HTML/JavaScript

Monday 18 June 2012

PSC: Hantar sisa keluar M'sia jika tiada kajian kitar semula

  • Nigel Aw
  • malaysiakini Jun 19 2012
 
Jawatankuasa terpilih khas parlimen (PSC) berhubung loji Lynas mengesyorkan supaya syarikat tersebut menghantar bahan buangannya keluar dari Malaysia sekiranya tidak dapat mengemukakan laporan kajian untuk mengitar semula sisa itu.

Syarikat itu juga disyorkan berbuat demikian sekiranya tidak dapat mewujudkan kawasan untuk pembuangan kekal, menurut laporan yang dikemukakan ke Parlimen semalam.

Syor berkenaan dibuat berdasarkan jaminan oleh syarikat berkenaan untuk membawa keluar sisanya daripada negara ini sekiranya perlu berbuat demikian, menurut laporan yang dikenakan embargo sehingga jam 10.30 pagi ini.

Jawatankuasa itu maklum bahawa syarikat Lynas Corporation Ltd, Australia, dan Lynas Malaysia Sdn Bhd menyatakan komitmen mereka untuk membawa keluar sisa berkenaan dari negara ini, menurut laporan PSC yang memetik surat syarikat tersebut, masing-masing bertarikh 23 Februari dan 6 Mac.

Surat bertarikh 23 Februari oleh pengerusi eksekutif Lynas Corporation Ltd, Nicholas Curtis dan dialamatkan kepada ketua pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan itu dilampirkan dalam laporan tersebut.

Surat itu menyatakan bahawa Lynas Corporation Australia memberi sepenuh janjinya untuk membuang semua sisanya yang dihasilkan daripada loji Lamp di Gebeng, Kuantan daripada negara ini, untuk sepanjang tempoh lesen beroperasi sementara (TOL).

Cadangan tersebut merupakan salah satu daripada 31 syor yang digariskan dalam laporan tersebut selepas PSC, yang dibentuk pada 20 Mac, menyiapkan kerja mereka selepas pendengaran awam di Kuantan dan Kuala Lumpur.

Pelan dan lokasi untuk pusat pembuangan kekal tersebut, menurut PSC, perlu dikemukakan dalam tempoh 10 bulan selepas TOL dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment