Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menghentikan penerimaan borang penamaan melalui pos untuk pemprosesan berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awamnya Nik Affendi Jaafar berkata borang penamaan yang dihantar oleh saudara-mara, rakan atau pihak ketiga akan dianggap tidak sah dan akan ditolak.

Pengurusan mengambil tindakan berkenaan untuk melindungi maklumat sulit dan kesahihan penamaan, kata beliau.

"Keputusan menamatkan penerimaan borang penamaan melalui pos diambil dengan mengambil kira kepentingan 13 juta pencarum KWSP berikutan maklumat sulit di dalam borang penamaan yang akan menentukan penerima simpanan pencarum sekiranya berlaku kematian," katanya.

Beliau berkata dengan membenarkan pencarum sahaja menghantar borang penamaan mereka ke cawangan KWSP, KWSP boleh mengesahkan kesahihan penamaan tersebut dan menghalang sebarang percubaan untuk menipu.

"Jika borang penamaan diisi dengan lengkap dengan butir-butir yang tepat mengenai pencarum dan penama, peratus simpanan yang diagihkan sekiranya terdapat lebih daripada seorang penama, cap ibu jari pencarum dan tandatangan saksi di atas borang tersebut, tiada keperluan untuk pencarum membawa bersama saksi ke cawangan KWSP," katanya.

Beliau mengingatkan pencarum yang belum membuat penamaan agar segera membuat penamaan, terutamanya ketika pencarum masih dalam keadaan sihat fizikal dan mental.

"Perkara ini untuk memastikan simpanan KWSP diberikan kepada penerima yang berhak dan menghalang percubaan menipu oleh sesetengah pihak yang cuba mempengaruhi keputusan pencarum ketika pencarum sedang menghidapi kesakitan fizikal atau mental" kata beliau.

-Bernama