harian metro
KUALA LUMPUR: Seorang peniaga alat ganti kenderaan parah dan kini koma dipercayai dibelasah kumpulan along yang menculiknya Jumaat lalu, sebelum menelefon keluarga mangsa menuntut bayaran hutang RM50,000.apendy@hmetro.com.my
Lelaki berusia 54 tahun itu dilaporkan kritikal dipercayai kerana kecederaan dalaman akibat dibelasah dan dia kini dirawat di Unit Rawatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas keluarganya gagal membayar wang dituntut.
Mangsa yang menetap di Sungai Long, Kajang dan dikenali sebagai Lee tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja Jumaat lalu dan keluarga mangsa mendakwa ada individu yang menghubungi mereka meminta wang bagi bayaran hutang.
Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali ketika ditemui di PPUM berkata, mereka tidak mengetahui mangsa meminjam wang dengan mana-mana kumpulan along sehingga dihubungi individu tidak dikenali yang mengatakan mangsa kini dalam tahanan mereka kerana gagal membayar hutang.
“Pada hari kejadian, mangsa keluar bekerja jam 9 pagi, namun tidak pulang ke rumah seperti biasa pada waktu petang dan kami terkejut selepas menerima panggilan telefon jam 9 malam daripada seorang individu yang mengatakan mangsa mempunyai hutang RM50,000.
“Individu terbabit meminta kami membayar hutang mangsa, tetapi kami ragu kerana mangsa tidak memberitahu meminjam dengan along dan membuat laporan polis di Kajang,” katanya.
Menurutnya, tidak lama kemudian mereka menerima satu lagi panggilan telefon daripada seorang wanita yang tidak dikenali memaklumkan mangsa dibelasah teruk dan sudah dihantar ke hospital untuk rawatan.
Katanya, mangsa mempunyai tujuh anak perempuan dan semua ahli keluarga dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment