HTML/JavaScript

Wednesday 22 February 2012

Dua lagi kemudahan unifi di Pulau Pinang Julai ini


22 Februari 2012
BUKIT MERTAJAM - Telekom Malaysia Berhad (TM) akan menyediakan dua lagi kemudahan unifi di Pulau Pinang pada Julai ini bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, selain memperluas perkhidmatan itu di negeri ini.

Pengurus Besar Negeri TM Pulau Pinang Azhar Omar berkata dua kawasan terbabit ialah Butterworth dan Bukit Mertajam.

"Setakat ini kemudahan unifi ditawarkan di kawasan Bukit Tengah, Seberang Jaya dan Bayan Baru, dan penambahan dua lagi kawasan ini dibuat berdasarkan permintaan pelanggan yang sangat menggalakkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran TMPoint TM Authorised Dealer (TAD), di sini hari ini.

Beliau berkata sejak perkhidmatan itu diperkenal pada September tahun lepas, terdapat lebih seribu pelanggan unifi di Pulau Pinang.

"Menerusi kemudahan unifi ini, pelanggan dapat menikmati capaian Internet yang cepat dan mudah selain boleh menonton televisyen secara dalam talian," katanya.

Selain itu, Azhar berkata TM juga merancang  membuka sebuah lagi TAD di Tanjong Tokong dalam tempoh terdekat ini dalam usaha membangunkan usahawan tempatan.

Setakat ini, terdapat 42 TAD di seluruh negara termasuk lima TAD di Pulau Pinang, dan TM merancang membuka antara 60 dan 80 TAD lagi di seluruh Malaysia  tahun ini, katanya.

"TAD dikendalikan sepenuhnya oleh usahawan yang dipilih dalam kalangan rakan niaga TM dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada TM. Kos pembukaan sebuah TAD adalah antara RM200,000 dan RM400,000," katanya.

Azhar berkata Premis TAD menawarkan produk dan perkhidmatan yang sama seperti di TMPoint, namun pada skala yang lebih kecil, dengan pengguna boleh membeli dan melanggan produk dan perkhidmatan telefon dan Internet TM seperti talian tetap, streamyx, unifi dan kad i-talk.

"Selain itu pelanggan juga boleh membuat bayaran bil TM, bil utiliti seperti Tenaga  Nasional. TAD juga menyediakan Peralatan Premis Pengguna (CPE) seperti telefon, modem dan router," katanya.

Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program TMPoint TAD, boleh melayari http://tmpoint.tm.com.my atau  http://www.tsssb.com.- Bernama
www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment