4 Februari 2012
Pada masa sama, mereka berhajat ‘merisik’ bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mengisi jawatan itu.
Ketua Kita Kedah, Zamil Ibrahim berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, perlu keluar parti untuk memberi laluan kepada pemimpin yang lebih berkaliber menerajui parti yang baru setahun ditubuhkan itu.
Beliau berkata, perwakilan dari Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak tidak teragak-agak menyingkirnya jika itu cara yang terbaik menyelamatkan parti.
“Zaid gagal terajui parti dan jangan cuba menconteng arang ke muka kami, kononnya pemimpin Kita tidak memberi kerjasama. Itu semua pendapat peribadinya dan tiada kena-mengena dengan parti.
“Saya minta 10,000 ahli Kita bertenang. Presiden tidak boleh bubar parti ini sesuka hati kerana ia bukan syarikat persendirian, sebaliknya melalui mesyuarat luar biasa (EGM) dan perlu sokongan tiga perempat ahli,” katanya.
Ditanya mengapa Kita berminat dengan Hasan, Zamil berkata, buat permulaan pihaknya akan bekerjasama dengan Hasan kerana berpendapat beliau pemimpin yang mempunyai pendirian jelas dan perjuangannya hampir selari dengan parti berkenaan.
“Hasan mempunyai pengaruh kuat dan saya percaya, sekiranya beliau menerajui parti ini, tidak mustahil Kita akan kukuh. Lagipun Kita akan menjadi kuasa ketiga, sesuai dengan konsep dibawa Hasan untuk diterjemahkan dengan perjuangan parti ini.
“Sekarang Kita akan berhadapan dengan peperangan besar iaitu pilihan raya umum. Di Kedah, 18 calon digembar-gemburkan menawarkan diri, jadi di mana maruah kami apabila pemimpin yang akan dicalonkan, tiba-tiba partinya pula dibubarkan,” katanya.
Hasan, yang juga bekas Exco Selangor dipecat daripada Pas kerana dianggap melanggar disiplin. Beliau akan melancarkan pertubuhan bukan kerajaan Jati dan IMR bulan ini.
Mengulas mengenai ada unsur-unsur campur tangan politik daripada pemimpin tertentu sehingga memaksa Kita berputih mata, menurut Zamil, ada kebenaran, terutama apabila Zaid memberi surat tunjuk sebab ke atasnya setelah mengkritik perhimpunan Bebas Anwar 901 bulan lalu.
No comments:
Post a Comment