HTML/JavaScript

Tuesday, 4 June 2013

Chegubard diarah ke mahkamah

Wartawan Sinar Harian
4 Jun 2013
SHAH ALAM - Susulan penganjuran Himpunan Blackout 505 bulan lalu, aktivis NGO, Badrul Hisham Shaharin disaman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok.

Badrul Hisham atau lebih dikenali dengan panggilan Chegubard dituduh kerana gagal memaklumkan kepada pihak polis 10 hari lebih awal, seperti disyaratkan dalam Akta Perhimpunan Aman.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 9 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000.

Himpunan yang diadakan di sebuah padang di Amcorp Mall itu diadakan pada 25 Mei lalu sebagai membantah keputusan PRU13 yang didakwa berlaku penipuan.

Bekas profesor undang-undang dipenjara kerana menerima khidmat seks

Seks untuk gred: profesor dijel

Singapura: Hakim Republik ini, semalam menjatuhkan hukuman penjara lima bulan kepada bekas profesor undang-undang kerana menerima khidmat seks dan hadiah seorang pelajar sebagai pertukaran gred yang baik.
Kes itu satu daripada beberapa perbicaraan rasuah melanda negara di Asia Tenggara itu yang mempunyai reputasi memupuk birokrasi yang bersih.

Tey Tsun Hang dipecat daripada Universiti Nasional Singapura minggu lalu selepas disabitkan dengan enam pertuduhan rasuah membabitkan apa disifatkan mahkamah sebagai tingkah laku “tidak wajar” bagi seorang pendidik kanan.
Ketua hakim daerah, Tan Siong Thye menjatuhkan hukuman kepada lelaki berusia 42 tahun itu lima bulan penjara dan mengarahkan dia membayar denda SG$514. Tey bercadang untuk membuat rayuan dan dijangka dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan lanjut. Tey didakwa Julai tahun lalu kerana menerima seks, pakaian ditempah khas, iPod, pen mahal dan makan malam di restoran Itali daripada seorang pelajar berusia 21 tahun yang mempunyai hubungan intim dengannya. Pelajar itu turut memberitahu polis bahawa dia menjalani pengguguran selepas hamil dengan anak Tey.

Tan mengkritik Tey pada sidang pagi semalam mengatakan dia “jelas sekali” mengambil kesempatan terhadap pelajar itu dan memberitahu “pembohongan berulang kali” selepas perbuatannya terbongkar. - AP

Terima keputusan tetapi tidak redha penipuan PRU

Harakahdaily, 04 Jun 2013
IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menerima keputusan PRU 13 sebagai takdir Allah tetapi tidak bermakna meredhai penipuan pilihanraya yang berlaku.

Demikian kata  Ustaz Mohd Zawawi bin Abu Hassan (gambar), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Beliau mengulas kenyataan rasmi Tuan Guru Nik Aziz yang juga merupakan mantan Menteri Besar Kelantan di Harakahdaily.net bertarikh 3 Jun 2013.

Dalam kenyataan itu, Tuan Guru Nik Aziz menyatakan bahawa Datuk Seri Najib telah membuktikan SPR sangat pincang.

"Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyatakan sokongan padu dan tidak berbelah-bahagi (kepada Tg Nik Aziz)," katanya.

Bagi beliau, kepincangan SPR boleh mengakibatkan kredibiliti kerajaan yang mentadbir dipersoalkan dan ketelusan SPR akan sentiasa dicanang sebagai kurang berintegriti melaksanakan tugas yang diberikan.

Siri penipuan yang dibongkarkan mampu melahirkan ketidakpercayaan rakyat kepada SPR dan menjadikannya tidak berkelayakan sebagai satu badan yang bertujuan memastikan ketelusan perjalanan proses pilihanraya, katanya.

Setiap kepincangan dan krisis yang berlaku dalam SPR perlu diberikan penjelasan kepada rakyat dan secara tidak langsung dapat mengurangkan aktiviti perhimpunan rakyat yang memperjuangkan keadilan, tegas beliau.

