HTML/JavaScript

Sunday, 12 February 2012

Anggota polis mati lemas, dua anak tiri masih lemas


12 Februari 2012
KUANTAN - Seorang anggota polis mati lemas manakala dua anak tirinya masih belum ditemui ketika mereka mandi-manda di Pantai Kampung Budaya Cherating, dekat sini, petang semalam.

Mayat Lans Koperal Asri Kamis, 28, yang bertugas di Balai Polis Mentakab ditemui orang ramai berhampiran kuala Sungai Cherating iaitu kira-kira lima kilometer dari pantai tersebut pada pukul 6.50 petang.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata kedua-dua anak tiri mangsa iaitu Muhammad Hasryzam Hasry, 15, dan Muhammad Hairul Nizam Hasry, 14, bagaimanapun masih belum ditemui sehingga kini.
Katanya mangsa bersama lima anggota keluarganya datang ke pantai berkenaan pada pukul 4.15 petang sebelum kedua-dua anak tirinya itu turun mandi

berhampiran Chalet Duyung pada pukul 4.45 petang dan kemudian diikuti oleh Asri. Menurut isteri mangsa, Norsaharulizam Osman, 32, ketika suami bersama dua anak lelakinya itu sedang mandi, dia membawa dua anak perempuannya yang berusia
11 dan enam tahun pergi mandi di kawasan berhampiran.  

"Ketika pukul 5.30 petang saya tidak nampak kelibat suami dan anak-anak di pantai jadi saya ingatkan mereka sudah naik ke darat dan saya pun bawa anak-anak perempuan pergi mandi," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya sebaik sahaja kembali ke tempat mereka berkelah, dia mendapati orang ramai dan anggota polis berkerumun di situ sebelum dia diberitahu bahawa suaminya lemas manakala dua anaknya hilang.
Mohd Jasmani berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan kemudian dibawa ke kampung halamannya di Kampung Jening, Gurun, Kedah untuk dikebumikan.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa sedang giat dilaksanakan oleh 150 anggota yang terdiri daripada Polis Marin, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela dan penduduk kampung seawal pukul 8 pagi ini.- Bernama
www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment