Harakahdaily
Muhammad Faizal, | 17 Feb 2013 |
KUALA LUMPUR:
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan pengusiran Senator
Australia Nick Xenophon semalam menandakan sistem demokrasi di negara
ini pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) akan dicemari.
Beliau yang dihubungi menjelaskan, kedatangan Xenophon adalah dengan
tujuan melihat sistem demokrasi negara ini berjalan dengan harmoni
terutama pada pilihan raya nanti dan bukannya untuk menimbulkan
huru-hara.
"Saya tidak nampak apa masalah yang timbul jika Xenophon dibenarkan
memasuki negara ini, beliau hadir sebagai pemerhati dalam melihat
keharmonian demokrasi pada PRU13 nanti.
"Namun apa yang ingin saya jelaskan adalah penahanan beliau ini
sebenarnya menggambarkan bahawa keharmonian demokrasi akan dicemari
terutamanya pada PRU13," kata beliau.
Mahfuz turut mempersoalkan tindakan kerajaan terutamanya pihak polis
mahupun imigresen yang boleh berunding dengan sekumpulan rakyat Filipina
yang mendarat di Sabah walaupun mereka telah membawa senjata dan datang
untuk menimbulkan huru-hara, namun senator bebas itu datang dengan
tujuan yang baik dengan dokumen yang lengkap telah ditahan.
"Yang datang bawa senjata dengan niat untuk menimbulkan huru-hara
kerajaan masih boleh berunding, kenapa yang datang dengan tujuan yang
baik tanpa ada sebarang niat kerajaan sanggup menahan.
"Saya kecewa kerajaan tidak dapat membezakan tindakan yang mereka
ambil terutama dalam senario untuk mencetus huru-hara dan juga dasar
keharmonian demokrasi," sambung beliau lagi.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap Malaysia akan
mengambil pendekatan segera iaitu memanggil balik Xenophon dan
membenarkan beliau memasuki negara ini jika mahu mengembalikan
keharmonian demokrasi, apatah lagi PRU13 semakin hampir.
Senator bebas itu adalah sebahagian daripada delegasi empat anggota
Australia yang mengambil inisiatif untuk meneliti sistem pilihan raya
Malaysia selepas kerajaan Australia menolak permohonan Anwar mendapatkan
pemerhati bebas bagi memantau pilihan raya umum akan datang.
Tiga lagi anggota delegasi itu ialah MP Mal Washer, Senator John Williams, dan MP Steve Georganas.
Delegasi itu dijadualkan bertemu Anwar pada hari Isnin, Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri
Nazri Abdul Aziz pada hari Selasa, serta NGO lain dan ahli parlimen
pembangkang.
Senator Australia Nick Xenophon telah diusir pulang jam 10.30 malam
tadi selepas ditahan selama 15 jam di Terminal Penerbangan Tambang Murah
(LCCT) kerana didakwa menjadi 'musuh negara'.
Xenophon, yang mendarat di terminal LCCT di Sepang pada jam 6.40 pagi
semalam dengan penerbangan AirAsia, ditahan pihak berkuasa Imigresen
sebaik saja tiba.
No comments:
Post a Comment