HTML/JavaScript

Monday 23 September 2013

Presiden, timbalan tiada pertandingan, negara akan binasa juga

Aspan Alias, 23 Sep 2013
Najib berkata dengan tiada siapa yang mencabar kedudukan beliau dan timbalannya dalam pemilihan parti kali ini menunjukkan yang UMNO bertambah kuat dan akan terus menjadi parti harapan untuk rakyat dan negara. Katanya lagi dengan memenangi kerusi Presiden tanpa bertanding itu adalah petanda arah yang parti semakin kuat bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.

Sebenarnya UMNO yang asal dan UMNO yang baru ini telah wujud selama 67 tahun dan dalam usia yang sebegitu lama hanya dua kali sahaja pertandingan di peringkat Presiden itu berlaku. Pertamanya pada tahun 1978 dalam mana Haji Sulaiman Palestin yang telah bertanding jawatan Presiden itu menentang Hussein Onn dan pada 1987 dalam mana Tengku Razaleigh Hamzah telah tampil memberikan saingan kepada Presiden UMNO semasa itu Dr Mahathir Mohammed.

Dalam Perhimpunan Agung yang lainnya tiada pertandingan di peringkat Presiden ini. Selepas pertandingan 1987 dahulu UMNO tidak pernah ada pertandingan di peringkat Presiden tetapi selepas itu pula lah UMNO bertambah lemah seperti yang kita lihat pada hari ini. Tiada pertandingan telah membuktikan yang UMNO itu bertambah lemah dan ini terbukti dengan jelas dan nyata.

Dalam erti kata lain pertandingan tidak semestinya melemahkan parti dan jika tidak ada pertandingan tidak bermakna parti UMNO itu akan kuat. Ia bergantung kepada tahap mana kita boleh menjaga semangat demokrasi itu dengan betul dan baik. Begitu jugalah jika tiada pertandingan ia tidak bermakna yang sedia ada itu adalah yang terbaik dan jika ada pula pertandingan ia tidak bermakna yang ada itu tidak baik.

Dalam kes UMNO ini yang menyebabkan tiada pertandingan itu ialah kerana masing-masing yang ada dalam barisan kepimpinan itu lebih mengira dan menjaga kepentingan serta keseronokan berkuasa dalam kerajaan. Jika kita dengar gossip dan pandangan ahli-ahli UMNO itu Najib itu adalah pemimpin yang sepatutnya tidak berada di puncak kepimpinan UMNO dan negara.

Tetapi oleh kerana manusia yang didalam kepimpinan parti itu tidak berani bertindak maka mereka terpaksa mengikut lenggang dan lenggok pucuk pimpinan itu sahaja. Mereka memberikan alasan yang biasa iaitu kesatuan dan perpaduan sebagai alasan untuk mengikut kehendak pucuk pimpinan yang berkuasa itu. Itu sebab saya selalu berkata UMNO sememangnya tidak boleh diperbaiki lagi kerana pemimpin yang baik berada di luar barisan kepimpinannya.

Bagi saya UMNO akan hanya boleh berubah apabila parti itu benar-benar tersungkur sahaja baru memulakan perubahan. Tiada apa yang akan berubah, dan ia akan tetap sama seperti UMNO sekarang dan semalam. Jika begitu lama kita menganggap UMNO mempunyai barisan pimpinan yang rasuah, maka itu jugalah keadaan selepas pemilihan ini. Tidak akan ada perbezaannya dalam apa perkara sekali pun.

UMNO akan menjadi parti yang kian hari kian buruk dan tidak ada apa yang hendak kita harapkan di masa hadapan selain dari penerusan budaya rasuah, menyalah gunakan kuasa, serta membina budaya kronism dalam pentadbiran negara.

Telinga kita akan disumbatkankan dengan puluhan malah ratusan slogan baru yang bertentangan nilainya di antara satu dengan lain. Kita akan berhadapan dengan perancangan-perancangan baru yang akan berubah dalam tempoh beberapa bulan sahaja dan Najib akan terus menerus melancarkan satu perancangan setiap beberapa bulan sekali.

UMNO akan tetap merancang banyak perkara sehinggakan tiada masa untuk melaksanakannya. Idris Jala ada di Jabatan Perdana Menteri, mengarang dan mencipta perancangan untuk Najib mengumumkannya melalui media masa dengan majlis-majlis pelancarannya. Semua perancangan-perancangan ciptaan Idris Jala itu ialah untuk Najib mengadakan majlis pelancarannya yang kita tahu dari awal tidak akan membawa negara ke mana-mana sekali pun.

Jika ada pun cara untuk merubah keadaan ini hanya parti-parti dalam komponen Barisan Nasional sahaja yang mampu melakukannya. Jika PAS dalam Pakatan Rakyat sudah mula berfikir untuk mengkaji semula gabungan dan perhubungan dengan rakan kongsinya PKR, parti-parti dalam BN juga boleh melakukan perkara yang sama demi untuk mencari jalan penyelesaian masalah-masalah ciptaan UMNO dan kepimpinannya terhadap negara dan kerajaan.

Itulah sebabnya saya tetap mengekalkan pendapat saya yang perubahan mesti dilakukan dari awal seolah-olah kita belum ada kerajaan. Kita mulakan sebuah negara baru dengan perubahan kepada sistem yang baru agar dapat kita membina kembali siasah negara ini ke tahap negara yang benar-benar demokrasi dan bersih dari dosa dan noda rasuah dan budaya kuning dalam pembangunan negara dan rakyatnya. Sesungguhnya kita sedang berada dalam kesulitan yang tiada penghujungnya.

Ramailah yang akan mengkritik pandangan saya ini tetapi yang penting bagi saya pandangan ini akan pasti menjadi kenyataan tidak berapa lagi. Sementara menunggu kebenarannya biarlah saya tanggung dahulu maki hamun dan kritikan yang bakal mendatang itu. - http://aspanaliasnet.blogspot.com