HTML/JavaScript

Friday, 16 March 2012

Penganalisis: Calon muda senjata PRU13 BN

Sinar Harian
17 Mac 2012
BN
SHAH ALAM - Siapa dan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘calon winnable’? Itulah kata popular yang berlegar sejak setahun lalu dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN). 
Kalau ikut terjemahan literal - ia bermaksud calon berpotensi menang.

Persoalannya, atas faktor apa? Apakah ciri-ciri yang membina karakter dan aura ‘boleh menang’ pada seseorang jika terpilih sebagai calon? Pastinya yang terpilih merasakan diri sendiri mempunyai ciri-ciri itu apatah lagi selepas mampu mengekalkan kerusi ditandingi untuk tempoh yang lama. 

Namun, landskap politik selepas ‘tsunami 2008’ diyakini telah merubah persepsi itu. Yang disebut kini ialah penonjolan barisan wajah muda berketerampilan, sebagai senjata baru BN khususnya di Selangor untuk mencipta kejutan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang mungkin tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Faktor persona muda ini jugalah selari dengan cita rasa pengundi semasa dan barangkali ciri sebenar ‘calon winnable’ ini. 


Kalau itulah indikatornya, sejauh mana aura anak muda dalam BN ini boleh diangkat sebagai wakil parti berkhidmat untuk rakyat? Adakah BN bersedia dengan strategi ini? 


Dan, adakah kebolehan calon muda BN ini nanti mampu menenggelamkan kebolehan dan populariti pemimpin seusia mereka dalam Pakatan Rakyat (PR). 


Menjawab soalan itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata,BN tidak pernah kekurangan pemimpin muda malah peluang untuk bertapak kukuh dan meningkat naik ke tahap lebih tinggi dalam parti sentiasa terbuka.

 
“Pemimpin muda BN ada, cuma sejauh manakah pendedahan yang telah diberikan dan adakah mereka sudah mendekati pengundi? Sudah pasti dalam percaturan BN ialah menampilkan calon muda kerana itulah senjata yang boleh digunakan untuk menang di beberapa kawasan tertentu.

“Peluang juga ada. Sekiranya dapat diminimumkan isu dalaman seperti pemilihan calon yang betul, aura dengan rakyat bagus, maka penampilan tidak akan menjadi satu masalah. Barulah ia akan menyokong jentera pergerakan, sekali gus akan memberikan satu pengukuhan ke atas parti itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pe­mimpin muda PR hari ini, muncul selepas PRU12 lalu, yang mana pada ketika itu calon bukanlah faktor keme­nangan PR.

Bagaimanapun kali ini, calon menjadi faktor penting dan apa yang pasti, BN serta parti komponennya harus melakukan sesuatu bagi menampilkan calon berkelayakan.

Sivamurugan berkata, pemimpin muda BN memerlukan pendedahan meluas dan penampilan mereka digarap dengan lebih mantap, agar dilihat mempunyai nilai yang boleh menyumbang kepada parti terutamanya dalam pilihan raya.

Beliau berkata, kepada pemimpin muda sendiri, mereka perlu mengambil peluang tersebut dengan menampakkan sesuatu yang luar biasa di dalam diri mereka. 

“Kini ramai bercakap tentang ke­pen­tingan pengundi muda, jadi sudah pasti pengundi mahu pemimpin mereka dari generasi sama iaitu seorang pemimpin yang boleh men­­jiwai watak, karakter golongan muda. 

“Pemimpin muda itu sendiri harus keluar dari kepompong yang menyekat mereka untuk me­nunjukkan mereka juga boleh tampil sebagai pemimpin bagi generasi ini dan juga generasi lepas,” katanya.

Namun, beliau tidak menafikan ramai pemimpin muda kurang mendapat perhatian disebabkan ada kekangan dan keterbatasan tertentu yang memungkinkan mereka tidak mendapat pendedahan sebagaimana pemimpin muda yang sudah menjadi wakil rakyat. 

Beliau berkata, sebelum PRU12 ramai tidak mengenali Nik Nazmi Nik Ahmad, Jenice Lee, Hannah Yeoh, namun mereka menyerlah kerana sudah mula bekerja bersama dengan pemimpin akar umbi sehingga membolehkan mereka mempunyai pengikut sendiri.

“Mungkin dalam pilihan raya akan datang, calon dan pemimpin muda dalam BN berpeluang men­da­pat perhatian sama atau lebih daripada apa yang diperoleh pemimpin muda PR. Ini memerlukan kerja keras dari parti dan mungkin sokongan dari segi liputan media,” katanya.

BN dan PR jauh berbeza 

BN adalah sebuah organisasi matang yang berpengalaman luas dalam dunia politik malah sudah mengalami be­be­rapa peringkat pertumbuhan dan kini dalam proses meremajakan se­mula organisasi itu. 

Dalam usaha itu, parti komponen BN seperti Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP, IPF mempunyai ramai pemimpin yang berkebolehan, ber­pe­ngalaman dan berketerampilan de­ngan pembentukan organisasi par­ti yang lebih berstruktur.

Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd Zohdi berkata, keadaan ini membezakan BN dengan PR yang dianggap sebuah parti yang baru dalam peringkat pertumbuhan dari segi organisasi. 

“Mereka ‘pick and pluck’ mana-ma­­na individu yang mereka ma­hukan untuk dijadikan calon pada pilihan raya umum 2008 lalu. Suasana itu membezakannya, mereka senang naik walaupun tiada pengalaman sebab tiada senior dalam parti itu. 

“Tidak adil untuk mem­ban­ding­kan BN dengan PR kerana kita boleh lihat sendiri bagaimana kelam kabut PR memilih calon, main tang­kap muat sahaja. Mereka tidak mela­lui proses seperti BN, belajar dari bawah, peringkat demi peringkat seperti YB Shukor (Adun Kuang), YB Johan (Adun Semenyih), YB Isa (Adun Batang Kali),” katanya.

Budiman berkata, kehebatan pemimpin muda dalam BN masih relevan kerana proses generalisasi dalam parti sentiasa berterusan di mana setiap pemimpin datang dan pergi apabila tiba masanya.

Beliau berkata, setiap pemimpin akan melalui proses berkenaan ke­rana mereka tidak akan selamanya berada di atas, tiba masa pemimpin senior kena tarik ‘handbrake’ dan peluang mesti diberikan kepada pemimpin muda untuk meneruskan perjuangan BN.

Katanya, sejak dahulu lagi, BN tidak pernah ketandusan barisan kepimpinan bawah 40 tahun malah proses memberi peluang kepada orang muda dalam BN adalah proses berterusan.

“Apa yang penting, bagaimana pemimpin muda ini hendak me­nempatkan diri sebab peluang sudah ada, mereka perlu menunjukkan usaha dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut. 

“Mungkin juga dari segi liputan media yang kurang mengejar mereka, apabila kurang seolah-olah mereka tidak ditonjolkan. Sepatutnya media perlu memainkan peranan mem­be­rikan ruang dan tempat kepada pe­mimpin muda dalam BN,” katanya.

Dengan ruang yang ada, beliau dan pemimpin muda yang lain perlu berusaha lebih gigih menzahirkan tanggungjawab dan amanah sebagai pemimpin. 

Ketua Pemuda Umno Bahagian Sungai Besar itu juga berkata, pemimpin muda seperti beliau perlu lebih fokus untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan menyerahkan kepada umum untuk menilai.

“Kita tidak boleh menilai diri sendiri sama ada bagus atau tidak kerana ramai yang akan melihat dan menilai diri kita seperti rakyat, masya­rakat, pemimpin di peringkat ter­tinggi juga menilai. 

“Kerja parti memerlukan ko­mit­men amat tinggi, tidak boleh ada ‘hidden agenda’. Jikalau ada ‘hidden agenda’, pemimpin itu akan ber­masalah dan tertekan. Kalau pemim­pin itu buat sesuatu dengan amanah, ikhlas dan penuh tanggungjawab, sudah tentu tiada masalah,” katanya.

No comments:

Post a Comment