13 Februari 2012
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, lima motosikal hangus, manakala empat lagi sempat diselamatkan orang ramai.
Misteri kebakaran itu berlaku masih belum dapat dipastikan, namun penduduk dihantui kebimbangan berhubung kejadian itu.
Salah seorang pemilik motosikal, Mohd Zulkarnain Yunus, 26, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terhidu kepulan asap yang memenuhi rumah didiaminya bersama beberapa rakan.
Menurutnya, dia kemudian menjenguk menerusi tingkap untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila menyedari api marak di tingkat bawah pangsapuri.
“Saya segera mengejutkan kawan-kawan serumah dan bingkas bergegas ke tingkat bawah untuk melihat apa yang berlaku.
“Memang tidak sangka, motosikal yang digunakan untuk ke tempat kerja setiap hari menjadi mangsa kebakaran sama,” katanya.
Mohd Zulkarnain berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu, orang ramai membantu memadamkan kebakaran yang membabitkan deretan motosikal di tempat letak kenderaan berkenaan.
Suasana katanya, agak huru-hara apabila orang ramai cuba mengalihkan beberapa motosikal, bagaimanapun dia gagal menyelamatkan motosikalnya sendiri.
Mohd Zulkarnain berkata, dia yang mengetahui kes empat kereta terbakar awal pagi Rabu lalu, sama sekali tidak menyangka akan menerima nasib sama.
“Kejadian pagi tadi (semalam) berlaku lebih kurang lima meter dari lokasi empat kereta terbakar dahulu, saya tidak pasti apakah punca kejadian dahulu (Rabu lalu) dan juga kejadian pagi ini (semalam) kerana belum menerima maklumat mengenainya,” katanya yang memaklumkan mengalami kerugian RM4,000.
Seorang penduduk, Siti Nur Amalina Suadmaji, 19, berkata, jika kejadian sebelum ini kereta abangnya hampir musnah terbakar, kali ini motosikal kakaknya pula menjadi mangsa.
“Kakak saya terdengar jiran menjerit-jerit mengatakan motosikal terbakar, lantas dia mengajak saya turun ke tingkat bawah untuk melihat apa yang berlaku.
“Apabila tiba di lokasi, kami terkejut melihat motosikal sudah terkena percikan api yang marak, kami cuba mengalihkannya, tetapi bimbang ia meletup,” katanya.
Siti berkata, atas keprihatinan penduduk lain, motosikal kakaknya dialihkan ke tempat selamat dan hanya mengalami kerosakan ringan.
“Insiden ini memang mengejutkan kerana baru sahaja beberapa hari kereta milik abang yang diletakkan di depan kedai runcit yang kami usahakan terbakar, kali ini hampir 10 motosikal termasuk milik kakak pula yang terbakar,” katanya.
No comments:
Post a Comment