HTML/JavaScript

Wednesday 22 February 2012

Zaid: Dr M perlu jelas 'situasi sebenar MAS'

Wartawan Sinar Harian
23 Februari 2012
 Tun Dr Mahathir Mohamad
SHAH ALAM - Datuk Zaid Ibrahim mahu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis sebuah buku yang benar-benar boleh dipercayai kandungannya dan menggambarkan situasi sebenar mengenai Malaysia Airlines System (MAS), salah satu syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC).

Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) ini berkata, setiap orang mahu mengetahui mengapa MAS diswastakan khususnya kepada bekas pengerusi eksekutif MAS, Tan Sri Tajudin Ramli hampir dua dekad yang lalu tetapi banyak pihak mendakwa gagal membantu syarikat tersebut.
"Di sini, saya merasakan Dr Mahathir perlu menjelaskan apa sebenarnya berlaku (ketika itu). Beliau telah menulis banyak buku, tetapi tidak ada yang boleh dipercayai," kata beliau lagi.

Katanya, sekurang-kurangnya Dr Mahathir perlu menceritakan apa sebenarnya menyelubungi kontroversi MAS yang belum diselesaikan sehingga sekarang.
Pada 14 Februari lalu, Tajudin dan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd mencapai penyelesaian luar mahkamah berkaitan satu saman yang difailkan enam tahun lepas membabitkan hutang RM589 juta tokoh korporat itu dalam pembelian saham MAS.

Peguam Lim Kian Leong yang memaklumkan perkara itu kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayua. Bagaimanapun tidak mendedahkan terma penyelesaian tersebut dan ia disahkan Tommy Thomas yang mewakili Danaharta.

Sehubungan itu, Kian Leong berkata Tajudin berhasrat menarik balik semua rayuan terhadap Pengurusan Danaharta, dua anak syarikatnya serta 24 responden lain yang dinamakan dalam tuntutan balas beliau.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Tajudin membayar RM589 juta kepada Danaharta yang menguruskan pinjaman tidak berbayar akibat hutang yang ditanggung tokoh korporat itu dalam pembelian saham MAS.

Jumlah itu merupakan baki pinjaman berjumlah RM1.79 bilion yang diberikan kepada Tajudin oleh sekumpulan peminjam bagi membiayai pembelian 32 peratus kepentingan dalam MAS pada 1994.

Tajudin diperintah membayar jumlah asas pinjaman pada 31 Disember 2005 sebanyak RM589,143,205.57 serta faedah dua peratus atas kadar pemberian pinjaman asas Malayan Banking Bhd mulai 1 Januari 2006 sehingga tarikh penyelesaian penuh kes itu kepada Pengurusan Danaharta dan dua anak syarikatnya.

Mahkamah Tinggi turut membatalkan tuntutan balas Tajudin, yang berjumlah RM13.46 bilion, terhadap 24 responden termasuk Danaharta, dua anak syarikat serta pegawainya, Datuk Azman Yahya, Datuk Abdul Hamidy Hafiz, Datuk Zukri Samat dan Datuk Kris Azman Abdullah.

Dalam buku terbarunya berjudul A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad diterbitkan tahun lalu, Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun menafikan beliau dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin telah memaksa Tajudin menyelamatkan MAS dengan membelinya pada 1994 dengan harga RM1.8 billion.
Dr Mahathir bersara pada Oktober 2003. MAS merupakan antara beberapa GLA menyaksikan masalah kewangan di sebalik kegawatan ekonomi 1997/98.

Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sementara kes membabitkan Tajudin sedang berjalan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah mengeluarkan satu arahan kepada Danaharta dan GLC agar tidak meneruskan kes ke atas tokoh tersebut meskipun mereka menang di peringkat Mahkamah Tinggi.

"Nampaknya, Barisan Nasional tidak mengiktiraf bahawa syarikat-syarikat ini adalah bebas daripada kerajaan dari segi pengurusan mereka. Syarikat-syarikat ini ada lembaga pengarah masing-masing dan pemegang-pemegang saham yang perlu diwakili," katanya.

No comments:

Post a Comment