HTML/JavaScript

Saturday 25 February 2012

Hanya Anwar layak jadi PM

Wartawan Sinar Harian
26 Februari 2012
KUALA TERENGGANU – Hanya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai satu-satunya individu yang layak memegang jawatan Perdana Menteri ketika ini jika Pakatan Rakyat (PR) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat, Abdul Rahman Yusof berkata, Anwar dilihat individu paling berpengaruh dalam menggabungkan rakan-rakan pakatan berdepan dengan Barisan Nasional (BN).
 
“Berdasar pengalaman yang beliau ada, kewibawaannya itu boleh menggabungkan Pas dan DAP untuk berdepan dengan BN. Beliau ada kredibiliti dan keupayaan menyatukan rakan-rakan PR untuk menumbangkan BN. Jadi beliau layak (menjadi PM) pada masa ini.
 
“Kalau Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mungkin tidak diterima masyarakat Cina dan begitu juga Lim Kit Siang yang mungkin ada isu lain,” katanya.
 
Keadaan itu katanya ditambah dengan pengaruh Anwar yang cukup ketara di peringkat antarabangsa berbanding pemimpin lain dalam PR.
 
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang menyamakan Anwar dengan pemimpin diktator Kemboja, Pol Pot yang menganggap dirinya sahaja layak menjadi Perdana Menteri.
 
Abdul Rahman yang juga Ketua PKR Cabang Dungun menyelar dakwaan menyamakan Anwar dengan pemimpin itu kerana mendakwa Anwar tidak pernah meminta menjadi Perdana Menteri, sebaliknya menganggap ia kehendak pembangkang dan penyokong PR.
 
Beliau turut mempertahankan Anwar yang turut dikatakan mempunyai rekod cemerlang ketika berkhidmat sebagai Menteri Kewangan serta bersih dari segi moral.
 
“Tidak timbul langsung Anwar macam Pol Pot yang sememangnya zalim, membunuh orang dan mempunyai rekod buruk. Pol Pot akan membunuh orang yang tidak menyokongnya tetapi Anwar ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri tiada rekod sedemikian,” katanya.
 
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Anwar turut beremosi dengan pihak tertentu yang mewujudkan persamaan tersebut dan menegaskan ia tidak patut berlaku.
 
Tegasnya, Anwar seorang pemimpin yang diiktiraf dunia Islam melalui penglibatannya dalam membincangkan isu-isu semasa melibatkan Islam di peringkat antarabangsa.
 
“Individu yang mengatakan Anwar sedemikian tidak boleh diterima kerana sebelum ini pun dia pernah terlibat dalam penyebaran video fitnah terhadap Anwar dan kita menganggapnya sebagai penghinaan kepada dirinya sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment