HTML/JavaScript

Saturday 2 February 2013

Pas dakwa BN dalam nazak

sinarharian
W.SAIDATUL FADZILAH W.NAJEMUDIN
3 Februari 2013
KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) disifatkan seperti nazak dan terdesak mendapat undi rakyat sehingga pemimpinnya sanggup menghentam pembangkang dalam majlis sumbangan bantuan awal persekolahan.

Yang Dipertua Pas Kawasan Besut, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pihaknya mendapat maklum balas bahawa hampir di setiap majlis itu pemimpin parti kerajaan berkempen dan mengkritik pembangkang di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan mungkin terlupa bahawa majoriti ibu bapa dan penjaga yang hadir telah pun membuat keputusan awal siapa yang akan mereka pilih dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Saya yakin guru-guru yang hadir sedang memerhati gelagat ini secara serius. Di sinilah secara simpati saya rakamkan ucapan takziah khusus untuk kerajaan menjelang pilihanraya umum yang boleh diisytiharkan bila-bila masa sahaja dari sekarang,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Terengganu turut mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan yang telah menyediakan sumbangan bantuan awal berjumlah RM100 yang sedang giat dilaksanakan.

Bagaimanapun katanya, bantuan terbabit diibaratkan tidak lebih seperti orang nazak yang teringat untuk melakukan kebaikan bagi menutup keburukan yang dilakukan selama ini.

Jelasnya, keadaan itu boleh dilihat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengisytiharkan tujuh projek besar untuk memajukan Kelantan, baru-baru ini.

“Di Kelantan, Perdana Menteri isytihar tujuh projek besar menjelang PRU13 sedangkan selama hampir 23 tahun Pas memerintah, segala macam tekanan dilakukan untuk menganiaya rakyat Kelantan.

“Begitulah apa yang dilakukan dalam projek pembahagian sumbangan ini seperti mana lagaknya orang yang sedang membahagikan harta pusaka kepada anak-anak sebelum mati.

“Seseorang yang sedang berdepan dengan sakaratul maut tidak harus lupa betapa mereka hanya boleh berwasiat tidak melebihi satu pertiga daripada harta yang ada kerana tindakan melebihi had itu pasti akan menyusah dan menzalimi waris yang berhak menerima selepas kematiannya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan jumlah yang diagih kerajaan kepada rakyat itu perlu ditambah melalui sikap berhemah kerajaan dalam melupuskan salah guna kuasa, pemborosan dan kronisme.

No comments:

Post a Comment