HTML/JavaScript

Thursday, 23 February 2012

Isu Israel: Umno diminta diam, jangan laga Pas-PKR

Wartawan Sinar Harian
24 Februari 2012
SHAH ALAM – Umno tidak perlu melaga-lagakan pemimpin Pas dan PKR dalam isu Israel kerana parti teras Barisan Nasional (BN) itu juga pernah menerima penyelesaian dua negeri  Israel dan Palestin, kata  Datuk Mustafa Ali hari ini.

Menurut Setiausaha Agung Pas ini, Umno lebih akomodatif terhadap Israel berbanding dengan sikap Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang memberikan syarat untuk Israel jika mahu diterima iaitu menyokong dan mengiktiraf Palestin.

Kata Mustafa, tujuan sebenar Umno menekankan isu Israel dan Palestin ini adalah untuk memecahkan Pakatan Rakyat.

"Inilah yang ditakuti sebenarnya oleh Umno iaitu kekuatan ikatan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat," kata beliau dipetik Harakahdaily.

Sejak dari era kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Mustafa, menjadi dasar negara Malaysia yang ditunjangi Umno mengiktiraf Israel walaupun tidak secara terbuka.

Bahkan bendera Israel juga pernah berkibar di bangunan Umno, PWTC.

"Sebab itu sejak dahulu lagi Malaysia membenarkan pasukan hoki Israel bermain di Malaysia, membenarkan hubungan dagang antara Israel dan Malaysia.

"Bahkan, menteri Umno juga pernah berjumpa dan berbincang dengan menteri Israel," jelas beliau.

Oleh itu, apabila para pemimpin Umno menekan Datuk Seri Anwar dalam isu Israel ia sepatutnya tidak berbangkit langsung.

Ini kerana, Umno melalui kerajaan Malaysia sejak dahulu mengiktiraf Israel.

"Yang berbezanya, Pas tidak mengiktiraf Israel. Umno pula hanya berminat dalam isu ini ekoran kenyataan Anwar dalam The Wall Street Journal adalah untuk memecahkan Pas dan Pakatan Rakyat.

"Jadi jangan haraplah. Lebih baik menteri-menteri Umno itu diam kerana Umno juga sama sahaja mengiktiraf Israel," kata Mustafa lagi.

No comments:

Post a Comment