HTML/JavaScript

Thursday 9 February 2012

Nasib Kita diketahui 25 Februari

NORHASPIDA YATIM, FATIN ATIRA
10 Februari 2012
Zaid Ibrahim
PETALING JAYA - Kepimpinan Pusat Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) akan mengadakan mesyuarat pada 25 Februari ini bagi membincangkan cadangan Ketuanya, Datuk Zaid Ibrahim sama ada ia perlu dibubarkan atau sebaliknya.

Kita ditubuhkan lebih setahun lalu dan kini mempunyai sekitar 3,000 ahli.

Zaid berkata, beliau tidak takut untuk berundur daripada parti itu sekiranya mendapati sokongan tidak berpihak terhadap kepimpinan beliau.

"Sebelum memutuskan sebarang keputusan mengenai hala tuju parti, ia memerlukan sokongan 75 peratus ahli. Sebab itulah kita akan adakan mesyuarat (jawatankuasa eksekutif pusat) terlebih dahulu bagi mendapatkan kata sepakat.

"Sekiranya ramai yang setuju ia dibubarkan, maka kita akan bubarkan, sebaliknya sekiranya masih setuju ia dikekalkan, kita akan kekalkan," katanya kepada Sinar Harian.

Zaid berkata, beliau berasa kesal kerana cadangannya supaya Kita dibubarkan dieksploitasi pihak dalaman parti sehingga mewujudkan satu polemik.

"Saya hanya memberi pandangan sekiranya masih ada yang tidak memahami asas utama penubuhan Kita, lebih baik parti ini dibubarkan.

"Saya tidak sangka pandangan saya ini mendapat kritikan sehingga ada yang melaporkan terus kepada media (mengeluarkan kenyataan) tanpa berbincang dahulu dengan saya. Apa salahnya kita adakan perbincangan untuk mendapatkan persefahaman," katanya.

Bagaimanapun, Zaid berkata, sekiranya beliau mendapat sokongan ramai pihak, beliau tidak akan berundur.

Sebaliknya jelas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini, jika ada yang vokal menentangnya, beliau perlu berundur dan akan menghormati kehendak mereka.

"Sekiranya ramai yang tidak sokong saya, saya yang terpaksa berundur, tetapi, kalau ramai yang sokong saya, orang itu yang kena berundur dari Kita," katanya.

Zaid berkata, keputusan membubarkan Kita terpaksa dibuat bagi menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa pihaknya tidak berpihak kepada pembangkang, terutama terhadap beberapa anggota parti di Kedah dan Pulau Pinang yang secara terbuka mengkritik Pakatan Rakyat (PR).

Zaid mengeluarkan kenyataan pada Khamis lalu bahawa Kita akan dibubar menerusi satu mesyuarat agung luar biasa, yang akan ditentukan tarikh kemudian.

Perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat, yang keanggotaannya seramai 25 orang, terlebih dahulu.
www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment