HTML/JavaScript

Monday 24 February 2014

S'gor catu air mulai esok

24 Feb 2014

Catuan air di Selangor akan bermula esok dan penumpuan akan diberikan kepada kawasan-kawasan bermasalah, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Kerajaan negeri juga telah berbincang berhubung peranan yang perlu dilakukan PBT dalam menangani masalah air di Selangor, katanya melalui pesanan Twitter sebentar tadi.

Akhbar web Selangor melaporkan, program penjadualan air di seluruh Selangor itu menggunakan sistem penggiliran antara dua zon setiap dua hari.

Ia menumpukan kepada kawasan yang terkesan akibat penutupan empangan yang tercemar baru-baru ini.

“Penjadualan air ini akan berterusan supaya air di empangan negeri ini tidak banyak digunakan dan bekalan air boleh disimpan untuk dua bulan akan datang,” Khalid dipetik sebagai berkata oleh Selangorkini.

Khalid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kerajaan negeri, di Shah Alam.

Beliau juga menjelaskan, penjadualan itu dijangka berakhir Mac depan selepas taburan hujan konsisten dan kapasiti air di empangan negeri itu bertambah.

Gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di beberapa kawasan di Hulu Langat dan Kuala Langat melibatkan kira-kira 27,000 rumah akibat Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi ditutup sejak Januari lalu.

Selain itu, 75000 rumah juga terputus bekalan ekoran pertambahan permintaan air mendadak ekoran cuaca panas kering dan kekurangan hujan.Malaysiakini

PBS: Idris Jusoh kata lain. TPM kata lain

February 24, 2014
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh (gambar), berkata Kementerian Pendidikan akan tetap meneruskan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana pelaksanaan itu yang dimahukan oleh semua rakyat di negara ini.

Beliau berkata, sebelum ini rakyat Malaysia meminta kementerian menukar sistem pendidikan Malaysia untuk tidak berorientasikan peperiksaan.
"Kita tetap akan meneruskan sistem PBS kerana ini yang dimahukan semua rakyat, kita tidak akan sesekali memansuhkan, hanya menangguhkan untuk penambahbaikan," katanya pada sidang media Pameran Kejayaan Universiti Penyelidikan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan mengumumkan penambahbaikan sistem PBS pada 1 April depan.

Sebelum ini The Malaysian Insider melaporkan guru dan pengurusan sekolah mendapati sukar untuk menukar kembali PBS kepada sistem peperiksaan.
Ini menjadikan kebanyakan sekolah mengamalkan dua sistem iaitu pada pemulaannya menggunakan PBS untuk menyenangkan Putrajaya dan satu lagi ialah kaedah peperiksaan bagi mengukur prestasi murid.

Mengulas mengenai kesukaran yang dihadapi oleh guru, Idris berkata, pihaknya memahami situasi tersebut.
Katanya, selama tempoh pemansuhan kerajaan akan mengkaji bentuk baru sistem PBS yang tidak membebankan guru.
"Kita faham dan mendengar rintihan guru dan ibu bapa. Kita membuat kajian selama dua tahun mengenai sistem ini. Isteri saya pun guru dan kita selalu berhubung sehingga ke akar umbi bagi menambahbaik sistem.
"Buat masa ini guru jangan runsing dan tidak perlu penerangan tentang sistem ini kerana mereka hanya perlu fokus pada pembelajaran sahaja," katanya.

Beliau berkata, sistem PBS merupakan kaedah yang terbaik untuk dilaksanakan di negara ini.
"Kerajaan sudah memutuskan dan PBS adalah sistem yang terbaik untuk dilaksanakan namun isunya di sini adalah pelaksanaan saja.
"Daripada segi objektif dan dasar PBS tidak ada masalah, hanya kita perlu perkemaskan lagi pelaksanaanya dan ini akan diumumkan pada 1 April ini," katanya. – 24 Februari, 2014.