HTML/JavaScript

Tuesday 1 March 2011

240 MIC dan 30 UMNO masuk PKR


ULU KINTA – Seramai 240 bekas ahli MIC dan 30 ahli UMNO dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Kinta sepakat menyertai PKR selepas mengisytiharkan keluar daripada kedua-dua parti itu.

Borang keahlian mereka menyertai PKR diserahkan wakilnya, R Segar kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Segar dalam ucapannya berkata, keputusan mereka itu dibuat kerana tidak lagi yakin dengan kepimpinan MIC dan UMNO setelah mendakwa parti berkenaan gagal membela nasib rakyat.

Menurutnya, mereka hilang kepercayaan terhadap parti berkenaan yang didakwa tidak mampu membela nasib kaum India di kawasan itu setelah sekian lama memerintah.

“Banyak janji-janji telah ditaburkan pemimpin itu kepada mereka, namun tiada pembelaan yang sewajarnya terhadap nasib kaum India di kawasan ini, malah mereka menyatakan sudah muak dengan janji pemimpin parti berkenaan.

“Jadi mereka semua amat kecewa dengan parti berkenaan dan mereka datang kepada PKR serta merasakan pasti PKR mampu membela nasib mereka yang sebelum ini diabaikan oleh MIC,” katanya pada majlis penyerahan 270 ahli bekas MIC dan UMNO di Pusat Khidmat Masyarakat PR DUN Ulu Kinta.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak Dr Mohd Nur Manuty; Ketua Penerangan PKR Negeri, Zulkifly Ibrahim dan Pengarah Pilihan Raya PR DUN Ulu Kinta, Muhammad Arafat Mohd.

Segar berkata, ahli baru itu juga menyatakan akan terus memberi sokongan kepada kepimpinan Anwar khususnya dan PKR di kawasan berkenaan dalam memberi khidmat terbaik kepada seluruh penduduk.

“Semua ahli baru telah menyatakan sokongan penuh mereka kepada PKR dan berikrar menggembleng tenaga membantu parti mereka pada pilihan raya umum ini.

“Malah mereka juga berikrar akan menolak kepimpinan MIC yang sudah lagi tidak relevan dalam membantu rakyat khususnya masyarakat India di kawasan itu dan nampak mereka lebih senang menabur janji-janji kosong sahaja kepada kami,” katanya.

Beliau berkata, ketika masih tidak memasuki mana-mana parti, beliau mendakwa pernah memohon bantuan, namun tidak diendahkan pihak berkenaan sehinggalah berjumpa kepimpinan PKR di kawasan itu.

“Pada masa itu saya amat teruja kerana kepimpinan PKR pada masa itu menyambut saya dan cuba membantu sedaya yang mungkin untuk memastikan masalah yang saya hadapi berjaya diselesaikan.

“Begitulah juga keadaannya pada hari ini apabila 240 bekas ahli MIC hadir menyerahkan borang keahlian kepada Anwar sendiri sebagai bukti kami menyokong dan berdiri di belakang Anwar,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment