19/02/2012
PETALING JAYA - Dua penjenayah dengan seorang bersenjata pistol hanya mengambil masa lima minit untuk melarikan beg berisi pelbagai mata wang berjumlah RM100,000 dari sebuah premis pengurup wang berlesen di pusat membeli-belah Empire Gallery, Subang Jaya, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, dua suspek mengacukan senjata kepada pekerja premis berkenaan, 31, di kaunter dan meminta pintu premis dibuka, 15 minit selepas premis itu memulakan operasinya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ketika kejadian, pekerja berkenaan sedang membuat persiapan operasi premis itu apabila didatangi dua suspek bertopeng lalu mengacu senjata api.
Katanya, suspek berkenaan dipercayai warga tempatan memaksa pekerja berkenaan membuka pintu premis lalu mengikat mangsa sebelum melarikan beg berisi wang.
“Suspek dengan salah seorang daripadanya memakai topi keledar bertutup penuh dan seorang lagi memakai topeng penutup hidung kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja yang menunggu di luar pusat membeli-belah itu,” katanya.
Menurut beliau, pekerja premis itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Yahaya berkata, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu menunjukkan suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun dan nombor pendafataran kereta berkenaan direkodkan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment