10 Februari 2012
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memberi arahan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) bagi membolehkan kandungan perjanjian pinjaman itu diketahui umum.
Kata beliau, langkah itu akan membolehkan rakyat dapat menghakimi kewajaran kerajaan meluluskan pinjaman dengan syarat yang sebegitu longgar. "Pendedahan ini juga mengukuhkan lagi gesaan Pakatan Rakyat bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal NFC kerana penyelewengan dan kecuaian yang berlaku melibatkan pimpinan tertinggi negara," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Dalam kenyataannya semalam, Ketua Pegawai Eksekutif NFCorp, Wan Shahinur Izmir menegaskan pihaknya mempunyai hak membuat pelaburan bagi syarikat itu.
Wan Shahinur berkata, perjanjian pinjaman dengan kerajaan tidak menetapkan larangan pelaburan.
“Sebagai syarikat swasta, NFCorp membuat keputusan terbaik demi kepentingan syarikat sama ada untuk jangka pendek dan panjang,” katanya.
Malah menurut Wan Shahinur, operasi perniagaan NFCorp dijalankan berdasarkan perjanjian perniagaan menyeluruh yang menggariskan terma termasuk penggunaan modal untuk NFCorp.
Oleh itu menurut Rafizi, NFCorp menggunakan alasan itu untuk menggunakan wang tersebut bagi tujuan peribadi termasuklah mengumpulkan harta yang mahal seperti kondominium, tanah dan kereta mewah.
"Pengakuan ini menimbulkan seribu satu persoalan baru," katanya lagi.
Malah, Rafizi juga menyoal hak menteri-menteri terbabit meluluskan pemberian RM250 juta kepada keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
"Bagaimanakah dasar memberikan pinjaman yang longgar begini boleh menjamin projek negara seperti NFC dapat dilaksanakan dengan berkesan?" katanya lagi.
Sehubungan itu, Rafizi menyoal, berapa banyak lagi perjanjian pinjaman seperti ini yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada peminjam membelanjakan wang rakyat telah diberikan kepada syarikat-syarikat dan orang peribadi yang ada kaitan dengan pimpinan kerajaan.
Kata beliau, apakah pemilik dan pengurusan NFCorp ada memberi jaminan peribadi dan mencagarkan harta peribadi mereka sebagai sebahagian dari syarat perjanjian pinjaman.
No comments:
Post a Comment