HTML/JavaScript

Tuesday, 20 March 2012

Sasterawan Negara: Tahniah buat Kemala

Harakahdaily, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan syabas kepada penyair Datuk Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Kemala di atas penerimaan Anugerah Sastera Negara yang ke-11 semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, pemilihan Kemala sebagai Sasterawan Negara dianggap sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan beliau yang besar dalam bidang sastera tanah air.

"Penganugerahan ini mengangkat darjat beliau dan insan sepertinya sebagai golongan yang memperjuangkan kesusasteraan negara.

"Penganugerahan ini membuktikan bidang sastera amat penting dan memberi sumbangan yang besar dalam masyarakat. Pengaruh sastera dalam penulisan, puisi, syair dan karya-karya besar seperti yang dihasilkan oleh Kemala mampu membentuk nilai masyarakat yang positif dan berjiwa murni," katanya.

Malam tadi, penyampaian Anugerah Sastera Negara yang ke-11 kepada Kemala disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah malam tadi.

Kemala dipilih sebagai Sasterawan Negara kerana telah memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Kemala menerima Warkah Penghormatan Negara berupa wang tunai berjumlah RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

"DPPM mengharapkan kerajaan terus memartabatkan golongan sastera bagi memastikan nilai sastera negara akan terus dijulang oleh generasi akan datang.

"Semoga Kemala diberikan kekuatan dan kesihatan untuk terus berkarya sebagai suatu sumbangan yang besar kepada negara," kata Riduan.

No comments:

Post a Comment