HTML/JavaScript

Monday 8 July 2013

Kuala Besut: Fokus dan boleh cipta sejarah

Harakahdaily, 08 Jul 2013
KUALA BESUT: PAS yakin dengan memberikan fokus khusus untuk setiap kelompok pengundi, parti komponen Pakatan Rakyat itu boleh menang di pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut.

Yang Dipertua PAS kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad (gambar) berkata, pihaknya telah menyusun strategi tertentu bagi memastikan sejarah dicipta di negeri ini.

Terengganu bakal mencipta sejarah jika PAS berjaya memenangi PRK ini kerana akan mempunyai bilangan Adun yang sama ramai dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu iaitu 16:16.

Dalam pilihan raya umum ke 13 baru-baru ini, BN mendapat 17 kerusi manakala PAS mendapat 14 dan PKR satu.

Dengan kematian Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar 26 Jun lalu, Adun BN tinggal 16. Jika PAS menang dalam pilihan raya ini, jumlah Adun Pakatan akan menjadi 16.

"Suasana inilah yang hendak dicipta oleh para penyokong PAS sekarang. Inilah yang menjadi tema kempen kita, mari kita cipta sejarah," kata Wan Azhar ketika ditemui Harakahdaily baru-baru ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai hari membuang undi PRK Kuala Besut sementara penamaan calon pada 12 Julai.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu kerana kanser paru-paru.

Pada PRU13 lalu, Allahyarham memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. Majoriti calon BN adalah 2,434 undi.

Dari 14 pilihan raya sebelum ini, PAS menang empat kali iaitu 1959, 1969, 1974 dan 1999. Yang lainnya dimenangi BN.

Ketika ditanya pendapat Ketua Umno bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang berkata, PAS tidak boleh berbuat apa-apa walaupun menang kerana mereka mempunyai Speaker di pihak BN, Wan Azhar berkata;

"Bagaimana kalau Adun PAS memberikan usul undi tidak percaya kepada speaker. 16 menyokong dan 16 lagi menentang usul itu. Apa akan berlaku?" jawab beliau dengan memberikan soalan.

Bagi Wan Azhar, jawapannya tentu sukar dan inilah sejarah baru yang bakal dicipta jika menang.

Pakar undang-undang perlembagaan, Dr Aziz Bari berpendapat, jika PAS menang, Sultan boleh membuat keputusan siapa yang berhak menjadi pemimpin ataupun pilihan raya semula boleh diadakan.

No comments:

Post a Comment