HTML/JavaScript

Tuesday, 17 April 2012

PTPTN: Aktivis mahasiswa mahu jaminan PM

SINAR HARIAN
18 April 2012
300 mahasiswa himpun tuntut mansuh PTPTN
SHAH ALAM - Aktivis mahasiswa, yang berkhemah di Dataran Merdeka sejak Sabtu lalu, bertekad akan terus berada di premis itu sehingga kerajaan bersedia mengadakan perbincangan dengan mereka berkenaan dengan tuntutan meminta pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang berkata, pihaknya mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberi jaminan bahawa kerajaan akan membincangkan tuntutan berkenaan.
"Ya, kami ada mendengar apa yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Saifuddin Abdullah) meminta kami mengosongkan Dataran Merdeka.
"Itu adalah pandangan peribadi, cadangan individu. Kami mahu Perdana Menteri sendiri memberikan respons. Kami menghormati pandangan Datuk Saifuddin, tetapi apa yang kami mahukan ialah pendirian kerajaan, jaminan Perdana Menteri," kata Safwan ketika dihubungi Sinar Harian Online awal pagi tadi.
Ketika dihubungi, pihaknya masih berada di Dataran Merdeka dengan menganjurkan 'kuliah' di Dataran Merdeka.
Dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian Online petang semalam, Saifuddin menasihatkan kumpulan mahasiswa yang terus berkhemah di Dataran Merdeka agar menghentikan tindakan mereka secepat mungkin kerana tuntutan mereka sudah pun didengari.
Saifuddin berkata, langkah itu perlu kerana kawasan dataran tersebut turut digunakan untuk pelbagai acara lain, contohnya Konsert Diraja pada 21 April ini sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14.
Menurutnya, oleh sebab itu, kumpulan mahasiswa tersebut haruslah juga menghormati tuntutan orang lain terutamanya dalam konteks ini.
“Isu PTPTN memang dekat terutamanya kepada pelajar, oleh itu saya memahami sentimen mereka dalam isu ini.
“Mahasiswa ini perlu menghormati tugas pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang amat proaktif dan baik sekali menangani kes ini, jadi mereka juga perlu hormat orang lain,” katanya.
Kata Saifuddin lagi, walaupun beliau menghormati tuntutan mahasiswa ini dan menyedari perhimpunan adalah sebahagian dari sistem demokrasi, namun ia tetap ada batasan-batasan yang perlu diikuti.
Safwan berkata, sehingga Kerajaan Pusat berkomited untuk mengadakan perbincangan dengan mereka, pihaknya akan terus mengadakan demonstrasi dan berkhemah di Dataran Merdeka.
Mengenai pandangan Menteri Penganjian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang meminta mahasiswa yang mengadakan demonstrasi menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN supaya memulangkan pinjaman mereka jika tidak bersetuju, Safwan berkata, Najib dan menteri berkenaan perlu bertanggungjawab dengan kenyataan sedemikian.
"Kami mahu Khaled dan Perdana Menteri menjawab dengan cara penuh bertanggungjawab. Kami terpaksa mengambil pinjaman sebab tiada pilihan lain. Kami tidak akan mengambil pinjaman jika kerajaan menyediakan pendidikan percuma di universiti awam, ini isunya sekarang," katanya sambil menambah, para pelajar tiada pilihan lain kecuali mendapatkan kemudahan PTPTN.
"Sebagai contoh dalam kes saya, saya tidak memperoleh biasiswa untuk mengikuti pengajian jurusan pendidikan.
"Jika saya, saya dari Terengganu, mahu memohon biasiswa Yayasan Terengganu, saya perlu mendapatkan pengesahan bahawa permohonana saya telah ditolak oleh PTPTN, jadi apa pilihan yang kami ada," katanya lagi.
Katanya, itu sebab pihaknya memohon skim pinjaman dimansuhkan dan disediakan pendidikan percuma.

No comments:

Post a Comment