohonan untuk meluluskan urusan lawatan tersebut.

"Mengikut amalan biasa, isteri-isteri pemimpin ini hanya mengiringi suami mereka dalam urusan negara. Malangnya, di Malaysia ini, isteri pemimpin pula yang dibenarkan mewakili negara dalam hal hubungan dua hala," kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.


Menurutnya, sebagaimana lazim Timbalan Perdana Menteri atau menteri Kabinet yang mewakil Perdana Menteri dalam menjalin hubungan dua hala dengan negara luar, bukannya isteri Perdana Menteri.
Tambah beliau, sebelum ini ketika pentadbiran Tun Abdullah Badawi, Tun Mahathir sering menggelarkan kabinet Abdullah dipengaruhi 'budak tingkat empat', namun dalam era kepimpinan Najib, kabinet Najib dipengaruhi isteri beliau sendiri.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan, di Dewan Rakyat mengesahkan kerajaan meluluskan urusan lawatan Rosmah ke Qatar.

Sebelum ini, anggota parlimen Pakatan Rakyat membangkitkan soal kewajaran kerajaan menghantar Rosmah ke Qatar atas tujuan rasmi dan dibiayai dengan duit kerajaan dan mempertikaikan tindakan tersebut.

Rosmah, pada 10 Nov lalu hadir ke Qatar untuk Forum Ahli Perniagaan Wanita Antarabangsa Qatar ke-4.

Tuesday, 19 November 2013

Demi ‘mahkota’ anak gadis

20 Nov 2013
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Bagan Serai: “Saya sanggup serahkan semua wang tunai, komputer riba dan telefon bimbit asalkan anak perempuan saya tidak dirogol perompak,” kata Siti Aishah Abdullah @ Hun Ban, 44, yang menjadi mangsa samun empat lelaki di Kampung Matang Merbau, di sini, awal pagi, semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, dia dan suaminya, Mohd Ishak Din, 55, ditumbuk dan dipukul beramai-ramai oleh penjenayah menggunakan sebatang kayu.
Aishah berkata, kejadian berlaku ketika dia dan ahli keluarganya sedang tidur sebaik pulang dari berniaga di pasar malam berhampiran.
Menurutnya, dia hanya menyedari kehadiran sekurang-kurangnya empat penyamun menceroboh rumahnya selepas dikejutkan daripada tidur oleh seorang daripada suspek yang mengacukan pisau ke lehernya.
FotoMOHD Ishak cedera teruk selepas dibelasah.

“Terkejut dengan tindakan itu, saya menjerit sekuat hati meminta tolong daripada jiran berhampiran.myMetro

Rosmah: Seremban-Foch Avenue naik Foh Hup, KL-Qatar jet eksekutif

Harakahdaily 

Aspan Alias, 19 Nov 2013
Dewan Rakyat kini, bergema tentang isu pembiayaan jet eksekutif swasta untuk lawatan isteri yang ayu dan genit kepada Perdana Menteri Najib ke Qatar baru-baru ini. Ramai yang meminta saya memberikan komen tentang isu ini kerana ia melibatkan wang rakyat yang berjuta ringgit.

Komen saya mudah. Sesungguhnya terbang dengan jet eksekutif itu adalah syurga bagi setengah orang. Ramai yang keluar dari kampung sememangnya susah hendak dikawal kerana mereka ini selalu akan mengusung sikap kekampungannya ke mana-mana dia pergi.

Rosmah, hanya seorang isteri dan menyibuk untuk melawat negara lain di atas nama lawatan rasmi itu, tidak kena dan sangatlah gila tindakan itu. Kita mesti ingat, dan saya ulangi, membawa keluar seseorang dari kampung itu kerja mudah, tetapi hendak mengeluarkan kampung dari dirinya itu adalah satu usaha yang susah.

