24 Februari 2012
Jalur Tiga (Jati) ditaja oleh dua syarikat besar.
Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam bagaimanapun menafikan beliau membuat tuduhan itu, sebaliknya cuma mahukan penjelasan Hasan sama ada benar dakwaan yang dikatakan merupakan "cakap-cakap kedai kopi."
Menurutnya, beliau berpendapat kemungkinan dakwaan tersebut benar kerana syarikat-syarikat itu akan mendapat faedah sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Katanya, bukan dua syarikat itu sahaja, malah dipercayai banyak lagi kontraktor yang akan mendapat faedah tersebut kerana di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mereka tidak berpeluang mendapat keuntungan seperti dahulu.
Hasan sebelum ini menubuhkan Jati untuk memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja-raja (IMR) di mana pelancarannya diadakan Selasa lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
“Saya bukan menuduh cuma saya mahu penjelasan dan penafian supaya rakyat Selangor tahu kerana selain daripada dua syarikat besar itu mungkin ada lagi kontraktor-kontraktor lain yang membiayai Hasan.
“Orang yang membiayainya pastilah orang yang mendapat faedah keuntungan daripada tajaan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau ingin tahu dari mana sumber kewangan diperoleh Hasan bagi menampung siri jelajah ceramahnya itu, termasuk pelancaran Jati yang didakwanya sekurang-kurangnya memerlukan perbelanjaan RM30,000 untuk sewa dewan sahaja.
Secara sinis beliau berkata, mungkin Hasan menggadai rumah dan menjual keretanya sebagai pengorbanan bagi membiayai perjuangan politiknya.
Khalid berkata, beliau memberi peluang kepada ketiga-tiga pihak itu untuk tampil membuat penjelasan dan penafian.
Menurutnya, ketiga-tiga pihak itu perlu menafikan dakwaan mengatakan mereka mendapat keuntungan sekiranya PR tidak lagi memerintah negeri ini.
“Kalau betul mereka akan dapat untung sekiranya PR jatuh nanti, maka andaian rakyat dan percakapan di kedai kopi mengenai syarikat-syarikat itu sedang membiayai Hasan itu berasas. Saya tegaskan di sini saya tidak menuduh tetapi saya meminta penjelasan dan penafian,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Khalid mempertikaikan nilai kontrak baru Hospital Shah Alam yang diumumkan baru-baru ini oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor bernilai kira-kira lebih RM400 juta.
Katanya, sebelum ini kontrak asalnya bernilai anggaran RM480 juta dan telah dibayar kira-kira RM200 juta.
“Sekarang ini nilainya mencecah RM600 juta, malah projek yang sepatutnya siap Oktober 2010 itu kini dijangka siap 2014. Adakah dia (Shaziman) bangga dengan pencapaiannya itu?” katanya.
SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment