HTML/JavaScript

Friday, 9 March 2012

Batal MAS-AirAsia: Lagi bukti transformasi Najib gagal

Harakahdaily, 10 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Cadangan menghentikan penggabungan MAS-Air Asia adalah satu lagi bukti kegagalan program transformasi ekonomi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, seperti Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA), penggabungan MAS-Air Asia gagal kerana Najib tidak mengambilkira hasrat dan kemahuan rakyat, iaitu pemegang-pemegang saham dan pengguna.

"Cadangan pembatalan penggabungan MAS-Air Asia itu sekali lagi dengan jelas membuktikan bahawa Najibnomics hakikatnya adalah Najibcomic.

"Apa yang dimegahkan sebagai Najibnomic oleh pembodek-pembodek Perdana Menteri itu hakikatnya adalah polisi-polisi ekonomi separuh masak, flip flop dan tidak ada pemikiran yang jelas sebelum dilaksanakan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz juga menyifatkan apa yang berlaku itu adalah simptom orang yang tidak tahu pengurusan dan kepimpinan yang diangkat oleh Umno untuk menjadi Perdana Menteri.

"Orang yang tidak tahu pengurusan dan kepimpinan tidak layak jadi Perdana Menteri.

"Setakat jadi promoter artis, peragawati atau model mungkin boleh...," kata beliau.

Mahfuz mempersoalkan, apa pelabur asing akan kata dengan "tindakan u-turn itu".

"Selepas tindakan u-turn dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Felda, SBPA, kini u-turn dalam penggabungan MAS-Air Asia pula?" katanya.

Mahfuz menyifatkan semua itu berlaku akibat tidak ada pemikiran yang jelas di pihak Perdana Menteri sendiri dalam apa jua inisiatifnya, sama politik, ekonomi dan sosial.

Perdana Menteri juga, kata beliau, selalu benar dilihat tidak mengambilkira sokongan orang bawahan terhadap sesuatu inisiatifnya.

Malaysian Insider melaporkan, Putrajaya sedang menimbangkan pembatalan penggabungan MAS-Air Asia kerana gagal menunjukkan sebarang pembaikan.

Penggabungan itu juga gagal menaikkan moral 20,000 kakitangan MAS malah mereka dilaporkan diam-diam menentang penggabungan itu dan tidak memberikan sebarang sokongan ke arah itu.

Syarikat penerbangan nasional itu mengalami kerugian RM2.52 bilion dalam tahun 2011.

No comments:

Post a Comment