HTML/JavaScript

Tuesday, 5 March 2013

PKR persoal Putrajaya selepas bayaran konsultan AS terdedah


Oleh Nomy Nozwir
March 06, 2013
Nik Nazmi berkata rekod tersebut mendedahkan Trevino dibayar sebanyak RM1,208,848 oleh kerajaan Malaysia. – Gambar fail
PETALING JAYA, 6 Mac—PKR mempersoal pendirian Putrajaya selepas Joshua Trevino, bekas penulis ucapan presiden Amerika Syarikat (AS) George W. Bush, mengakui menerima bayaran dari kerajaan Malaysia menerusi APCO Worldwide untuk menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, rekod tersebut mendedahkan Trevino dibayar sebanyak AS$389,724.70 (RM1,208,848) oleh kerajaan Malaysia.
“(Datuk Seri) Najib (Razak) perlu menjawab persoalan, berapa banyakkah wang rakyat digunakan untuk konsultan awam, khususnya di luar negara untuk menyerang Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat,” kata Nik Nazmi dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Menurut Nik Nazmi, Trevino dipaksa meletak jawatan sebagai kolumnis di akhbar United Kingdom, The Guardian, Ogos tahun lalu berikutan beliau tidak mengumumkan peranannya sebagai konsultan kepada FBC Media, dimana beliau memuji-muji ‘kesederhanaan’ Najib.

“Najib mengakui kerajaan membayar RM94 juta kepada FBC Media antara 2007 hingga 2010, dan FBC juga turut membayar AS$70,000 kepada APCO Worldwide untuk melobi kerajaan AS menggambarkan Anwar sebagai anti-Israel di luar negara.

“Masa di dalam negara, mereka mengatakan Anwar adalah agen Israel, di luar negara mereka mengatakan Anwar sebagai anti-Israel pula, ini satu ironi,” kata Nik Nazmi lagi.
Nik Nazmi juga bertanya apakah kerajaan BN membayar kepada konsultan lain selain APCO dan FBC Media, dan apakah ada arahan dari BN untuk mereka menghentam Anwar, selain mengatakan konsultan-konsultan yang dilantik ini adalah penyokong tegar Israel dan anti-Islam.

“Adakah kerajaan sedar bahawa ramai konsultan yang dilantik terkenal dengan pandangan ekstrem dan anti-Islam mereka, yang menghina Islam, Ikhwanul Muslimin dan umat Islam di Amerika?  Adakah kerajaan sedar bahawa konsultan-konsultan yang dilantik adalah penyokong tegar Israel yang menentang hak rakyat Palestin?
“Najib mestilah menjawab perkara ini dengan pilihan raya yang bakal tiba,” kata Nik Nazmi lagi.

Beliau kemudian berkata meskipun terus membelanjakan jutaan ringgit wang rakyat bagi tujuan propaganda dan fitnah, pentadbiran Najib terus menolak gesaan Anwar untuk perbahasan polisi dalam menentukan kepentingan rakyat Malaysia.
Trevino, seorang pengulas politik konservatif di Amerika, dan beliau menulis di Huffington Post, San Francisco Examiner, Washington Times, National Reviewer dan laman web konservatif RedState.com.

No comments:

Post a Comment