myMetro
KUALA LUMPUR: Ibu bapa Wan Hazim Mohd Khadhir, 7, kanak-kanak yang dilaporkan hilang Jumaat lalu, berpeluang bertemu dan berterima kasih kepada lelaki yang mereka anggap wira kerana menemui serta menyerahkan Hazim kepada pihak berkuasa, sekali gus mengelakkan perkara ebih buruk berlaku.Dalam pertemuan di sebuah restoran di Sri Petaling malam kelmarin, Mohd Khadhir Hassan, 41, dan isterinya Wan Nor Azma Wan Yusof, 33, bersama Hazim serta anak bongsu mereka mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada YP Chong, lelaki yang menemui dan menyelamatkan anak kedua mereka.
Menurut Mohd Khadhir, jasa baik Chong amat dihargai dan tidak mampu untuk dibalas dengan wang ringgit ataupun pelbagai hadiah kerana keselamatan dan nyawa Hazim adalah segala-galanya bagi mereka.
“Kami sepatutnya bawa hadiah, namun saya tidak dapat memikirkan hadiah sesuai dengan jasa Chong kepada kami sekeluarga...jutaan terima kasih pun masih tidak mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Chong yang juga ejen hartanah pula berkata, naluri seorang bapa membuatkan dia nekad menggadai nyawa menyeberangi lebuh raya sibuk untuk mengambil Hazim di tengah pembahagi jalan.
“Saya sendiri mempunyai tiga anak...budak itu anak siapa tidak penting, apa yang saya fikir ketika itu hanyalah dia (Hazim) dalam keadaan bahaya.
“Jika perkara seumpama ini berlaku lagi di depan saya...saya tidak teragak mempertaruhkan nyawa melakukan perkara sama,” katanya. Dalam kejadian pada jam 12.40 tengah hari Jumaat itu, Chong yang dalam perjalanan dari rumahnya di Sri Petaling ke Klang melalui Lebuhraya Kesas, terkejut melihat seorang kanak-kanak berada sendirian di pembahagi jalan lorong laju lebuh raya berkenaan.
Lelaki terbabit kemudian bertindak memberhentikan keretanya dan melintas lebuh raya yang sibuk untuk mengambil budak terbabit dan menyerahkannya ke Balai Polis Subang Jaya.
No comments:
Post a Comment