Setelah 13 kali PRU berlangsung Kerajaan Barisan Nasional seolah-olah baru menyedari bahawa SPR gagal mempamerkan peningkatan budaya kerja yang efektif dan sistematik.

PAS sebagai gerakan dakwah dan politik akan sentiasa komited memastikan konsep Islam diaplikasikan di dalam seluruh sistem pentadbiran negara, katanya.

Lepas PRU baru Dr M dedah wajah sebenar Umno

Harakahdaily, 04 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Setelah menang pilihanraya umum ke 13 walaupun tewas undi popular buat pertama kalinya dalam sejarah, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan wajah Umno yang sebenar kepada umum.

(Kata Mahathir, orang Melayu sudah meluat dengan Umno... tetapi hanya sebut selepas pilihan raya selesai)

Bagi Mahathir, ramai orang Melayu sudah merasa meluat dengan Umno dan mengganggapnya tidak relevan dan perlu ditolak kerana parti itu tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair.

“Umno ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. Umno berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri,” tulis Mahathir di blognya.

Mahathir berkata pemimpin Umno kini melariskan budaya memilih orang kurang berkobolehan untuk menyertai parti supaya kedudukan mereka tidak diancam sampai bila-bila.

“Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. Umno adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai Umno,” selar beliau.

Sekarang, Mahathir berkata Umno sudah menjadi sebuah parti hanya untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian.

“Umno tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi,” sindirnya lagi.

Akibatnya, kata Mahathir, mereka terutama yang berkebolehan, yang berbakat tidak dibenar masuk Umno lagi.

“Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan dibanding dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam Umno mestilah melalui cawangan, yang boleh masuk Umno ialah yang kurang berkebolehan dari ketua cawangan,” katanya.

Mahathir juga menyindir bahawa pemimpin-pemimpin Umno ini sering terlupa ajal boleh sampai bila-bila masa.

“Ketua cawangan manusia biasa yang boleh diserang penyakit, bahkan boleh mati pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan jawatannya. Penggantinya tentulah orang yang memiliki kebolehan yang kurang darinya. Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan merosot sepanjang masa, tiap kali pengganti mengambil alih. Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti,” katanya.

Akhirnya, Mahathir berkata Umno hanya tinggal golongan yang tidak berbakat sehingga semakin kurang ahli yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU.

"Calon payung terjun yang berbakat akan dikalahkan. Dengan itu pemimpin Kerajaan juga akan terdiri dari yang tidak berkebolehan,” sindirnya lagi.

“Di mana pergi mereka yang berbakat ini?. Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan,” tambahnya lagi.

Kertas undi pegawai SPR didakwa dijual RM100

 
Seorang calon BN bagi kerusi DUN didakwa "membeli" kertas undi daripada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengundi bagi pihak mereka demi memastikan kemenangan parti itu.

Dalam pendedahannya hari ini, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa salah seorang pegawai itu pada 4 Mei - sehari sebelum pilihan raya umum - telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Salinan laporan polis itu turut diberikan kepada media oleh Rafizi dalam sidang media yang berlangsung di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Laporan polis itu menceritakan bagaimana pegawai SPR dipanggil oleh calon BN berkenaan sebelum mereka menyerahkan kertas undi kepada pekerja parti BN.

Rafizi mendakwa empat pegawai SPR menuntut semula kertas undi mereka sehari selepas kertas undi itu dijual kepada calon BN dengan harga RM100 setiap satu.

Bagaimanapun, dakwa Rafizi, apabila mereka mendapat semula kertas undi tersebut, mendapati kertas undi mereka telah pun ditanda

Monday, 20 May 2013

RTM DAN MEDIA ARUS PERDANA UMNO PUNYA?

20 May 2013

mutaligat


Menteri Komunikasi dan Multimedia Ahmad Shabery Cheek menolak dakwaan bahawa Pakatan Rakyat tidak mendapat liputan dalam media massa kerana gabungan parti berkenaan menurutnya masih mendapat tempat di media baru.

"Sebenarnya ini tidak benar (pembangkang tak diberikan akses kepada media) kerana, terbukti sebenarnya mereka dapat akses. 


"Cuma sekarang ini hanya berkaitan dengan akses media (tradisional). Semakin lama peranannya semakin terbatas. 


"Tetapi media baru adalah satu media yang berkembang dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja. Dan mahu tak mahu mesti mengakui bahwa sebenarnya mereka (pembangkang) boleh akses pada media baru," katanya. 

Menteri yang dahulunya penganut Parti Melayu Semangat 46 ini sebenarnya tidak sedar bahawa RTM itu adalah agensi kerajaan yang dibiayai dengan duit rakyat. Malangnya Umno dan BN buat RTM macam harta mereka sendiri. Mereka bebas melakukan apa sahaja kerja tidak kira hala atau haram. Malang sungguh Malaysia mempunyai menteri yang pemikiran sama macam menteri di era 50-an dan 60-an dahulu.

Macamana negara dan rakyat hendak maju kalau minda menteri pun sama dengan minda JKKK.


Dalam sidang media sama, Shabery berkata, kerajaan memberi kebebasan dan tidak mengadakan tapisan terhadap media baru seperti di negara lain.


Jelasnya, walaupun ada sesetengah negara yang mengharamkan penggunaan laman Facebook dan membuat tapisan pada kandungan media baru, perkara itu tidak akan terjadi di negara ini.


"Negara kita tak ada (sekatan ke atas media baru). Itu adalah bukti yang paling besar bahawa kebebasan bersuara sudah pun ada dan sudah diamalkan dalam negara kita. 


"Mungkin tidak sepenuhnya tapi sekurang-kurangnya asas itu penting dan patut dihargai," katanya lagi. 


Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis penyerahan tugas oleh Datuk Seri Rais Yatim di Putrajaya hari ini. 

Mahkamah pilihan raya lawan Mahkamah rakyat

Harakahdaily 

* Mohamed Hanipa Maidin, 20 Mei 2013
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) boleh memohon semakan supaya pilihan raya diadakan semula dengan mengemukakan petisyen selepas pewartaan keputusan oleh SPR, mengikut undang-undang.

"Selepas diwartakan dalam tempoh 21 hari, mereka boleh buat petisyen, itu yang betul dan kalau bukti-bukti itu jelas serta lengkap dan pihak hakim mengakui wujudnya perlakuan rasuah, penipuan atau menyalahi undang-undang, maka mungkin Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan akan memutuskan bahawa keputusan pilihan raya itu tidak sah," kata Aziz.

Sentimen yang sama juga diluahkan oleh Presiden Umno Najib Tun Razak. Najib menyatakan Umno akan terima apa sahaja keputusan mahkamah.

Inilah skrip basi SPR dan Umno. Bagi kedua-dua tokoh ini penyelesaian kepada kepincangan sistem pilihanraya adalah mahkamah. Hujah Najib dan SPR ini hakikatnya satu lagi bentuk penipuan halus pihak berkuasa untuk mengelirukan mereka yang jahil tentang petisyen pilihanraya.

Saya ingin nyatakan dengan tegas petisyen piliharaya dan mahkamah bukan penyelesaian kepada kepincangan pilihanraya. Alasannya cukup mudah. Mahkamah pilihanraya (election court)  beroperasi dalam ruang lingkup undang-undang pilihanraya yang digubal oleh rejim BN yang korup dan penipu. Jadi bagaimanakah undang-undang yang digubal oleh rejim yang penipu dapat menyelesaikan pilihanraya yang sarat dengan penipuan !!!

Ibarat yang mudah adalah bagaimanakah kita boleh mengharap kambing selamat dari serigala jika yang jaga kambing adalah serigala !!!

Dalam undang-undang pilihanraya, alasan pembatalan sesuatu pilihanraya hanya boleh dibuat oleh hakim pilihanraya melalui seksyen 32 Akta Kesalahan Pllihanraya 1954. Seksyen 32 menggariskan lima alasan [ 32 (a) hingga (e)] bagi pembatalan pilihanraya oleh Mahkamah Pilihanraya.

