16 Februari 2012
Sambil menegaskan beliau memahami perbezaan pendirian Pas dan PKR, Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menambah, parti Islam itu berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel.
"Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari Pas, Majlis Syura Pas dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.
"Ketetapan Pas yang menentang keras pencerobohan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia," kata Anwar dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.
Anwar mengeluarkan kenyataan ini menjawab pendirian Dewan Ulama Pas dan Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin bahawa Anwar perlu menarik balik kenyataan atau meminta maaf jika laporan hasil temu bual dalam akhbar itu tidak betul.
Pagi tadi, Anwar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz untuk menjelaskan pendiriannya.
Dalam kenyataannya hari ini, Anwar berkata, ia berbeza dengan adu domba Umno yang bermuka-muka dan mengambil kesempatan di atas sentimen kuat pro-Palestin di negara ini bagi matlamat politik sempit mereka.
"Tatkala media Umno menyerang saya sebagai ejen Israel, Menteri Luar dari Umno secara terbuka mengesahkan kewujudan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
"Manakala saya dituding mengkhianati aspirasi rakyat Palestin, Menteri Pertahanan dari Umno jugalah yang duduk berbincang dengan Menteri Pertahanan Israel pada tahun 2009, walaupun perkara ini cuba dipadamkan," katanya.
Namun tambah beliau, rakyat tidak lupa bahawa pentadbiran Perdana Menteri bergegas melantik firma APCO yang turut diterajui Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral.
"Malah, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menerus memfitnah saya pernah bertemu Perdana Menteri Israel dan menteri luarnya, Shimon Peres di Paris pada tahun 1994.
"Pada masa yang sama sesuatu yang tidak dapat dinafikan pimpinan Umno bahawa Malaysia merupakan rakan dagang Israel ke-15 terbesar," katanya.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan Israel mencecah 667.6 juta Euro.
Ahli Parlimen Permatang Pauh ini menambah, sikap bermuka Umno dalam isu Palestin bukanlah perkara baru dan oleh itu beliau jelas menyeru rakyat Malaysia supaya menumpukan tenaga membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin.
Menurut Anwar lagi, derita ditanggung setiap hari tatkala rakyat Palestin menyabung nyawa menyelamatkan diri dari serangan dan pendudukan tentera Israel.
"Ini kenyataan kehidupan seharian seorang rakyat Palestin yang harus kita insafi," katanya lagi.
Anwar berkata, sepertimana pertemuannya baru-baru ini di Doha dengan ketua Hamas Khalid Mashaal, sebelum termeterainya persetujuan bersama tersebut, beliau ulangi dokongan buat perjuangan rakyat Palestin, Hamas dan Fatah.
Kata Anwar, pengiktirafan negara Israel tertakluk selagi mana rejim itu menghormati kedaulatan wilayah dan keselamatan rakyat Palestin.
"Justeru adalah mustahak untuk kita sedari suara rakyat Palestin mutakhir ini adalah melalui Hamas dan Fatah sebagaimana yang tertera dalam persetujuan bersama Hamas dan Fatah di Doha hari ini.
"Persetujuan tersebut antaranya mengungkapkan dokongan terhadap aspirasi rakyat Palestin, pengunduran tentera Israel dari tanah Arab, menghentikan keganasan dan memperakui kewujudan Palestin," katanya.
Anwar juga menambah, seandainya perkara itu dihormati, maka kewujudan Israel akan diiktiraf.
"Inilah juga semangat yang terkandung dalam kenyataan saya, pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment