Friday, 20 January 2012
AG fail rayuan terhadap keputusan kes liwat II
Ia difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi (Jenayah) Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang ini.
Pada 9 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari yang juga bekas pembantunya.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya, berkata beliau mendapati tidak ada bukti yang menyokong keterangan Saiful.
Semalam, Saiful menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail meminta beliau memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu.
Saiful menerusi blog miliknya mohdsaifulbukhari.blogspot.com menulis bahawa surat itu dihantar melalui peguamnya Tetuan Zamri Idrus & Co.
Katanya, rayuan ini penting kerana ia membabitkan maruah dan masa depannya.
Menurutnya, dia hanya menuntut haknya sebagai warganegara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan "di mana setiap aduan itu berhak didengar dan diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Tertinggi".
Katanya, jika dia berhak memfailkan rayuan itu sendiri, dia akan berbuat demikian tanpa menyusahkan individu lain.
Namun, katanya, kuasa mutlak untuk memfailkan rayuan hanya terletak di tangan Peguam Negara.
Sementara itu, menulis dalam blognya, Saiful berkata, dia bersyukur kehadirat Allah SWT dan menerima baik keputusan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
"Saya dan keluarga saya juga ingin menyatakan di sini bahawa dengan pemfailan notis rayuan tersebut, hak untuk aduan saya sebagaimana laporan polis yang saya buat pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat mahkamah yang tertinggi menurut undang-undang, adalah terlaksana.
"Saya dan keluarga juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang secara langsung dan tidak langsung memberi sokongan kepada saya agar hak saya sebagai warganegara untuk melalui proses keadilan ke peringkat Mahkamah Rayuan terlaksana.
"Saya akan terus berdoa, istiqamah, sabar. Kepada Allah saya berserah," tulis Saiful. malaysiakini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment