02 October 2012
Sekarang sibuk tentang debat Anwar
dan Najib berhubung dengan pembentangan belajawan 2013 di Parlimen baru-baru
ini. Isu debat ini timbul kembali bila Anwar membidas Najib kerana sindiran
Najib yang mengatakan bajet bayangan PR tidak realistik dan tidak mempunyai nilai langsung. Najib
menambah lagi serangan terhadap buku jingga semasa majlis anjuran parti Gerakan
dan sambil berkata buku jingga itu tidak bernilai dan tidak sepadan untuk di
cetak di atas kertas pun.
Sebagai seorang Perdana Menteri
kata-kata Najib itu diambil serius dan dinilai oleh semua pihak. Kata-kata
seorang Perdana Menteri itu melambangkan banyak perkara tentang seorang Perdana
Menteri itu. Apa yang diluahkan dari mulut itu melambangkan apa yang ada di
dalam jiwa atau karektor seseorang itu. Najib sedang cuba untuk menjual ‘minyak’ nya
dengan memuji bajet yang dibentangnya dan memperlekehkan bajet bayangan PR yang
dibentangkan oleh Ketua Pembangkang itu dua hari sebelum Najib membentangkan
belanjawan BN untuk tahun hadapan.
Semasa Ketua Pembangkang
mendebatkan belanjawan Najib itu Najib sebagai Menteri Kewangan tidak berani
hadir untuk mendengar apa-apa kritikan yang di bentangkan oleh Ketua
Pembangkang. Tetapi semasa membentangkan belanjawan itu Najib telah menyindir
yang Pakatan Rakyat telah membentangkan bajet yang tidak bernilai dan tidak
realistik sambil mengejek-ngejek Anwar yang sama-sama berada di dalam dewan
semasa itu.
Kata-kata nista Najib terhadap PR
itu tidak mempunyai moral kerana beliau tidak menyedari yang ejekan beliau itu
akan mendapat reaksi dari pihak pembangkang. Najib tidak berani untuk
berhadapan dengan reaksi dari Anwar dan beliau menghilang diri dan tidak hadir
di Parlimen semasa Anwar membahaskan bajet pilihanraya beliau itu.
Najib seperti burung yang terbang
tinggi yang hinggap di dahan hanya untuk meninggalkan tahi nya sahaja. Najib
tidak mempunyai sifat ‘gentleman’ dan Anwar membalas dengan meminta Najib
berbahas dengan beliau (Anwar) tentang bajet BN dan bajet bayangan PR. Najib
hanya membisu kerana seperti biasa beliau selalu mengelak dari berdepan dengan
Ketua Pembangkang secara terus.
Anwar pernah beberapa kali meminta
di adakan debat di antara beliau dengan Perdana Menteri dalam beberapa isu
sebelum ini tetapi Najib enggan berbuat demikian dengan alasan debat itu bukan
budaya kita. Rupa-rupanya berdebat secara terbuka itu bukan budaya kita tetapi
bercakap dibelakang itu adalah budaya Najib. Beliau hanya berani dalam situasi
beliau bercakap seorang diri seperti membentangkan bajet tersebut. Rupanya budaya
Najib ialah bercakap dan membebel di tempat lain seperti semasa persidangan
parti Gerakan dan majlis-majlis yang lain.
Jika Najib benar-benar yakin yang
bajet beliau bentang itu merupakan bajet yang terbaik tidak ada sebab kenapa
beliau tidak berani berdebat dengan Anwar sedangkan beliau beranggapan yang
bajet bayangan PR itu tidak realistik. Jika benar bajet PR itu tidak realistik
Najib sepatutnya dengan senang hati akan menerima cabaran Anwar itu tanpa was-was
untuk membezakan bajet yang beliau bentang dengan bajet bayangan yang dibentang
oleh Anwar bagi pihak Pakatan Rakyat.
Berdebat bukannya perkara ganjil
di dalam sebuah negara demokrasi dalam mengolah satu-satu isu yang berhubung
kait dengan kepentingan rakyat dan negara. Rakyat juga mahu menyambut cabaran
Najib supaya menilai beliau dari rekod beliau. Sekarang Najib telah menunjukkan
rekod yang beliau lah PM yang paling pengecut untuk berhadapan dengan
pembangkang secara terbuka di hadapan rakyat.
Najib sepatutnya keluar kehadapan
dan berikan alasan kenapa buku jingga dan bajet bayangan PR itu tidak realistik
supaya rakyat dapat menilai kedua-dua pemimpin itu. Sesungguhnya sememangnya
Najib adalah seorang yang terkenal dengan sikap pengecutnya. Beliau hanya
bercakap besar dalam situasi pihak lain belum boleh menjawabnya. Najib hanya
boleh membaca khutbah dalam mana makmun yang ramai itu di tegah untuk bercakap
walaupun bercakap untuk meminta makmum yang lain untuk berdiam diri. Najib
hanya suka berkata-kata yang tidak di sahut.
Rakyat mahu tahu apakah benar
yang Najib ini mempunyai pemikiran sendiri tentang belanjawan negara yang beliau
bentangkan sendiri itu. Jika benar Najib mempunyai ‘clarity’ dalam pemikiran
yang beliau persembahkan kepada rakyat itu, Najib sepatutnya akan ke hadapan
dengan sukaria untuk mempertahankan pelan dan pemikiran beliau.
Keengganan Najib untuk berdebat
itu sudah membuatkan orang ramai ‘conclusive’ tentang pandangan mereka bahawa
Najib hanyalah seorang pemimpin yang pandai bercakap dan tidak memahami
sepenuhnya apa yang beliau cakapkan dalam pembentangan bajet itu.
Dalam isu ini sahaja sudah cukup
untuk orang ramai memberikan penilaian terhadap Najib dan jika rakyat memilih
untuk tidak memilih BN lagi, itu adalah tindakan yang tidak boleh dipersalahkan
oleh sesiapa.
Kita mesti ingat seseorang
pemimpin itu harus berani menerima cabaran seperti cabaran yang di lontarkan
oleh Anwar itu. Jika tidak berani ia hanya memberikan gambaran yang Najib tidak
berani mempertahankan bajet yang beliau bentangkan sendiri. Jika begitu jangan
pula menyalahkan rakyat memilih pihak alternatif di dalam pilihanraya nanti.
Rakyat tidak akan memberikan
pimpinan kepada seseorang yang tidak
mempunyai keyakinan diri. Maka memberikan sokongan terhadap Najib itu adalah
‘self insulting’.
No comments:
Post a Comment