HTML/JavaScript

Sunday, 8 April 2012

Jika jimat RM45b, tiada masalah mansuh PTPTN

harakahdaily, 08 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 8 April: Jika RM45 bilion setahun dapat dijimatkan, tidak ada masalah lagi hendak membelanjakan RM43 bilion jika Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar).

"Persoalannya sekarang, mengapa kerajaan nampak benar tidak mahu mengambil sebarang daya usaha untuk menjimatkan sekurang-kurangnya RM45 bilion setahun itu.

"Kerajaan lebih suka bebankan rakyat, bebankan pelajar dan menjadikan pelajar sebagai buruan PTPTN," kata beliau.

Mohamad menjelaskan, jika dapat dijimatkan wang dari subsidi RM17 billion setahun menangung Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan RM28 bilion setahun yang rugi akibat kelemahan pengurusan kerajaan seperti yang ditegur oleh laporan Ketua Audit Negara, RM45 bilion setahun dapat dijimatkan dan negara sepatutnya tidak ada masalah lagi hendak menanggung RM43 bilion jika PTPTN dimansuhkan.

Malah, katanya lagi, itu belum lagi diambil kira jika dapat diselamatkan RM10 bilion setahun kerugian yang ditanggung oleh negara akibat rasuah seperti yang didedahkan oleh agensi kerajaan sendiri, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah).

"Dan lebih dari itu semua, semua angka yang saya nyatakan itu adalah angka rasmi yang diberikan oleh agensi-agensi kerajaan sendiri.

"Kalau diambilkira angka tidak rasmi, saya tak tahu berapa banyak yang dapat dijimatkan jika dilaksanakan pentadbiran yang bersih dan tidak khianat," kata Mohamad.

Dengan sedikit angka yang diberikannya itu, beliau berharap rakyat dapat melihat sendiri keengganan kerajaan mengambil langkah yang sepatutnya untuk membantu rakyat yang memerlukan.

"Kerajaan Umno bukan sahaja tidak mahu mengambil langkah yang sepatutnya untuk meringankan beban rakyat terutama yang berpendapatan rendah, malah jika menang lagi dalam pilihan raya akan datang, mereka mahu menghempuk kepala rakyat dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pemotongan pelbagai subsidi termasuk subsidi minyak yang tentu mengakibatkan kenaikan harga barang yang sangat menyiksa rakyat," kata Mohamad.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata: "Persoalannya ialah masa. Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat... kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan GST".

Mengulas keengganan kerajaan menghapuskan PTPTN, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sekiranya tidak mampu menyedia kos RM43 bilion untuk hutang pelajar.

Anwar berkata hutang melalui PTPTN itu boleh diselesaikan jika kerajaan mengelak daripada menanggung ketirisan perbelanjaan dan menolak perbuatan rasuah.

Anwar mempertikaikan kos berkenaan memandangkan kerajaan didakwa mampu menanggung kerugian seperti dalam isu pembelian saham MAS dan dalam projek National Feedlot Corporation.

Najib sebelum itu berkata, tindakan memansuhkan PTPTN itu akan hanya membebankan kerajaan kerana terpaksa membelanjakan RM43 bilion jika tabung itu dimansuhkan,

No comments:

Post a Comment