Bagi wanita kampung ini, kalau hendak terbang mesti dengan jet eksekutif. Kalau hendak menginap di hotel, hotel itu mesti bertaraf sepuluh bintang dan sewaan biliknya mesti puluhan ribu ringgit semalam. Bilik sewaannya mesti besar-besar, bilik yang boleh berlari-lari dengan suami atau dengan anak dan cucu. Bagi saya, besar mana pun tubuh seseorang itu dia tidaklah perlu bilik yang sebesar itu.

Apa pun yang mereka seperti ini lakukan, selalunya mereka akan terlupa duit siapa yang mereka belanjakan itu. Bukan Rosmah seorang sahaja isteri Perdana Menteri di dunia ini. Dalam dunia ini ada ratusan isteri Perdana Menteri, tetapi tidak pula kita mendengar dengan isteri PM negara lain yang berbelanja seperti ini. Dulu ada kita dengar isteri seorang Presiden yang bernama Imelda dari Filipina yang berbelanja seperti membelanjakan harta mak bapak dia sendiri.

Kalau kita kaji dengan teliti, Imelda datangnya dari sebuah perkampungan di utara Manila yang jauh dari kawasan perbandaran. Rosmah pula datang dari kampung di Negeri Sembilan dan bukannya dari bandar mana pun. Jadi persamaan latar belakang ini membuatkan mereka berdua ini mempunyai ‘attribute’ yang sama. Mereka ini boros dan tidak mempunyai had apabila membelanjakan wang orang lain terutamanya wang rakyat.

Seperti juga Imelda, Rosmah tidak pula saya dengar yang beliau sememangnya terlalu biasa menaiki jet eksekutif sejak kecil. Tetapi kalau kita tengok cara beliau melawat ke mana-mana negara lain, beliau menaiki jet eksekutif dan tidak menaiki pesawat nasional kita MAS.

Kekerapan beliau berjalan dengan jet eksekutif ini seolah-olah beliau, sejak lahir ke dunia ini sememangnya terbang ke mana-mana dengan jet eksekutif dan tidak pernah menaiki pesawat MAS, SIA atau pesawat tambang murah seperti Air Asia dan Malindo Air.

Tetapi kalau tidak salah mata saya memandang, saya pernah melihat beliau ini pergi ke Kuala Lumpur dengan menaiki bus Foh Hup sampai ke Foch Avenue dekat Jalan Silang Kuala Lumpur. Saya sendiri berada dalam bas itu. Orang-orang muda sekarang tidak pernah tahu di mana Foch Avenue itu. Hanya yang tua-tua seperti saya atau Rosmah sahaja yang mungkin masih ingat di mana Foch Avenue itu.

Betullah ramai orang yang berubah kehidupan mereka dan menjadi kaya raya. Tiger Woods, salah seorang daripadanya. Tetapi Tiger mendapat kekayaannya dengan kemahirannya bermain golf sampai beliau berjaya menjadi pemain golf nombor satu dunia. Beliau sekarang mempunyai jet eksekutif sendiri dan istananya sendiri sehingga beliau mempunyai sebuah pulau untuk beliau berehat dengan keluarga dan rakan-rakannya.

Tetapi yang seorang ini hanya seorang isteri Perdana Menteri dan boleh pula memohon kabinet meluluskan permohonan beliau untuk menggunakan jet eksekutif untuk keluar negara dan dibiayai oleh wang rakyat. Kabinet pula, kata Shahidan Kassim, telah meluluskan permohonan ini. Persoalannya sekarang kenapa kabinet meluluskan permohonan seperti ini dengan mudah sedangkan lebih banyak lagi permohonan rakyat belum lagi diambil tindakan oleh kabinet.

Jika tindakan Rosmah ini menyalahi moral dan undang-undang kenegaraan maka kabinet keseluruhan wajar mengambil ‘accountability’ terhadap isu ini. Justeru itu seluruh kabinet wajar meletakkan jawatan kerana mereka adalah kabinet yang tidak bertanggungjawab.

Itulah bunyinya komen pendek saya. Harap mereka yang mendesak saya memberi komen itu berpuas hati. - http://aspanaliasnet.blogspot.com