HTML/JavaScript

Sunday, 12 February 2012

Wartawan Saudi ditahan di KLIA dihantar pulang

Wartawan Sinar Harian
12 Februari 2012
Hamza Kashgari
SHAH ALAM - Wartawan Arab Saudi, Mohammad Najeeb A. Kashgari, yang menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W, dan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu, akan dihantar pulang ke negara itu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri

Hishammuddin Hussein.
Mengumumkan pendirian kerajaan Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini, Hishammuddin berkata,  "kerajaan Malaysia mengesahkan penahanan  Mohammad Najeeb A. Kashgari, seorang rakyat Arab Saudi di KLIA pada 9 Februari lalu."

"Penahanan itu dibuat atas permintaan pihak berkuasa Arab Saudi," kata beliau.

Laporan media sebelum ini merujuk lelaki itu sebagai Hamza Kashagari.
Menurut Hishammuddin, Malaysia sudah lama mengguna pakai perjanjian yang membolehkan individu-individu yang dikehendaki oleh sesebuah negara dihantar pulang ke negara masing-masing.
"Dan, Mohammad Najeeb A. Kashgari akan dihantar pulang di bawah perjanjian ini. Bentuk tuduhan ke atas individu ini dalam kesnya adalah urusan pihak berkuasa Arab Saudi," katanya lagi.

Laporan Bernama minggu lalu menyebut Polis Diraja Malaysia telah menahan lelaki itu yang dikehendaki oleh kerajaan negara itu kerana dilaporkan menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.
Lelaki itu ditahan polis sejurus tiba di KLIA setelah melarikan diri dari Arab Saudi.

Dia dilaporkan telah mengeluarkan satu laporan yang menghina Islam melalui Twitternya, yang menyebabkan kemarahan rakyat Arab Saudi.
Menurut laporan media Arab Saudi, Hamza mengeluarkan laporan itu pada hari sambutan Maulidur Rasul minggu lepas dengan membayangkan seolah-olah dirinya berinteraksi dengan Nabi Muhammad S.A.W dan seolah-olah kedua-dua mereka adalah sama taraf.

Hamza turut menyatakan ada sifat Nabi Muhammad S.A.W yang disukai dan tidak disukainya.
Media negara itu melaporkan susulan tulisan lelaki itu, sebanyak 30,000 entri Twitter yang marah dengan laporannya dibuat dalam tempoh kurang 24 jam.
www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment