15 Mac 2012
Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, pengambilan tanah YBK adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil Kerajaan Negeri selepas banyak peluang diberikan kepada pengurusan YBK kerana tidak membayar cukai tanah dan melanggar syarat-syarat tanah yang ditetapkan.
"Kerajaan Negeri perlu bertindak adil kepada semua pihak hatta melibatkan anak syarikat milikan penuh atau agensi di bawah Kerajaan Negeri. YBK yang diberikan tanah secara percuma sepatutnya melunaskan tunggakan cukai tanah dan menggunakan tanah-tanah yang diberikan itu untuk program kebajikan bukan membangunkan dengan projek pembangunan untuk keuntungan kroni-kroni.
"Kerajaan Negeri telah mendedahkan senarai syarikat yang mendapat manfaat daripada projek pembangunan tanah yang diberikan kepada YBK dan akibatnya, Kerajaan Negeri telah disaman tetapi kemudian ditarik balik oleh YBK. Jika dakwaan ini salah, sudah tentu YBK tiada alasan menarik semula saman ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam .
Menurutnya, Kerajaan Negeri telah membantu banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan mendermakan dana atau bantuan lain dan akan sentiasa menyokong usaha-usaha murni mereka.
"Ini amat berbeza sekali dengan YBK yang mendapat banyak bantuan termasuk pemberian tanah percuma tetapi tiada impak besar kepada golongan sasar sebaliknya golongan kaya yang mendapat faedah," katanya.
No comments:
Post a Comment