Najib dan SPR arif dan tahu berdasarkan seksyen 32 (a) hingga (e) Akta tersebut hampir mustahil untuk membatalkan sesuatu pilihanraya. Bagi memudahkan faham mari kita lihat bagaimana seksyen 32 (b) Akta tersebut digubal oleh rejim BN.

Berdasarkan seksyen 32 (b) tersebut sesuatu pilihanraya hanya boleh dibatalkan jika mahkamah pilihanraya berpuashati wujudnya perlanggaran undang-undang pilihanraya namun perlanggaran itu mestilah dalam masa yang sama menjejaskan keputusan pilihanraya.

Sebagai peguam yang banyak terlibat dalam petisyen pilihanraya saya ingin nyatakan membuktikan perlanggaran undang-undang atau peraturan pilihanraya bukan suatu yang susah kerana Umno dan SPR  seringkali langgar undang-undang pilihanraya. Malahan banyak kali kami peguam PAS dapat membuktikan hal tersebut.
Yang sukarnya hingga ke tahap hampir mustahil adalah membuktikan perlanggaran undang-undang oleh Umno dan SPR boleh menjejaskan keputusan pilihanraya.

Hakim–hakim di negara ini sehingga sekarang memilih tafsiran kuno tentang maksud menjejaskan keputusan pilihanraya. Di negara maju seperti di England para hakim di sana berpendapat jika berlaku perlanggaran undang-undang secara substantif maka pilihanraya adalah tidak sah tanpa mengira perlanggaran itu menjejaskan atau tidak menjejaskan keputusan pilihanraya.

Tafsiran mahkamah di Malaysia berdasarkan tafsiran matematik. Contohnya jika calon A yang kalah dengan majoriti 1000 undi dapat buktikan wujudnya perlanggaran undang-undang misalnya dakwat tidak kekal di jari pengundi, calon A kena buktikan 1001 pengundi yang dakwat dijari mereka tidak kekal dan kesemua 1001 pengundi itu kena juga dibuktikan telah mengundi dua kali.

Jika tidak dibuktikan meskipun calon A boleh buktikan penggunaan dakwat yang tidak kekal adalah bercanggah dengan undang-undang namun pilihanraya yang langgar undang-undang itu masih dikira sah dan tidak boleh dibatalkan.

Itulah yang hakim-hakim di negara ini akan putuskan. Jika hakim putuskan begitu Najib dan SPR secepat kilat akan berkata “lihatlah mahkamah telah pun memutuskan pilihanraya adalah sah..jadi mengapa Pakatan Rakyat masih tidak puas hati?”

Bagi saya ini satu muslihat licik Umno untuk menggunakan saluran mahkamah untuk menjustifikasi penipuan!!!

Sebab itu saya tegaskan mahkamah atau petisyen bukan jalan penyelesaian kepada kepincangan sistem pilihanraya. Mahkamah rakyat adalah penyelesaiannya.
Bagi rakyat jika SPR atau undang-undang kata dakwat yang digunakan adalah kekal maka SPR kena pastikan dakwat itu benar-benar kekal. Jika tidak kekal maka SPR tipu. Undang-undang juga tipu.

Inilah perbezaan mahkamah pilihanraya dan mahkamah rakyat. Di mahkamah pilihanraya hakim tidak boleh batalkan pilihanraya meskipun SPR tipu kerana hakim terikat dengan undang-undang yang digubal oleh rejim penipu.

Sebaliknya di mahkamah rakyat keadilannya lebih tulen. Jika SPR dan undang-undang tipu maka pilihanraya yang BN menang adalah pilihanraya tipu. Maka PM dan Menteri yang dilantik juga dikira oleh rakyat dikira sebagai PM penipu dan menteri penipu !!!!

* Penulis adalah peguam yang juga anggota Parlimen Sepang